Mad Said Atau Dr. Sam, Siapa Jaga Terengganu Dengan Baik?

 


Bila dekat dengan pilihanraya, semua pihak akan kata, parti yang disokongnya berjaya tadbir kerajaan dengan baik. Saya lebih suka melihat kepada fakta dan bukannya sentimen politik. Tulisan kali ini saya akan analisa pentadbiran kerajaan negeri zaman UMNO dan PAS bagi menilai siapa yang tadbir Terengganu dengan baik.

2. Pertama kita analisa kewangan negeri. Kita perlu faham hasil kerajaan negeri bergantung sangat tinggi terhadap hasil royalti petroleum dan hasil yang diterima adalah “lebih kurang” setiap tahun. Ini kerana anggaran penerimaan royalti adalah bergantung kepada harga petroleum setong di pasaran dunia. Sekiranya tinggi harga petroleum, maka tinggilah hasil negeri. 

3. Namun apa yang menarik saya amati ketika zaman PAS, Dr. Samsuri menggerakkan satu usaha untuk mengurangkan kebergantungan kepada hasil petroleum. Hasil daripada usaha yang dilaksanakan oleh Dr. Samsuri ini, kebergantungan terhadap hasil royalti pada zaman UMNO yang berada pada kadar 70% pada tahun 2017 berjaya dikurangkan sehingga 62% pada tahun 2020. 

4. Disini kita dapat lihat visi seorang pemimpin yang ada pada Dr. Samsuri yang sentiasa melihat kehadapan dan merancang untuk memastikan kewangan negeri sentiasa kukuh dan sihat. 

5. Kedua kita lihat pada aspek hutang negeri. Ketika PAS mengambil alih kerajaan negeri pada 2018, UMNO tinggalkan hutang yang banyak dalam bentuk “scheduled and deferred payment”. Hutang ini adalah hutang yang dicipta oleh kerajaan UMNO melalui projek yang mana kontraktor yang terlibat dikehendaki mendahulukan kewangan sendiri bagi menyiapkan projek. 

6. Maka kerajaan negeri akan membayar semula secara berjadual dan sudah tentu bayaran lebih mahal kerana mengambil aspek keuntungan kontraktor. Setiap tahun hampir RM200 - 400 juta dibelanjakan oleh kerajaan negeri dizaman PAS untuk menanggung hutang ini, dan angka ini adalah menyamai perbelanjaan pembangunan dalam bajet tahunan kerajaan negeri.

7. Ketiga kita lihat dari sudut pelaburan masuk kedalam Negeri Terengganu. Jika dianalisa data MIDA, dari tahun 2013 – 2017 (zaman UMNO) pelaburan masuk ke Negeri Terengganu hanya RM5.337 billion dan dari tahun 2018 – 2022 (zaman PAS) pelaburan masuk adalah RM11.84 billion. Ini menunjukkan keyakinan pelabur terhadap Kerajaan Negeri Terengganu dibawah PAS.

8. Keempat, kita nilai dari aspek prestasi syarikat GLC. Terengganu Incorporated yang merupakan syarikat pelaburan utama milik kerajaan negeri, berjaya mencatat hasil tertinggi dalam sejarah penubuhannya iaitu RM1.2 billion pada tahun 2022. 

9. Begitu juga TDM Berhad yang berjaya mencatat hasil tertinggi dalam sejarah iaitu RM 614.4 juta. TDM Berhad yang merupakan public listed company juga telah berjaya menyelesaikan satu pelaburan rugi dizaman UMNO iaitu pembelian ladang kelapa sawit di Kalimantan yang menelan pelaburan dan kos operasi hampir RM800 juta. Ia telah berjaya dijual bagi mengurangkan terus kerugian kumpulan TDM Berhad.

10. Satu lagi GLC public listed yang berjaya dizaman PAS adalah Golden Pharos Sdn Bhd. Keuntungan atau Profit after Tax (PAT) tertinggi ketika zaman UMNO adalah RM0.5 juta. Pada 2022, syarikat ini telah mencatatkan PAT tertinggi dalam sejarah iaitu RM11.86 juta. Dengan perlantikan CEO Dr. Mohd Zaki Bin Hamzah  yang merupakan seorang pakar bidang perkayuan dan perhutanan serta penstrukturan semula operasi anak syarikat Golden Pharos Sdn Bhd, ia telah membuahkan hasil yang membanggakan. 

11. Hotel milik kerajaan negeri seperti Paya Bunga Hotel yang merupakan satu projek terbengkalai dan ditinggalkan UMNO dengan kerugian terkumpul RM1.5 juta, kini berjaya menjadi hotel bertaraf antarabangsa dengan hasil sebanyak RM15 juta serta keuntungan selepas cukai RM2 juta. Begitu juga Hotel Duyong Marina yang bertahun-tahun mengalami kerugian, sejak PAS mengambil alih pendapatan terus meningkat saban tahun dan terkini pada tahun 2022, pendapatan sebanyak RM10.4 juta diperolehi. 

12. Satu aspek yang Kerajaan PAS konsisten dalam membantu rakyat adalah pemberian tanah. Pada tahun 1999-2004, kerajaan ketika itu telah menganugerahkan sebanyak 50,000 lot tanah kepada rakyat. Sebahagiannya dirampas semula oleh UMNO apabila mereka berkuasa semula pada 2004. Ada diantara mereka yang dirampas telah pun meninggal dunia pada hari ini. 

13. Oleh yang demikian, kerajaan PAS dibawah Dr. Samsuri telah menganugerahkan 7,601 lot tanah kepada permohonan tanah terkilan (pemohon tanah yang dirampas oleh UMNO pada 2004) dan 28,260 lot tanah permohonan baru kepada rakyat. 

14. Kalau dicermati setiap fakta yang dikemukakan diatas, saya suka bawa satu analogi bahawa Negeri Terengganu ibarat sebuah kereta. Rakyat sebagai pemilik kereta yang memberi kepercayaan kepada driver (Menteri Besar) UMNO untuk memandu. Namun kereta dilenjan sehingga rosak teruk. Tayar botak, alignment lari. Engine semput dan hampir nak pecah. Cermin retak. 

15. Apabila rakyat tidak puas hati terhadap driver, maka ditukar kepada driver PAS. Apabila driver PAS ambil alih, dikenalpasti segala kerosakan kereta, dibaiki sedikit demi sedikit sehingga kereta boleh berfungsi dengan baik dan memberikan manafaat yang baik kepada rakyat. 

16. Kini apabila kereta telah pulih dan tip-top, driver UMNO kembali dan mengatakan PAS tidak pandai jaga kereta dan mereka lebih baik dalam menjaga kereta. Mereka menuntut kereta diberikan kepada driver mereka Mat Said. Maka saya yakin rakyat akan jawab, boleh blah!!! Kami lebih yakin dengan Dr. Samsuri.

Nurul Islam Mohamed Yusoff

Ulasan