Siapa Dr. Mohd Mazri Yahya ?


 KUALA TERENGGANU - Beliau adalah seorang pegawai perubatan, aktivis kemasyarakatan dan ahli politik Malaysia berbangsa Melayu dari Parti Islam Se-Malaysia. 

Di peringkat parti, beliau merupakan Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat dan Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Johor. Beliau juga merupakan AJK Perikatan Nasional negeri Johor. 

Dalam organisasi masyarakat, beliau merupakan Pengerusi Gerakan Pembela Ummah Negeri Johor.

Beliau menamatkan pengajian dari Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia pada 1994, dan menyambung pengajian pascasiswazah sebagai Sarjana dalam Pembedahan dari tahun 1997 hingga 2001 di Universiti yang sama. 

Beliau menamatkan kursus latihan berstruktur empat tahun dengan pelbagai posisi. 

Beliau menamatkan latihan Kepakaran Khusus dalam Pembedahan Vascular & Endovascular di Jabatan Pembedahan Hospital Kuala Lumpur dan diikuti tawaran kerja setahun di Jabatan Pembedahan Vaskular, Hospital Diraja Perth sebagai Pendaftar Kanan.

Dr Mohd Mazri Yahya adalah calon Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang bertanding kerusi Parlimen P161 Pulai, Johor pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14.

Beliau merupakan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat dan Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Johor.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke 14 dalam pertandingan empat penjuru, beliau tewas menawan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram termasuk Parlimen Pulai.



<strong>Bertanding bukan mencari kekayaan</strong>


Dr Mohd Mazri Yahya menjelaskan, keputusannya bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) bukan untuk mencari kekayaan atau kekuasaan.

Sebaliknya kata Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat itu, beliau bersetuju menjadi calon selepas parti mahukannya bertanding lagi selain mahu berkhidmat kepada masyarakat di Simpang Jeram.

"Saya tiada niat nak tanding PRK tapi sebagai ahli Pas dan AJK Pas Pusat selain mengikut arahan kepimpinan parti untuk bertanding di Simpang Jeram.

"Pada mulanya perasaan itu berbelah bagi tapi atas dasar tanggungjawab kepada parti, saya rasa perlu (bertanding), Insya-ALLAH akan cuba sempurnakan amanah ini.

"Mudah-mudahan masyarakat di Simpang Jeram dapat menerima saya dan cuba sumbang yang terbaik kepada masyarakat Simpang Jeram," katanya ketika ditemui selepas diisytiharkan sebagai calon DUN Simpang Jeram semalam.



<strong>Isu doktor kontrak</strong>


Isu melibatkan doktor kontrak yang timbul di negara ini bukan masalah baharu sebaliknya ia adalah satu masalah yang timbul akibat kesilapan perancangan kerajaan terdahulu sejak 20 tahun lalu di bawah Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Menurut Dr. Mazri, keobsesan kerajaan yang memerintah pada waktu itu dengan nisbah doktor kepada populasi setaraf dunia maju menyebabkan agenda menghasilkan doktor dengan cepat telah menjadi agenda negara sehingga terlahir fakulti perubatan yang terlalu banyak.

“Natijahnya, disebabkan terlalu ramai graduan perubatan dan pada masa yang sama penjawatan kekal doktor siswazah di Kementerian Kesihatan terhad, maka diperkenal satu sistem penjawatan kontrak pada Disember 2016 di bawah kepimpinan Perdana Menteri Malaysia ke-6, Datuk Seri Najib Abdul Razak.

“Ketika ia diperkenal, tiada mogok dilancarkan mana-mana pertubuhan bukan kerajaan atau mana-mana parti politik atau doktor-doktor yang menandatangani perjanjian penerimaan jawatan kontrak tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, sepanjang lima tahun tempoh kontrak tersebut, tiada usaha dilakukan sama ada oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) yang berakhir pada 2018 atau oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang berakhir pada 2020.

“Tiada desakan daripada awal sehinggalah di akhir 2020. PAS menyedari masalah doktor kontrak ini. Beban kesalahan bukanlah di pihak doktor kontrak dan bukan juga di bawah kerajaan pada hari ini.

Walaupun begitu katanya, PAS mengucapkan ribuan terima kasih kepada Perdana Menteri di atas pengumuman rasmi kerajaan pada 23 Julai 2021 yang menyatakan komitmen kerajaan untuk mengatasi masalah doktor kontrak tersebut dengan reformasi menyeluruh perkhidmatan kesihatan negara.

“Komitmen yang tidak pernah dilakukan oleh kedua-dua kerajaan sebelum ini. Pengumuman Perdana Menteri telah merapatkan jurang di antara doktor kontrak dan doktor tetap dan yang berbeza hanya pada namanya sahaja,” ujarnya


Ulasan