20 Seksyen Dalam Enakmen Jenayayah Syariah Kelantan Tidak Sah?


 Isu Nik Elin mencabar keabsahan 20 enakmen syariah Kelantan semalam sepatutnya membuka mata hati umat Islam betapa perlunya kita mengislamkan undang² tertinggi negara, Perlembagaan Persekutuan serta undang² lainnya. 


Orang² yang berpendidikan sekular tidak mentafsirkan perkara 3 perlembagaan persekutuan (Islam agama persekutuan) sebagai agama yang syumul, di mana ia merangkumi semua aspek termasuklah bab hukum hakam jenayah. 


Ini kerana di sana sudah ada penal code yang menyentuh sebahagian besar jenayah² di Malaysia. Maka mana² undang² syariah yang dienakmenkan di peringkat negeri, boleh dianggap bercanggah dengan undang² di peringkat persekutuan. Justeru, secara automatiknya boleh terbatal setakat mana yang bercanggah itu. 


Untuk lebih memahami isu, sila baca dengan teliti apa yang berlaku dan enakmen apa yang dicabar: 


Ringkasan kes adalah seperti berikut:

Pada 30 September 2022, Pempetisyen-Pempetisyen iaitu 1. Nik Elin Zurina Binti Nik Abdul Rashid dan 2. Tengku Yasmin Nastasha Binti Tengku Abdul Rahman telah diberikan kebenaran untuk memulakan cabaran berdasarkan Perkara 4 (4) Perlembagaan Persekutuan bagi mengisytiharkan peruntukan-peruntukan tertentu di dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan adalah TIDAK SAH atas alasan peruntukan-peruntukan tersebut melibatkan perkara-perkara yang bukan dalam bidang kuasa Badan Undangan Negeri Kelantan untuk membuat undang-undang.


Terdapat 20 jenis kesalahan Syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 Kelantan yang dicabar, iaitu


1. Seksyen 5 (Dakwaan palsu);

2. Seksyen 11 (Memusnahkan atau mencemarkan tempat ibadat);

3. Seksyen 13 (Menjual atau memberikan anak kepada orang bukan Islam atau orang Islam yang keji akhlaknya);

4. Seksyen 14 (Liwat);

5. Seksyen 16 (Persetubuhan dengan mayat);

6. Seksyen 17 (Persetubuhan dengan bukan manusia);

7. Seksyen 30 (Kata-kata yang boleh memecah keamanan);

8. Seksyen 31 (Gangguan seksual)

9. Seksyen 34 (Memiliki dokumen palsu, memberikan keterangan, maklumat atau pernyataan palsu)

10. Seksyen 36 (Apa-apa yang mengkhayalkan)

11. Seksyen 37 (Berjudi)

12. Seksyen 39 (Mengurangkan ukuran, sukatan dan timbangan)

13. Seksyen 40 (Melakukan transaksi muamalat yang berlawanan dengan hukum syarak)

14. Seksyen 41 (Melakukan transaksi muamalat secara riba dll.)

15. Seksyen 42 (Penyalahgunaan penandaan dan perbahasan halal)

16. Seksyen 43 (Menawar atau memberi perkhidmatan maksiat)

17. Seksyen 44 (Perbuatan sebagai persediaan untuk menawarkan atau memberi perkhidmatan maksiat)

18. Seksyen 45 (Perbuatan sebagai persediaan melakukan maksiat)

19. Seksyen 47 (Perbuatan sumbang mahram; dan/atau

20. Seksyen 48 (Muncikari)


Antara kumpulan yang menyebelahi Nik Elin ialah Sisters In Islam. Ia suatu NGO yang memperjuangkan liberalisme dalam negara. Memperjuangkan hak² wanita secara fahaman barat. Memperjuangkan hak² asasi manusia secara fahaman barat. Mereka berfikir secara realiti undang² yang ada di Malaysia. Dan menterjemahkannya berdasar kerangka barat. 


Jadi, tentang peruntukan yang ada dalam undang² negara, adalah sangat perlu pakar dan pengamal undang² memberi kefahaman yang baik dan mudah kepada orang awam khususnya orang Islam supaya tidak ambil rumusan yang simplicity dengan mengabaikan realiti sebenar iaitu sememangnya sudah lama ada undang² jenayah yang selari dengan undang² Islam tetapi tidak berada dalam enakmen jenayah syariah sehinggalah seksyen² yang baharu dimasukkan dalam enakmen jenayah syariah di Kelantan.  


Isu ini sangat komplikated untuk difahami kerana sudah pasti berlaku perbezaan pendapat di kalangan ahli akademik, pengamal dan pakar undang². 


Justeru, dialog, wacana, seminar hendaklah dianjurkan bagi melihat jalan terbaik untuk menyelesaikannya. Apa tindakan terbaik yang patut dibuat dengan mengambilkira kesejahteraan dan keamanan dalam negara. 


Boleh jadi ia akan dapat ditangani dengan pindaan Akta 355 yang bertujuan memberi kuasa yang lebih kepada mahkamah syariah. Atau secara realistiknya mengiktiraf sebahagian undang² dalam penal code sebagai undang² Islam? Bukankah sebahagian seksyen² yang tercatat di atas itu termasuk dalam takzir? Dan takzir itu sangat luas ruang lingkupnya. 


Semua ini bukan boleh dicapai dengan bicara di medsos. Harus digembleng tenaga dan pemikiran agar dapat selesaikan secara matang dan sejahtera. 


Tugas kita umat Islam ialah mempertahankan Islam dengan jalan yang terbaik. Bagai tarik rambut di dalam tepung. Rambut tak putus, tepung tak berselerak. Tak perlu huru hara, penuh hikmah tapi tetap dengan ketegasan prinsip.


Wallahu a'lam. 


DARI UMMAH UNTUK UMMAH


Wan Mohd Faizul Wan Abas

Pengerusi Gerakan Ummah Terengganu

18 Ogos 2023/1 Safar 1445

Ulasan