Tak Semestinya Jadi Exco Baru Boleh Bawa Suara Wanita

 


KUALA TERENGGANU - Tidak semestinya memegang jawatan Exco barulah dapat membawa suara wanita Terengganu ke peringkat tertinggi dalam kerajaan negeri.

Kata ADUN Ladang, Zuraida Md Noor menjawab polemik yang ditimbulkan oleh Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh  mempersoalkan mengapa bukan wanita yang mewakili portfolio kaum tersebut.

"Jika dahulu pun, saya selaku ADUN lantikan pun mampu melakukan tanggungjawab tersebut.

"Saya insya-Allah selaku Timbalan Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri Terengganu akan bergandingan bersama-sama YB Ustaz Maliaman Kassim,  bagi memastikan wanita Terengganu terus terbela," jelasnya.

Beliau yang merupakanTimbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri Terengganu dalam kenyataan media pada semalam.

Kata Zuraida, beliau mengucapkan terima kasih kepada semua yang memberikan sokongan kepada Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dalam PRU kali ini.

"Saya akan meneruskan gerak kerja yang telah diasaskan terdahulu iaitu Pusat Autisme Sejahtera Terengganu yang  dirasmikan pada 26 julai 2023 lalu setelah empat tahun kita berusaha.

"Merupakan usaha padu antara EXCO terdahulu, YB Hanafiah Mat bersama-sama Persatuan Autisme Negeri Terengganu dan tercetus idea apabila bertemu ramai anak autisme sewaktu turun berziarah tetapi mereka tidak mendapat terapi dan yang sewajarnya atas kekangan kewangan.

"Jadi di sinilah datangnya 'wake up call' untuk satu usaha secara serius dimulakan bagi membantu golongan ini, termasuk juga ibubapa mereka," jelasnya.

Beliau menambah, Dasar Wanita Terengganu bertitik tolak dari Seminar Hala Tuju Wanita Terengganu pada 5 Mac 2019, yang mana salah satu resolusinya ialah penggubalan dasar dan penyediaan pelan tindakan hala tuju wanita Terengganu.

"Alhamdulillah pada 29 September 2022, Dasar Wanita Terengganu telah berjaya dilancarkan setelah melalui beberapa proses.

"Insya-Allah pada tahun ini, kita akan mulakan proses implementasi kepada para pemegang taruh.

"Kita akan susuli juga dengan proses-proses berikutnya bagi memastikan agenda memperkasakan wanita Terengganu tidak keciciran," ujarnya.

Tambah Zuraida, beliau akan bersama -sama dengan Urus Setia Wanita Terengganu (Uswa) yang mana merupakan satu unit tubuh berperanan dalam memastikan wanita Terengganu terbela selain memacu hala tuju wanita Terengganu.

Justeru itu, beliau menyeru kepada semua pihak agar semua pihak sama-sama mendoakan agar diberi kekuatan untuk menggalas amanah ini dan amat mengharapkan dokongan daripada semua pihak.

"Insya-Allah saya akan usahakan yang terbaik, demi memastikan hasrat Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera itu tercapai dan rakyat dapat menikmati hasil daripada itu," tambah beliau lagi.

Katanya, Pasca-PRU ini, menyaksikan Rakyat Terengganu memberi kepercayaan penuh kepada PAS untuk memandu arah tuju bumi Darul Iman dengan kemenangan bergaya 32 DUN tanpa berbalas dan ditambah dengan kemenangan di Parlimen Kuala Terengganu.




 


 




Ulasan