Yakin Menang Dengan Undi Orang Muda

 


Oleh : Rohayati Ripin 

SETIU - Calon PAS / Perikatan Nasional (PN), Azmi Maarof yakin akan menang dengan undi orang muda pada Pilihan Raya Umum (PRU) DUN ke 15.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas membuang undi di Sekolah Kebangsaan Kampung Rahmat, Setiu pada jam 9.14, pagi tadi.

Katanya, beliau lebih yakin PAS  boleh memenangi DUN Langkap kali ini dengan sokongan dan undian anak muda.

"(Kalau ditakdirkan PAS menang), alhamdulillah bersyukur sebab Langkap sendiri tempat kubu Umno jadi kalau PAS menang bukan ajaib tapi amat sengit dari segi lawan kita 'orang besar'," jelasnya.


Justeru itu, sekiranya menang beliau berjanji akan meneruskan agenda kebajikan untuk rakyat di DUN ini.

"Agenda lain insya Allah dari segi perumahan rakyat, tapak rumah khususnya kerajaan janji supaya rakyat dapat tapak rumah ataupun Rumah Mampu Milik (RMM) di Terengganu dan juga DUN Langkap.

"Memang cadangan kita dah  ada tapak rumah dan insya Allah 50 ekar di DUN Langkap," katanya.

Tambah Azmi, terdapat 40 ekar tanah yang telah digazekkan antaranya ialah di Sungai Bari di tapak kilang dan Felda Chalok Barat.

"Generasi kedua Felda di Felda Chalok Barat dan generasi Kampung Rahmat kita dah selesai hampir 200 kita dah bagi lot- lot tapak rumah," tambah beliau.


Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada pengundi yang bagi sokongan dan mengundi PAS.

"Insya Allah PAS menang," katanya lagi.

Ulasan