Bangun Ekonomi Setempat Fokus Utama Calon PAS Bukit Tunggal

 


KUALA NERUS - Pembangunan ekonomi dan kesejahteraan setempat antara fokus utama diberi tumpuan oleh calon Parti Islam Se-malaysia (PAS) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Tunggal. 

Zaharuddin Zahid berkata, sekiranya diberi kepercayaan mentadbir kerajaan pelbagai perkara yang ingin dilaksanakan bagi memajukan DUN Bukit Tunggal dan negeri ini.

“Kedudukan DUN Bukit Tunggal ini suatu yang unik kerana sebahagian berada di sepanjang sungai Terengganu.


“Lokasi Bukit Tunggal juga paling kecil di Daerah Kuala Nerus namun paling hampir dengan bandar Kuala Terengganu,” jelasnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program bertemu rakyat di Kampung Pualu Ketam, Pulau Duyong di sini semalam.

Tambah Sr Zaharuddin, pelbagai perkara yang boleh diterokai di DUN ini khususnya bagi memajukan produk yang dihasilkan oleh anak-anak tempatan di sini.

“Antaranya pembuatan produk yang boleh dikomersialkan menjadi suatu tarikan pelancongan.


“Seperti di Pulau Duyong, terdapat seorang pembuat bot perahu layar yang tiada di tempat lain,” katanya.

Beliau berkata, pembuatan itu tidak memerlukan sebarang pelan, hanya daripada pengalaman sahaja sehingga boleh terhasil sesuatu produk.

“Perkara ini kita akan cuba perluaskan kemahiran tersebut kerana daripada ramai pembuat bot hanya tinggal seorang sahaja.

"Insya-Allah banyak lagi tumpuan yang boleh diberikan bagi memajukan kawasan DUN Bukit Tunggal supaya menjadi pusat tumpuan negeri Terengganu,” ujarnya.

Ulasan