PAS Peroleh Majoriti Undi Dua Kali Ganda Di DUN Batu Buruk


KUALA TERENGGANU - Parti Islam Se-Malaysia (PAS) memperoleh jumlah majoriti undi dua kali ganda di DUN Batu Buruk iaitu 17668 undi berbanding pada Pilihanraya Umum ke 14 (PRU-14) yang lalu iaitu 5288 undi. 

Jumlah tersebut menyaksikan calon PAS, Dr. Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi kekal mempertahankan kemenangan di DUN tersebut menewaskan calon Pakatan Harapan, Zamir Ghazali.

Ketika ditemui, Dr. Ustaz Muhammad Khalil menyatakan menerima kemenangan tersebut dengan penuh tawaduk dan rendah diri.

"Bagi PAS sebagai sebuah parti Islam, kemenangan yang kita capai ini adalah anugerah dari Allah SWT.

" Ada pun usaha dan kerja kuat kita hanya sedikit, Allah SWT yang telah menggerakkan hati pengundi-pengundi untuk memberikan undi mereka kepada PAS," katanya.

Tambah beliau, PAS akan terus bekerja bagi memastikan agenda parti dapat dilaksanakan dengan jayanya untuk rakyat secara keseluruhannya.

Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pengundi yang telah memberikan undi kepada PAS. 

"Saya dengan rendah diri akan berbakti kepada seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang politik kerana mereka semua adalah rakyat DUN Batu Buruk. 

"Kepada seluruh jentera, saya mengucapkan setinggi penghargaan, tahniah dan terima kasih atas komitmen semua yang telah bertungkus-lumus daripada awal sehingga kita mencapai kemenangan ini. 

"Mudah-mudahan Allah SWT menerima segala amalan kita dan memberikan keikhlasan kepada diri kita," tambahnya lagi.

Ulasan