'RXZ Members' Bukan Mat Rempit

 


KUALA TERENGGANU - Penganjuran himpunan ‘RXZ Members’ membuktikan bahawa pemilik dan penunggang motosikal tersebut bukan 'Mat Rempit' sebagaimana yang digambarkan oleh sesetengah pihak.

Ketua Penerangan PAS Terengganu YB Ustaz Hishamuddin Abdul Karim berkata, tinggi harapan pihak kerajaan PAS negeri serta penganjur agar peserta RXZ Members dapat terus mengekalkan disiplin diri dengan mematuhi segala peraturan dan undang-undang.

"Dengan menghormati pengguna jalan yang lain dan saling bersikap prihatin antara sesama pengguna jalanraya. objektif penganjuran bagi membuktikan bahawa penunggang RXZ bukan 'perempit' tapi ada (memiliki) disiplin tersendiri," ujarnya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO,  berkata demikian menerusi satu kenyataan dalam media sosialnya.

Mengulas lanjut mengenai program berkenaan pada tahun ini yang mendapat sambutan luar biasa,  menurut beliau, ia merupakan suatu kejayaan pihak penganjur yang selama ini berusaha bagi memastikan acara tahunan itu berjalan lancar.


"Pihak penganjur mendapatkan kerjasama pihak kerajaan negeri Terengganu, Urusan permit himpunan dan seumpamanya diuruskan oleh pihak penganjur.

"Saya telah mempengerusikan mesyuarat penyelarasan yang dihadiri oleh semua pihak termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

"Penganjur juga telah memainkan peranan dengan melaksanakan beberapa pertemuan khas bersama pihak berkuasa  bagi mendapatkan komen, pandangan dan kerjasama yang sewajarnya," katanya.

Tegasnya, mengenai insiden penahan peserta oleh pihak polis akan memberi kesan kehadiran pada masa akan datang dan beliau berunding dan memohon pihak berkuasa memberikan pertimbangan istimewa.

"Tahun akan datang kita belum tahu. Penganjur juga belum menentukan mana lokasi  seterusnya selepas ini, penganjuran di negeri ini bukan mutlak setiap tahun.

"Sebelum ini ia pernah diusahakan untuk dibawa ke negeri lain, ada banyak lagi faktor untuk peserta RXZ hadir ke Terengganu seperti menikmati keindahan pemandangan, layanan rakyat Terengganu dan seumpamanya.

"Atas sebarang kesulitan semua pihak, kami dahului dengan permohonan maaf dan semoga himpunan ini menambahkan kenalan dan mempereratkan hubungan persaudaraan," jelasnya.

Oleh itu, beliau mengucapkan setinggi tahniah buat penganjur yang telah bertungkus lumus menjayakan program tersebut sehingga berjaya mencatat kehadiran lebih 60,000 walaupun terpaksa berhadapan cabaran besar.

"Terima kasih juga atas kunjungan semua pihak ke negeri kami, Terengganu Daru Iman," tegas beliau.

Ulasan