Puluhan Ribu Anak Muda Konvoi ke Himpunan Teguh Pertahan


KUALA TERENGGANU - Lebih 10,000 anak muda menyertai konvoi motosikal mengiringi Naib Presiden PAS, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar ke Program Santai Anak Muda, Himpunan Teguh Pertahan petang tadi. 

Ketua Pemuda PAS Terengganu, Ustaz Mohd Harun Esa yang turut serta dalam konvoi itu berkata, penyertaan ramai anak muda berlaku di luar jangkaan. 

"Mereka hadir tanpa sebarang upah, dalam masa yang sama mereka juga terpaksa mengeluarkan wang sendiri untuk membeli baju konvoi. 

"Namun, mereka tetap hadir dengan jumlah yang sangat ramai, ini pasti satu signal jelas kepada pihak lawan bahawa anak muda mahu mengekalkan kerajaan negeri sedia ada," ujarnya ketika dihubungi media sebentar tadi. 

Turut terlibat dalam konvoi itu ialah Timbalan Pesuruhjaya II dan III PAS Terengganu, Dato' Satiful Bahri Mamat dan Dato' Dr Alias Razak. 

Menurut Mohd Harun, aksi bersahaja Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu mungkin menjadi faktor anak muda atas pagar tertarik untuk turut serta dalam aktiviti itu. 

"Mereka datang dari pelbagai arah menunjukkan anak muda sememangnya seronok untuk hadir ke program pada kali ini bersama dengan Menteri Besar. 

"Menunjukkan anak muda pada masa kini menyenangi pimpinan PAS dan Dr Sam yang dilihat cukup berjaya mengemudi Terenganu," jelasnya.

Pada malam ini, Himpunan Teguh Pertahan akan diteruskan dengan aktiviti utama iaitu Ceramah Mega Jelajah PNBest yang menampilkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Pengerusi I PN, Tan Sri Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang. 

Turut berkongsi pentas pidato pada malam ini ialah bekas Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa.

Ulasan