Ibadat haji sebagai rukun Islam kelima mengumpulkan ibadat dari aspek jasad, nyawa, roh, akal, dan harta, serta diwajibkan kepada Muslim yang mampu. Allah SWT mengumpulkan ciri-ciri naluri (fitrah) kejadian manusia itu berbeza dengan kejadian malaikat yang bersih murni tanpa jasad dan nafsu.
Bahkan, penciptaan manusia juga berbeza dengan binatang yang berjasad, bernafsu, dan bernyawa tanpa akal, di samping berbeza dengan jamadat (kayu, batu, dan sepertinya) yang tidak bergerak. Firman Allah SWT yang khusus bagi manusia:
﴿وَلَقَدۡ كَرَّمۡنَا بَنِيٓ ءَادَمَ وَحَمَلۡنَٰهُمۡ فِي ٱلۡبَرِّ وَٱلۡبَحۡرِ وَرَزَقۡنَٰهُم مِّنَ ٱلطَّيِّبَٰتِ وَفَضَّلۡنَٰهُمۡ عَلَىٰ كَثِيرٖ مِّمَّنۡ خَلَقۡنَا تَفۡضِيلٗا٧٠﴾
“Dan sesungguhnya, Kami telah memuliakan anak-anak Adam (manusia), dan Kami telah mengangkut mereka di daratan dan di lautan, dan Kami beri mereka rezeki daripada yang baik-baik dan Kami lebihkan mereka dengan kelebihan yang sempurna atas kebanyakan makhluk yang telah Kami ciptakan.” (Surah al-Isra’: 70)
Maka, manusia yang hidup bermasyarakat ditugaskan supaya beribadat, mentadbir urusan makhluk bumi, serta mengikuti petunjuk Allah dan hukum-Nya dengan kemampuan akal yang ada pada diri mereka agar dapat mengawal nafsu. Setiap makhluk ditetapkan mengikut fitrah masing-masing. Firman Allah SWT:
﴿أَفَغَيۡرَ دِينِ ٱللَّهِ يَبۡغُونَ وَلَهُۥٓ أَسۡلَمَ مَن فِي ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ طَوۡعٗا وَكَرۡهٗا وَإِلَيۡهِ يُرۡجَعُونَ٨٣﴾
“Maka, adakah patut mereka mencari agama yang lain daripada agama Allah (Islam), padahal kepada Allah segala apa yang di langit dan di bumi menyerahkan diri (Islam), baik dengan suka (pilihan dengan taklif) mahupun terpaksa (hukum fitrah), dan hanya kepada Allah sahaja mereka dikembalikan.” (Surah Ali ‘Imran: 83)
Langkah Rasulullah SAW menemui para pemimpin kaum Arab yang datang ke Makkah pada musim haji sebelum Baginda dan umat Islam berhijrah ke Madinah adalah bagi menunaikan perintah Allah, mengikut peta jalan (road map) dan geografi bumi yang diatur oleh Allah Pencipta alam (رب العالمين).
Bumi Makkah dipilih sebagai tempat kelahiran Nabi akhir zaman dan tempat pembinaan Kaabah, walaupun tanahnya gersang dan kering tanpa air, tumbuh-tumbuhan, dan penduduk.
Nabi Ibrahim AS diperintahkan supaya meletakkan puteranya, Isma‘il AS di Makkah dengan hanya ditemani ibunya, Hajar AS bagi melahirkan kaum Quraisy. Kemudian, lahir daripada mereka pula Nabi akhir zaman iaitu Nabi Muhammad SAW. Firman Allah SWT:
﴿لِإِيلَٰفِ قُرَيۡشٍ١ إِۦلَٰفِهِمۡ رِحۡلَةَ ٱلشِّتَآءِ وَٱلصَّيۡفِ٢ فَلۡيَعۡبُدُواْ رَبَّ هَٰذَا ٱلۡبَيۡتِ٣ ٱلَّذِيٓ أَطۡعَمَهُم مِّن جُوعٖ وَءَامَنَهُم مِّنۡ خَوۡفِۢ٤﴾
“Kerana kebiasaan orang-orang Quraisy. (1) (Iaitu) kebiasaan mereka berpergian musafir pada musim dingin dan musim panas. (2) Maka, hendaklah mereka menyembah Tuhan Pemilik rumah ini (Kaabah). (3) Tuhan yang telah memberikan makanan kepada mereka untuk menghilangkan lapar dan mengamankan mereka daripada ketakutan. (4)” (Surah Quraysh: 1–4)
‘Quraisy’ bererti ikan jerung yang besar dan ganas di lautan luas; nama yang diberikan kepada kabilah Arab yang dilahirkan di Makkah daripada zuriat Ibrahim AS. Mereka sendiri tidak mengenalinya.
Seterusnya, mereka diwajibkan beribadat kepada Allah berkiblatkan Kaabah yang dibina oleh Ibrahim AS. Makkah pula dijadikan tempat himpunan ibadat haji kepada seluruh manusia dari seluruh pelosok dunia juga dengan perintah Allah. Firman Allah SWT:
﴿وَأَذِّن فِي ٱلنَّاسِ بِٱلۡحَجِّ يَأۡتُوكَ رِجَالٗا وَعَلَىٰ كُلِّ ضَامِرٖ يَأۡتِينَ مِن كُلِّ فَجٍّ عَمِيقٖ٢٧﴾
“Dan berserulah (wahai Ibrahim) kepada manusia untuk mengerjakan haji, nescaya mereka akan datang kepadamu dengan berjalan kaki dan menunggang unta yang kurus yang datang dari segenap penjuru yang jauh.” (Surah al-Hajj: 27)
Hati penduduknya begitu sayang akan Makkah sehingga tidak mahu meninggalkannya, diikuti oleh manusia yang lain. Allah menjanjikan Makkah rezeki dan keamanan daripada musuh sehingga mewajibkan kaum Quraisy menguasai politik dan ekonomi di sana.
Keberanian, kegagahan, dan keperkasaan kaum Quraisy menjadikan mereka digeruni oleh kabilah-kabilah Arab lain yang ganas dan keras. Keadaan tersebut mengamankan Makkah, di samping jaminan Allah yang Maha Berkuasa yang pernah menghancurkan bala tentera bergajah Habsyah yang datang mahu meruntuhkan Kaabah. Firman Allah SWT:
﴿أَلَمۡ تَرَ كَيۡفَ فَعَلَ رَبُّكَ بِأَصۡحَٰبِ ٱلۡفِيلِ١ أَلَمۡ يَجۡعَلۡ كَيۡدَهُمۡ فِي تَضۡلِيلٖ٢ وَأَرۡسَلَ عَلَيۡهِمۡ طَيۡرًا أَبَابِيلَ٣ تَرۡمِيهِم بِحِجَارَةٖ مِّن سِجِّيلٖ٤ فَجَعَلَهُمۡ كَعَصۡفٖ مَّأۡكُولِۢ٥﴾
“Apakah kamu tidak memerhatikan bagaimana Tuhanmu telah bertindak terhadap tentera bergajah (yang hendak meruntuhkan Kaabah)? (1) Bukankah Dia telah menjadikan tipu daya mereka (untuk menghancurkan Kaabah) itu sia-sia? (2) Dan Dia mengirimkan kepada mereka burung yang berbondong-bondong. (3) (Burung) yang melempari mereka dengan batu (berasal) daripada tanah yang terbakar. (4) Lalu Dia menjadikan mereka seperti daun-daun yang dimakan (ulat). (5)” (Surah al-Fil: 1–5)
Keadaan bumi Makkah yang paling gersang serta tidak mencukupi hasil ternakan dan pertaniannya, memaksa penduduknya untuk keluar berniaga. Allah menetapkan dua perjalanan kepada mereka iaitu perjalanan musim sejuk (رحلة الشتاء) dan perjalanan musim panas (رحلة الصيف).
Negeri yang paling sesuai untuk dituju pada musim sejuk ialah Yaman manakala negeri yang paling sesuai pada musim panas ialah Syam. Yaman menjadi pangkalan kepada bumi timur seperti Parsi, India, dan China. Syam pula menjadi pangkalan kepada bumi barat seperti Afrika Utara, Eropah, dan sebahagian Asia Tengah.
Peniaga Makkah berulang alik timur dan barat dalam perjalanan mereka bagi mengumpulkan barang-barang dagangan daripada dua pihak dunia. Selain itu, mereka juga membawa pertukaran mata wang yang berbeza antara kuasa besar timur dengan barat.
Suasana pada musim haji adalah paling meriah kerana Makkah mengumpulkan semua kabilah Arab Musyrikin dan penganut agama Kitabi iaitu Yahudi dan Kristian. Mereka mengakui ada kaitan dengan Nabi Ibrahim AS yang pernah berdoa kepada Allah supaya memakmurkan Makkah. Firman Allah SWT:
﴿رَّبَّنَآ إِنِّيٓ أَسۡكَنتُ مِن ذُرِّيَّتِي بِوَادٍ غَيۡرِ ذِي زَرۡعٍ عِندَ بَيۡتِكَ ٱلۡمُحَرَّمِ رَبَّنَا لِيُقِيمُواْ ٱلصَّلَوٰةَ فَٱجۡعَلۡ فَٱجْعَلْ أَفْـِٔدَةً مِّنَ ٱلنَّاسِ تَهۡوِيٓ إِلَيۡهِمۡ وَٱرۡزُقۡهُم مِّنَ ٱلثَّمَرَٰتِ لَعَلَّهُمۡ يَشۡكُرُونَ٣٧ رَبَّنَآ إِنَّكَ تَعۡلَمُ مَا نُخۡفِي وَمَا نُعۡلِنُۗ وَمَا يَخۡفَىٰ عَلَى ٱللَّهِ مِن شَيۡءٖ فِي ٱلۡأَرۡضِ وَلَا فِي ٱلسَّمَآءِ٣٨ ٱلۡحَمۡدُ لِلَّهِ ٱلَّذِي وَهَبَ لِي عَلَى ٱلۡكِبَرِ إِسۡمَٰعِيلَ وَإِسۡحَٰقَۚ إِنَّ رَبِّي لَسَمِيعُ ٱلدُّعَآءِ٣٩ رَبِّ ٱجۡعَلۡنِي مُقِيمَ ٱلصَّلَوٰةِ وَمِن ذُرِّيَّتِيۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلۡ دُعَآءِ٤٠﴾
“Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya, aku telah menempatkan sebahagian daripada keturunanku di lembah (tanah suci Makkah) yang tidak mempunyai tanam-tanaman di sisi rumah Engkau (Baitullah) yang dihormati. Wahai Tuhan kami! (mereka ditempatkan di situ) agar mereka mendirikan solat, maka jadikanlah hati sebahagian daripada manusia cenderung kepada mereka dan rezekikanlah mereka daripada buah-buahan, mudah-mudahan mereka bersyukur. (37) Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya, Engkau mengetahui apa yang kami sembunyikan dan apa yang kami lahirkan; dan tidak ada sesuatu pun yang tersembunyi bagi Allah, baik yang ada di bumi mahupun yang ada di langit. (38) Segala puji bagi Allah yang telah menganugerahkan kepadaku pada hari tuaku, Isma‘il dan Ishaq. Sesungguhnya, Tuhanku benar-benar Maha Mendengar (Memperkenankan) doa. (39) Wahai Tuhanku! Jadikanlah aku dan anak cucuku orang-orang yang tetap mendirikan solat. Wahai Tuhan kami! Perkenankanlah doaku. (40)” (Surah Ibrahim: 37–40)
Makkah sejak awal lagi diatur oleh Allah SWT menjadi tempat pertemuan manusia dan masyarakat majmuk daripada pelbagai bangsa dan agama untuk beribadat, berekonomi yang saling bertukaran, dan berpolitik yang berlaku pertembungan.
Sehinggakan, Makkah menjadi tempat pilihan pelantikan Nabi akhir zaman kepada seluruh manusia di seluruh pelosok dunia bersama mukjizat ilmu iaitu al-Quran dan Hikmah (kebijaksanaan Rasul yang luar biasa) dalam keadaan Baginda buta huruf. Hal ini bagi menegaskan bahawa al-Quran itu adalah secara langsung diturunkan daripada Allah SWT, sebagaimana firman-Nya:
﴿يُسَبِّحُ لِلَّهِ مَا فِي ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَمَا فِي ٱلۡأَرۡضِ ٱلۡمَلِكِ ٱلۡقُدُّوسِ ٱلۡعَزِيزِ ٱلۡحَكِيمِ ١ هُوَ ٱلَّذِي بَعَثَ فِي ٱلأُمِّيّينَ رَسُولٗا مِّنۡهُمۡ يَتۡلُواْ عَلَيۡهِمۡ ءَايَٰتِهِۦ وَيُزَكِّيهِمۡ وَيُعَلِّمُهُمُ ٱلۡكِتَٰبَ وَٱلۡحِكۡمَةَ وَإِن كَانُواْ مِن قَبۡلُ لَفِي ضَلَٰلٖ مُّبِينٖ ٢ وَءَاخَرِينَ مِنۡهُمۡ لَمَّا يَلۡحَقُواْ بِهِمۡۚ وَهُوَ ٱلۡعَزِيزُ ٱلۡحَكِيمُ ٣ ذَٰلِكَ فَضۡلُ ٱللَّهِ يُؤۡتِيهِ مَن يَشَآءُۚ وَٱللَّهُ ذُو ٱلۡفَضۡلِ ٱلۡعَظِيمِ ٤﴾
“Senantiasa bertasbih kepada Allah apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi. Raja, yang Maha Suci, yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. (1) Dialah yang mengutuskan kepada kaum yang buta huruf seorang Rasul antara mereka, yang membacakan ayat-ayat-Nya kepada mereka, menyucikan mereka, dan mengajari mereka Kitab dan Hikmah (al-Sunnah). Dan sesungguhnya, mereka sebelumnya benar-benar berada dalam kesesatan yang nyata. (2) Dan (Dia juga telah mengutuskan Muhammad) kepada kaum yang lain daripada mereka yang belum berhubungan dengan mereka. Dan (ingatlah) Dialah yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. (3) Demikianlah kurniaan Allah, diberikan-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya; dan Allah mempunyai kurnia yang besar. (4)” (Surah al-Jumu‘ah: 1–4)
Namun, setiap penganut Islam diwajibkan menuntut ilmu dengan membaca dan menulis bagi melaksanakan petunjuk al-Quran dan menyampaikan ilmunya kepada semua manusia.
Maka, Islam membawa ilmu wahyu dan memandu semua ilmu akal, kajian, dan pengalaman bagi manusia melaksanakan peranan yang betul mengapa mereka diciptakan, sebelum mereka semuanya dihisab semula pada Hari Kiamat kelak. Firman Allah SWT:
﴿أَفَحَسِبۡتُمۡ أَنَّمَا خَلَقۡنَٰكُمۡ عَبَثٗا وَأَنَّكُمۡ إِلَيۡنَا لَا تُرۡجَعُونَ١١٥﴾
“Maka, apakah kamu mengira bahawa sesungguhnya, Kami menciptakan kamu secara main-main (sahaja), dan bahawa kamu (menyangka) tidak akan dikembalikan kepada Kami?” (Surah al-Mu’minun: 115)
Rasulullah SAW sendiri terlibat dengan urusan perniagaan yang berjaya bersama isterinya, Ummu al-Mu’minin Khadijah RA yang membantu perjuangan memenangkan Islam.
Sifat amanah yang wajib bagi Rasulullah SAW mendapat kepercayaan seluruh penduduk Makkah, sehingga Baginda diberikan kepercayaan untuk menyimpan barangan mahal dan harta mereka. Maka, rumah Rasulullah SAW berperanan sebagai ‘bank simpanan’ atau ‘pelaburan’ yang dipercayai kerana selamat daripada sebarang penipuan dan mendapat keuntungan.
Sehinggakan, pada masa hijrah, Rasulullah SAW menugaskan sepupu dan menantunya, ‘Ali RA untuk memulangkan semula semua barangan tersebut kepada pemilik masing-masing dengan sempurna tanpa membawa lari bersama ketika berhijrah. Pendapatannya pula adalah bagi membantu para sahabat yang memerlukan pertolongan, termasuk memerdekakan hamba daripada tuannya.
Islam mewajibkan adanya kuasa memerintah negara sebagaimana yang dijanjikan oleh Allah. Dengan syarat, umat Islam wajib beramal jihad untuk memenangkannya sehingga Islam berkuasa memerintah negara dan berpolitik di seluruh dunia. Firman Allah SWT:
﴿وَعَدَ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مِنكُمۡ وَعَمِلُواْ ٱلصَّـٰلِحَـٰتِ لَيَسۡتَخۡلِفَنَّهُمۡ فِي ٱلۡأَرۡضِ كَمَا ٱسۡتَخۡلَفَ ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِهِمۡ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمۡ دِينَهُمُ ٱلَّذِي ٱرۡتَضَىٰ لَهُمۡ وَلَيُبَدِّلَنَّهُم مِّنۢ بَعۡدِ خَوۡفِهِمۡ أَمۡنٗاۚ يَعۡبُدُونَنِي لَا يُشۡرِكُونَ بِي شَيْـًٔا ۚوَمَن كَفَرَ بَعۡدَ ذَٰلِكَ فَأُولَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡفَٰسِقُونَ٥٥﴾
“Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman antara kamu dan mengerjakan amal-amal yang soleh, bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di muka bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa, dan sungguh Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredai-Nya (Islam berkuasa memerintah) untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka, sesudah mereka dalam ketakutan menjadi aman sentosa. Mereka tetap menyembah-Ku dengan tiada mempersekutukan Aku dengan sesuatu apa pun. Dan sesiapa yang (tetap) kafir sesudah (janji) itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasiq.” (Surah al-Nur: 55)
Umat Islam hendaklah beriman dan beramal dengan berdakwah dan berjihad secara khusus bagi mencapai janji Allah itu. Apabila tawaran kerajaan Islam untuk memerintah ditolak, maka berdakwah dan berjihad adalah diwajibkan untuk mencapainya.
Rasulullah SAW menolak tawaran percuma pihak lawan tanpa Islam itu berkuasa, maka perlawanan antara kebenaran dengan kebatilan menjadi semakin sengit sehingga sampai ke puncaknya. Ada sahabat yang diseksa dan dibunuh, malah kaum Musyrikin turut merancang bagi membunuh Rasulullah SAW.
Apabila Makkah tidak memberikan tempat untuk Islam berkuasa, maka Rasulullah SAW mengambil kesempatan pada musim haji bagi menemui para pemimpin Arab yang besar pengaruhnya untuk menyampaikan mesej Islam.
Hanya Aus dan Khazraj sahaja yang datang dari Madinah yang menerima seruan dakwah Rasulullah dengan ikhlas. Seterusnya, mereka berbaiah untuk setia berkorban dengan harta dan jiwa raga, sambil Madinah menjadi tempat untuk menegakkan Islam yang berkuasa politik dan ekonomi bagi memerintah negara.
Makkah bertukar menjadi pangkalan pertama menentang Islam yang memerintah di Madinah. Keadaan ini mencetuskan banyak peperangan yang bertitik tolak daripadanya, termasuk Peperangan Ahzab (kumpulan bersekutu) gabungan Yahudi dan Musyrikin Arab; semuanya dapat dikalahkan.
Segala sekatan dari sudut ketenteraan, politik, ekonomi, dan masyarakat Arab gagal mengalahkan Islam. Hal ini menjadikan Islam semakin ramai penganutnya, sehingga beberapa kaum Yahudi dihalau dari Madinah kerana berlaku khianat.
Beberapa kabilah Arab pula ada yang memeluk Islam dan ada yang bernaung di bawah kerajaan Islam walaupun tidak menganutnya, manakala sebahagian besarnya masih menentang Islam bersama para pemimpin Makkah. Namun, ada yang menyimpan perasaan percaya akan Rasulullah SAW dan kebenaran petunjuknya, tetapi tidak percaya akan kemenangan Islam. Firman Allah SWT:
﴿وَقَالُوٓاْ إِن نَّتَّبِعِ ٱلۡهُدَىٰ مَعَكَ نُتَخَطَّفۡ مِنۡ أَرۡضِنَآۚ أَوَ لَمۡ نُمَكِّن نُمَكِّن لَّهُمۡ حَرَمًا ءَامِنٗا يُجۡبَىٰٓ إِلَيۡهِ ثَمَرَٰتُ كُلِّ شَيۡءٖ رِّزۡقٗا مِّن لَّدُنَّا وَلَٰكِنَّ أَكۡثَرَهُمۡ لَا يَعۡلَمُونَ٥٧﴾
“Dan mereka berkata, ‘Jika kami mengikuti petunjuk bersama kamu, nescaya kami akan diusir dari negeri kami.’ Dan apakah Kami tidak meneguhkan kedudukan mereka di dalam daerah haram (tanah suci) yang aman, yang didatangkan ke tempat itu buah-buahan daripada segala macam (tumbuh-tumbuhan) untuk menjadi rezeki (bagimu) dari sisi Kami? Akan tetapi, kebanyakan mereka tidak mengetahui.” (Surah al-Qasas: 57)
Apabila Rasulullah SAW berada dalam keadaan yang kuat, maka bertambahlah mereka yang memeluk Islam. Sementara itu, pihak Musyrikin Makkah pula semakin berkurangan sokongan, disertai oleh mimpi Rasulullah SAW yang bersifat wahyu. Firman Allah SWT:
﴿لَّقَدۡ صَدَقَ ٱللَّهُ رَسُولَهُ ٱلرُّءۡيَا بِٱلۡحَقِّۖ لَتَدۡخُلُنَّ ٱلۡمَسۡجِدَ ٱلۡحَرَامَ إِن شَآءَ ٱللَّهُ ءَامِنِينَ مُحَلِّقِينَ رُءُوسَكُمۡ وَمُقَصِّرِينَ لَا تَخَافُونَۖ فَعَلِمَ مَا لَمۡ تَعۡلَمُواْ فَجَعَلَ مِن دُونِ ذَٰلِكَ فَتۡحٗا قَرِيبًا٢٧﴾
“Sesungguhnya, Allah telah membuktikan kepada Rasul-Nya tentang kebenaran mimpinya dengan kenyataan sebenarnya, (iaitu) bahawa sesungguhnya, kamu pasti akan memasuki Masjid al-Haram, insya-Allah dalam keadaan aman, dengan mencukur rambut kepala dan mengguntingnya, sedang kamu tidak merasa takut. Maka, Allah mengetahui apa yang tiada kamu ketahui dan Dia memberikan sebelum itu suatu kemenangan yang dekat.” (Surah al-Fath: 27)
Maka, Rasulullah SAW meminta para sahabat RA bersama ke Makkah bagi menunaikan umrah dengan rasa gembira.
Makkah ialah kawasan aman, Tanah Haram yang diharamkan berlaku zalim di dalam kawasannya. Sehinggakan, pernah berlaku Hilf al-Fudul (perjanjian kerjasama menentang kezaliman) yang disaksikan oleh Rasulullah SAW ketika remaja bersama bapa-bapa saudaranya. Rasulullah SAW bersabda:
لَوْ دُعِيتُ بِهِ فِي الْإِسْلَامِ لَأَجَبْتُ.
“Sekiranya aku diajak kepadanya (perjanjian menentang kezaliman) pada zaman Islam, nescaya aku akan menyahutnya.” (Ibn Kathir, al-Bidayah wa al-Nihayah, Jld. 3, Hlm. 456)
Hal ini demikian kerana, tujuan perjanjian tersebut adalah untuk menentang kezaliman. Disebabkan tujuan ini jugalah, PAS pernah bertahaluf dengan DAP dahulu.
Rasulullah SAW dan sahabatnya RA yang telah berpakaian ihram untuk mengerjakan umrah, tiba-tiba dihalang dan tidak dibenarkan masuk ke Makkah, sehingga hampir mencetuskan peperangan apabila ‘Uthman RA yang diutus untuk berunding ditahan. Akhirnya, kaum Muslimin dan Musyrikin Makkah bersetuju untuk memeterai Perjanjian Damai Hudaibiyyah yang terkenal.
Rasulullah SAW menerima segala permintaan pihak musuh, termasuk menangguhkan umrah ke tahun hadapan. Para sahabat RA sangat tidak berpuas hati dengan perjanjian itu khususnya penangguhan umrah. Allah SWT mewahyukan firman-Nya:
﴿وَأَتِمُّواْ ٱلۡحَجَّ وَٱلۡعُمۡرَةَ لِلَّهِۚ فَإِنۡ أُحۡصِرۡتُمۡ فَمَا ٱسۡتَيۡسَرَ مِنَ ٱلۡهَدۡيِۖ وَلَا تَحۡلِقُواْ رُءُوسَكُمۡ حَتَّىٰ يَبۡلُغَ ٱلۡهَدۡيُ مَحِلَّهُۥۚ ... ١٩٦﴾
“Dan sempurnakanlah ibadat haji dan umrah kerana Allah. Jika kamu terkepung (terhalang oleh musuh atau kerana sakit), maka (sembelihlah) dam yang mudah didapati, dan janganlah kamu mencukur kepalamu (untuk bertahalul) sebelum binatang sampai di tempat penyembelihannya...” (Surah al-Baqarah: 196)
Para ulama’ fiqh membahagikan perkara wajib daripada peristiwa ini kepada wajib mudoyyaq (wajib yang tidak boleh ditangguhkan) dan wajib muwassa‘ (wajib yang boleh ditangguhkan).
Ambillah iktibar pada zaman kini bagi mereka yang mengerjakan haji dan umrah sunat kerana sayang akan duit tiket penerbangan yang telah dibayar, sanggup tidak menunaikan kewajipan mengundi, dalam keadaan bukan Islam mengerah semua pengundi dan mengeluarkan sebanyak mungkin duit, termasuk duit judi yang haram bagi mengambil alih kuasa politik negara.
Sedangkan Rasulullah SAW pun menangguhkan umrah dan haji yang wajib kerana menyegerakan urusan politik yang memberikan kuasa kepada Islam untuk memerintah.
Makkah akhirnya dibebaskan dalam peristiwa Fathu Makkah (Pembukaan Kota Makkah) selepas beberapa tahun, ketika Rasulullah SAW memasukinya tanpa berihram.
Abu Bakar RA kemudian ditugaskan untuk mengerjakan haji terlebih dahulu bagi membersihkan Makkah dan ibadat haji daripada tanda-tanda jahiliah. Selepas itu, berlaku Haji Wada‘ dan Khutbah Wada‘ (wasiat terakhir Rasulullah SAW sebelum wafat). Ucapan yang sangat panjang merangkumi aspek aqidah, syariat, akhlak, politik, ekonomi, dan sosial.
Firman Allah SWT kepada mereka yang berada di Makkah dan Madinah kerana uzur:
﴿لَّيۡسَ عَلَى ٱلضُّعَفَآءِ وَلَا عَلَى ٱلۡمَرۡضَىٰ وَلَا عَلَى ٱلَّذِينَ لَا يَجِدُونَ مَا يُنفِقُونَ حَرَجٌ إِذَا نَصَحُواْ لِلَّهِ وَرَسُولِهِۦۚ مَا عَلَى ٱلۡمُحۡسِنِينَ مِن سَبِيلٖۚ وَٱللَّهُ غَفُورٞ رَّحِيمٞ٩١ وَلَا عَلَى ٱلَّذِينَ إِذَا مَآ أَتَوۡكَ لِتَحۡمِلَهُمۡ قُلۡتَ لَآ أَجِدُ مَآ أَحۡمِلُكُمۡ عَلَيۡهِ تَوَلَّواْ وَّأَعۡيُنُهُمۡ تَفِيضُ مِنَ ٱلدَّمۡعِ حَزَنًا أَلَّا يَجِدُواْ مَا يُنفِقُونَ٩٢ ۞إِنَّمَا ٱلسَّبِيلُ عَلَى ٱلَّذِينَ يَسْتَأْذِنُوْنَكَ وَهُمۡ أَغۡنِيَآءُۚ رَضُواْ بِأَن يَكُونُواْ مَعَ ٱلۡخَوَالِفِ وَطَبَعَ ٱللَّهُ عَلَىٰ قُلُوبِهِمۡ فَهُمۡ لَا يَعۡلَمُونَ٩٣﴾
“Tiada dosa (lantaran tidak pergi berjihad) ke atas orang-orang yang lemah, orang-orang yang sakit dan orang-orang yang tidak memperoleh apa yang akan mereka nafkahkan, apabila mereka berlaku ikhlas kepada Allah dan Rasul-Nya. Tidak ada jalan (alasan) sedikit pun untuk menyalahkan orang-orang yang berbuat baik. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (91) Dan tiada (pula) berdosa ke atas orang-orang yang apabila mereka datang kepadamu, supaya kamu memberikan kepada mereka kenderaan, lalu kamu berkata, ‘Aku tidak memperoleh kenderaan untuk membawa kamu.’ Lalu, mereka pun kembali sedangkan mata mereka bercucuran air mata kerana kesedihan, lantaran mereka tidak memperoleh apa yang akan mereka nafkahkan. (92) Sesungguhnya, jalan (untuk menyalahkan) hanyalah terhadap orang-orang yang meminta izin kepadamu, padahal mereka itu orang-orang kaya. Mereka rela berada bersama orang-orang yang tidak ikut berjuang dan Allah telah mengunci mati hati mereka, maka mereka tidak mengetahui (akibat perbuatan mereka). (93)” (Surah al-Tawbah: 91-93)
Renungilah hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi RH ini:
مَرَّ رَجُلٌ مِنْ أَصْحَابِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِشِعْبٍ فِيهِ عُيَيْنَةٌ مِنْ مَاءٍ عَذْبَةٌ فَأَعْجَبَتْهُ لِطِيبِهَا، فَقَالَ: لَوِ اعْتَزَلْتُ النَّاسَ، فَأَقَمْتُ فِي هَذَا الشِّعْبِ، وَلَنْ أَفْعَلَ حَتَّى أَسْتَأْذِنَ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم، فَذَكَرَ ذَلِكَ لِرَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم، فَقَالَ: "لَا تَفْعَلْ، فَإِنَّ مُقَامَ أَحَدِكُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ أَفْضَلُ مِنْ صَلَاتِهِ فِي بَيْتِهِ سَبْعِينَ عَامًا، أَلَا تُحِبُّونَ أَنْ يَغْفِرَ اللَّهُ لَكُمْ وَيُدْخِلَكُمُ الجَنَّةَ، اغْزُو فِي سَبِيلِ اللَّهِ، مَنْ قَاتَلَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَوَاقَ نَاقَةٍ وَجَبَتْ لَهُ الجَنَّةُ".
“Bahawa seorang sahabat Rasulullah SAW berjalan di padang pasir pada musim panas. Beliau bertemu dengan satu lembah yang airnya tidak kering dan rumputnya subur. Lalu beliau berasa kagum dengan keelokannya dan berfikir, ‘Alangkah baiknya, jika aku beruzlah (mengasingkan diri dan bawa keluarga datang) ke sini untuk beribadat tanpa gangguan kesibukan orang ramai, namun aku tidak boleh berbuat demikian sehinggalah aku memohon keizinan daripada Rasulullah SAW terlebih dahulu.’ Beliau pun memberitahu Rasulullah SAW berkenaan perkara tersebut. Tiba-tiba, Baginda bersabda, “Janganlah engkau melakukannya!
Sesungguhnya, engkau berada satu hari bersama orang ramai (berjuang di jalan Allah) adalah lebih baik daripada engkau beribadat (solat) di sana selama 70 tahun. Tidakkah kamu senang, Allah mengampuni dosa-dosamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga? Berjuanglah di jalan Allah, sesiapa yang berjuang di jalan Allah sekadar memerah susu unta, maka wajib baginya syurga.” (Riwayat al-Tirmizi, No. 1650)
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 18 Zulhijjah 1444 / 7 Julai 2023
[Bil: 54 / 2023]
Ulasan