Kerajaan PAS Terengganu Laksana Dasar Sedia Ada

 


KUALA TERENGGANU – Kerajaan PAS Negeri akan meneruskan dasar sedia ada disamping menilai dan melakukan perubahan yang sesuai dengan keadaan semasa dalam memastikan kesejahteraan rakyat dan negeri  dicapai.

Setiausaha Badan Perhubungan PAS Terengganu,  Ustaz Wan Sukairi Wan Abdulah berkata beliau akan memastikan setiap tugasan yang dipikul mampu menjayakan dasar kerajaan Pusat mahupun kerajaan negeri dilaksanakan sebaik mungkin.

Katanya, sebelum melaksanakan halatuju portfolionya, perbincangan dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri, ketua-ketua jabatan yang berkaitan diadakan terlebih dahulu bagi membincangkan beberapa perkara berkaitan kesejahteraan penduduk.

“Menjadi rutin saya sejak sebelum ini ketika menjadi Exco Pembangunan Sukan, Belia dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri lagi untuk mengadakan perbincangan dan mendengar pandangan dari pegawai-pegawai kerajaan dalam sesuatu perkara.

“Perkara ini amat penting agar gerak kerja lebih tersusun dan jika ada apa-apa hal yang berbangkit, ianya dapat diatasi dan diharmonikan.

“Saya akan meneruskan segala usaha baik yang telah dilakukan oleh Exco sebelum ini di samping menambah baik segala program dan projek yang akan datang agar lebih berdaya saing, kompeten dan efisien demi kemajuan serta kemakmuran negeri,” kata beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri.

Menurut Wan Sukairi, beliau sudah memulakan tugasan yang telah dipertanggungjawabkan dan melihat apa isu, permasalahan dan penambahbaikan yang diperlukan hasil perbincangan dan pertemuan bakal dilakukan,

“Insha Allah, saya sedia mendengar pandangan dari semua pihak termasuk turun padang (terjah) ke lokasi-lokasi terpilih untuk mendengar masalah rakyat.

“Saya akan berusaha sehabis baik untuk memacu negeri  ke satu tahap yang lebih baik demi kesejahteraan rakyat , dibantu oleh pegawai dan kakitangan kerajaan,” kata beliau.

Dalam pada itu, Wan Sukairi berkata, portfolio yang dipertanggungjawabkan itu merupakan cabaran besar untuknya berbanding jawatannya sebelum ini.

Ulasan