Al-Quran ialah petunjuk sebenar yang tiada keraguan padanya bagi mereka yang beriman. Ia merupakan Kalam Allah SWT, Pencipta alam yang Maha Mengetahui dan bersifat ilmu yang tiada batasannya, sama ada yang nyata atau yang ghaib, termasuk berkenaan makhluk-Nya yang bernama manusia yang dizahirkan seperti jasadnya dan disembunyikan seperti roh dan akal fikirannya, tanpa mengira agama, bangsa, negeri, parti dan apa-apa jenama yang diberi.
Firman Allah SWT:
﴿كَانَ ٱلنَّاسُ أُمَّةٗ وَٰحِدَةٗ فَبَعَثَ ٱللَّهُ ٱلنَّبِيِّۧنَ مُبَشِّرِينَ وَمُنذِرِينَ وَأَنزَلَ مَعَهُمُ ٱلۡكِتَٰبَ بِٱلۡحَقِّ لِيَحۡكُمَ بَيۡنَ ٱلنَّاسِ فِيمَا ٱخۡتَلَفُواْ فِيهِۚ وَمَا ٱخۡتَلَفَ فِيهِ إِلَّا ٱلَّذِينَ أُوتُوهُ مِنۢ بَعۡدِ مَا جَآءَتۡهُمُ ٱلۡبَيِّنَٰتُ بَغۡيَۢا بَيۡنَهُمۡۖ فَهَدَى ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ لِمَا ٱخۡتَلَفُواْ فِيهِ مِنَ ٱلۡحَقِّ بِإِذۡنِهِۦۗ وَٱللَّهُ يَهۡدِي مَن يَشَآءُ إِلَىٰ صِرَٰطٖ مُّسۡتَقِيمٍ٢١٣﴾
“Manusia itu ialah umat yang satu (setelah timbul perselisihan), maka Allah mengutus para nabi, sebagai pemberi peringatan, dan Allah menurunkan bersama mereka Kitab yang benar, untuk memberi keputusan antara manusia tentang perkara yang mereka perselisihkan. Tidaklah berselisih tentang Kitab itu melainkan orang yang telah didatangkan kepada mereka Kitab, iaitu setelah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang nyata, kerana melampau (sempadan Allah) antara mereka sendiri. Maka, Allah memberi petunjuk kepada orang-orang yang beriman ke arah kebenaran tentang hal yang mereka perselisihkan itu dengan kehendak-Nya. Dan Allah sentiasa memberi petunjuk kepada orang yang dikehendaki-Nya ke jalan yang lurus.” [Surah al-Baqarah: 213]
Mengikut pentafsiran Ibn ‘Abbas RA mengenai ayat di atas:
“Manusia itu asalnya satu kelompok pada zaman Adam AS sehingga seribu abad selepas kewafatan Baginda AS berlaku penyelewengan, sehingga ada yang bersikap melampau. Ini merupakan cabaran yang dihadapi oleh para rasul secara silih berganti, berakhir dengan Rasul akhir zaman, Nabi Muhammad SAW yang diwahyukan al-Quran untuk menjadi kitab petunjuk bermukjizat.”
Pelampau ialah kalangan mereka yang melanggar sempadan Allah SWT yang terkandung dalam ajaran Islam yang dibawa dan dianut oleh para nabi dan rasul AS.
Islam satu-satunya agama yang benar hanya daripada Allah SWT yang tidak boleh dipertikaikan oleh setiap yang beriman. Hal ini sebagaimana yang dijelaskan oleh firman-Nya:
﴿الٓمٓ١ ذَٰلِكَ ٱلۡكِتَٰبُ لَا رَيۡبَۛ فِيهِۛ هُدٗى لِّلۡمُتَّقِينَ٢﴾
“Alif lam mim. (1) Kitab (al-Quran) ini tiada keraguan padanya; (dan menjadi) petunjuk bagi mereka yang bertaqwa (2).” [Surah al-Baqarah: 1-2]
Dan firman Allah SWT:
﴿ٱلۡحَقُّ مِن رَّبِّكَ فَلَا تَكُونَنَّ مِنَ ٱلۡمُمۡتَرِينَ١٤٧﴾
“Kebenaran itu adalah daripada Tuhanmu, sebab itu janganlah sekali-kali kamu termasuk dalam kalangan orang-orang yang ragu.” [Surah al-Baqarah: 147]
Firman Allah SWT lagi:
﴿وَمَن يَبۡتَغِ غَيۡرَ ٱلۡإِسۡلَٰمِ دِينٗا فَلَن يُقۡبَلَ مِنۡهُ وَهُوَ فِي ٱلۡأٓخِرَةِ مِنَ ٱلۡخَٰسِرِينَ٨٥﴾
“Sesiapa mencari agama (atau ajaran) selain agama Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima daripadanya, dan dia di akhirat kelak termasuk dalam kalangan orang-orang yang rugi.” [Surah Ali ‘Imran: 85]
Bagi negara Malaysia, ditegaskan dalam Perlembagaan Persekutuan bahawa Islam ialah agama bagi Persekutuan dan hak kebebasan beragama dalam kalangan semua penganut agama lain turut dijamin. Di samping itu, hak istimewa bangsa Melayu dan Bumiputera sebagai penduduk terawal juga dijaga. Inilah ketetapan yang diasaskan oleh para pejuang kemerdekaan sejak awal kita mencapai kemerdekaan.
Adanya beberapa kenyataan melampau terhadap Perlembagaan Persekutuan daripada beberapa buah parti politik yang secara nyata melalui perlembagaan atau undang-undang tubuh partinya. Bahkan, mereka mendapat sokongan yang melampau daripada parti-parti politik yang lain, NGO dan media kepunyaannya.
Mereka mengambil langkah terbuka mencabar penganut Islam daripada beramal dengan ajaran Islam yang nyata, seperti menghalang pelaksanaan syariat yang nyata mengharamkan arak dan judi bagi penganut Islam sahaja.
Selain itu, mereka juga menentang pelaksanaan hukum akhlak yang bertujuan menjaga moral dan pelaksanaan undang-undang syariat yang sempurna, walaupun Islam mengamalkan konsep tiada paksaan terhadap penganut agama lain. Firman Allah SWT:
لَآ إِكۡرَاهَ فِي ٱلدِّينِۖ قَد تَّبَيَّنَ ٱلرُّشۡدُ مِنَ ٱلۡغَيِّۚ فَمَن يَكۡفُرۡ بِٱلطَّـٰغُوتِ وَيُؤۡمِنۢ بِٱللَّهِ فَقَدِ ٱسۡتَمۡسَكَ بِٱلۡعُرۡوَةِ ٱلۡوُثۡقَىٰ لَا ٱنفِصَامَ لَهَاۗ وَٱللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ٢٥٦
“Tidak ada paksaan untuk (memasuki) agama (Islam); sesungguhnya telah jelas jalan yang benar daripada jalan yang sesat. Kerana itu sesiapa yang ingkar kepada taghut dan beriman kepada Allah, maka sesungguhnya dia telah berpegang kepada buhul tali yang amat kuat yang tidak akan putus. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” [Surah al-Baqarah: 256]
Firman Allah SWT:
﴿وَلَوۡ شَآءَ رَبُّكَ لَأٓمَنَ مَن فِي ٱلۡأَرۡضِ كُلُّهُمۡ جَمِيعًاۚ أَفَأَنتَ تُكۡرِهُ ٱلنَّاسَ حَتَّىٰ يَكُونُواْ مُؤۡمِنِينَ٩٩﴾
“Dan jikalau Tuhanmu menghendaki, tentulah beriman semua orang yang ada di muka bumi seluruhnya. Maka, apakah kamu (hendak) memaksa manusia supaya mereka menjadi orang-orang yang beriman semuanya?” [Surah Yunus: 99]
Kalangan bukan Islam bukan sahaja diberikan hak untuk beribadat, malah Islam juga turut menjaga rumah ibadat bukan Islam. Hal ini sebagaimana firman Allah SWT:
﴿ٱلَّذِينَ أُخۡرِجُواْ مِن دِيَٰرِهِم بِغَيۡرِ حَقٍّ إِلَّآ أَن يَقُولُواْ رَبُّنَا ٱللَّهُۗ وَلَوۡلَا دَفۡعُ ٱللَّهِ ٱلنَّاسَ بَعۡضَهُم بِبَعۡضٖ لَّهُدِّمَتۡ صَوَٰمِعُ وَبِيَعٞ وَصَلَوَٰتٞ وَمَسَٰجِدُ يُذۡكَرُ فِيهَا ٱسۡمُ ٱللَّهِ كَثِيرٗاۗ وَلَيَنصُرَنَّ ٱللَّهُ مَن يَنصُرُهُۥٓۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَقَوِيٌّ عَزِيزٌ٤٠﴾
“(Iaitu) orang-orang yang telah diusir dari kampung halaman mereka tanpa alasan yang benar, kecuali kerana mereka berkata, ‘Tuhan kami hanyalah Allah.’ Dan sekiranya Allah tidak menolak (keganasan) sebahagian manusia dengan sebahagian yang lain, tentulah telah dirobohkan biara-biara Nasrani, gereja-gereja, rumah-rumah ibadat orang Yahudi dan masjid-masjid, yang di dalamnya banyak disebut-sebutkan nama Allah. Sesungguhnya, Allah pasti menolong sesiapa yang menolong agama-Nya (agama Islam). Sesungguhnya, Allah Maha Kuat, lagi Maha Kuasa.” [Surah al-Hajj: 40]
Kenyataan mereka yang melampau adalah langkah yang melanggar batas ajaran Islam dan Perlembagaan Persekutuan yang tidak boleh dibiarkan, apabila melanggar sempadan hak beragama yang telah diberikan kepada mereka oleh Islam, tiba tiba campur tangan dalam urusan Islam dan penganutnya.
Adalah melampau juga menyatakan perjuangan terbuka konsep Malaysian Malaysia bagi menghapus kebangsaan yang menjadi fitrah manusia dan hak ketuanan bangsa Melayu Islam dan Bumiputera kepada negara ini .
Kenyataan yang melampaui sempadan Allah ini telah dinyatakan dalam Perlembagaan, mengikut firman Allah SWT:
﴿يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقۡنَٰكُم مِّن ذَكَرٖ وَأُنثَىٰ وَجَعَلۡنَٰكُمۡ شُعُوبٗا وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوٓاْۚ إِنَّ أَكۡرَمَكُمۡ عِندَ ٱللَّهِ أَتۡقَىٰكُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٞ١٣﴾
“Wahai sekalian manusia! Sesungguhnya, Kami menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan, lalu menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya, orang yang paling mulia antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa antaramu. Sesungguhnya, Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.” [Surah al-Hujurat: 13]
Firman Allah SWT:
﴿وَمِنۡ ءَايَٰتِهِۦ خَلۡقُ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلۡأَرۡضِ وَٱخۡتِلَٰفُ أَلۡسِنَتِكُمۡ وَأَلۡوَٰنِكُمۡۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَأٓيَٰتٖ لِّلۡعَٰلِمِينَ٢٢﴾
“Dan antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan langit dan bumi serta berbeza-beza bahasa dan warna kulitmu. Sesungguhnya, pada yang demikan itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang mengetahui.” [Surah al-Rum: 22]
Allah SWT telah menetapkan bagi setiap bangsa, adanya tanah air masing-masing serta kehidupan bermasyarakat yang boleh dihubungkan, sepertimana Cina dan India yang sudah mempunyai negara masing-masing. Tiba-tiba, dinafikan ketuanan Melayu dan Bumiputera yang istimewa bagi negara dan rantau ini yang mewujudkan rumpun Melayu sejak asalnya, di samping hubungannya dengan Islam yang bernegara dan berdaulat, sehinggakan dianggap tidak berpisah antara Melayu dengan Islam.
Kedatangan penjajah menjadi punca berlakunya penyusunan masyarakat yang sengaja mahu menghapuskan kedudukan Islam dan Melayu dalam negara ini, melalui politik, ekonomi, pendidikan dan budaya yang melampaui batas.
Walau bagaimanapun, Islam tetap mewajibkan agar berlaku hubungan baik dengan golongan bukan Islam atas sifat kemanusiaan yang wujud dalam kehidupan bermasyarakat yang dapat disaksikan berlaku dalam masyarakat Melayu Islam. Malah, ia dapat disaksikan sendiri betapa kalangan bukan Islam berada dalam keadaan aman di tengah-tengah masyarakat Melayu Islam.
Oleh sebab itu, sangat zalim apabila Melayu Islam ini dituduh pelampau dan rasis apabila menyatakan kewajipan agamanya, ketuanan dan kepimpinannya dalam negara ini. Sebenarnya Allah SWT telah menetapkan sempadan dalam hubungan antara orang Islam dengan bukan Islam, berpandukan firman-Nya:
﴿لَّا يَنۡهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ لَمۡ يُقَٰتِلُوكُمۡ فِي ٱلدِّينِ وَلَمۡ يُخۡرِجُوكُم مِّن دِيَٰرِكُمۡ أَن تَبَرُّوهُمۡ وَتُقۡسِطُوٓاْ إِلَيۡهِمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُقۡسِطِينَ٨ إِنَّمَا يَنۡهَىٰكُمُ ٱللَّهُ عَنِ ٱلَّذِينَ قَٰتَلُوكُمۡ فِي ٱلدِّينِ وَأَخۡرَجُوكُم مِّن دِيَٰرِكُمۡ وَظَٰهَرُواْ عَلَىٰٓ إِخۡرَاجِكُمۡ أَن تَوَلَّوۡهُمۡۚ وَمَن يَتَوَلَّهُمۡ فَأُوْلَـٰٓئِكَ هُمُ ٱلظَّـٰلِمُونَ٩﴾
“Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tidak memerangimu kerana agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya, Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil. (8) Sesungguhnya, Allah hanya melarang kamu menjadikan orang-orang yang memerangimu kerana agama dan mengusir kamu dari negerimu, dan membantu (orang lain) untuk mengusirmu sebagai kawanmu. Dan sesiapa yang menjadikan mereka sebagai kawan, maka mereka itulah orang-orang yang zalim. (9)” [Surah al-Mumtahanah: 8-9]
Kenyataan melampau secara terbuka oleh Setiausaha Agung DAP yang menegaskan pendiriannya untuk mempertahankan sekularisme dan Malaysian Malaysia perlu dimuhasabah oleh parti-parti Melayu Islam yang memberi wala’ kepadanya.
Begitu juga sokongan pengundi-pengundi DAP daripada kalangan masyarakat bukan Islam Cina dan India kepada calon-calon Pakatan Harapan (PH) daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Amanah Negara (PAN) dan lain-lain lagi di seluruh negara. Cukuplah semua itu menjadi bukti betapa hubungan wala’ (kesetiaan) dalam kalangan parti berjenama Melayu dan Islam dengan DAP sehingga mendukung sepenuhnya PMX daripada jenama Melayu dan Islam, sekali gus menjadi bukti yang nyata telah mengulangi keadaan yang sama dengan pelantikan Yusof Ishak sebagai Presiden Singapura yang pertama dahulu.
Sesungguhnya, Allah SWT telah mewajibkan bahawa urusan manusia, termasuk urusan politik, tidak boleh dipisahkan daripada Islam kerana ia sebahagian daripada sebab kejadian ciptaan manusia. Maka, sekularisme adalah melampaui ketetapan Allah kerana kewujudan rupa bangsa ialah ketetapan-Nya. Oleh sebab itu, sebarang langkah yang cuba menghapuskannya dianggap melampaui kejadian ciptaan Allah SWT.
Ada pula kenyataan yang dinamakan larangan 3R yang mengambil tindakan bersifat undang-undang. Sedangkan, undang-undang ialah nas daripada Allah SWT dan Rasul-Nya atau yang diizinkan kepada mereka dalam perkara yang tidak ada nas secara musyawarah (terkini melalui Parlimen) daripada kalangan Ulu al-Amri daripada kalangan mereka yang beriman, berilmu dan berakhlak (ulama’ dan umara’) dengan syarat-syarat ijtihad yang menjamin keilmuan dan keadilannya.
Firman Allah:
﴿أَمۡ لَهُمۡ شُرَكَـٰٓؤُا شَرَعُواْ لَهُم مِّنَ ٱلدِّينِ مَا لَمۡ يَأۡذَنۢ بِهِ ٱللَّهُۚ وَلَوۡلَا كَلِمَةُ ٱلۡفَصۡلِ لَقُضِيَ بَيۡنَهُمۡۗ وَإِنَّ ٱلظَّـٰلِمِينَ لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٞ٢١﴾
“Apakah mereka mempunyai sembahan-sembahan selain Allah yang mensyariatkan (mencipta hukum atau undang-undang) untuk mereka yang tidak diizinkan oleh Allah? Sekiranya tiada ketetapan yang menentukan (daripada Allah), tentulah mereka telah dibinasakan. Dan sesungguhnya, orang-orang yang zalim itu akan memperoleh azab yang amat pedih.” [Surah al-Syura: 21]
Dalam al-Quran, Allah SWT menyebut bahawa Firaun bersikap melampau kerana sering kali memaksa rakyat dengan undang-undang ciptaannya sendiri.
Maka, Allah SWT mewajibkan kepada umat Islam supaya beristiqamah dan tidak melampaui sempadan yang telah ditetapkan oleh-Nya. Allah SWT berfirman kepada Rasulullah SAW supaya menjadi contoh kepada umatnya:
﴿فَٱسۡتَقِمۡ كَمَآ أُمِرۡتَ وَمَن تَابَ مَعَكَ وَلَا تَطۡغَوۡاْۚ إِنَّهُۥ بِمَا تَعۡمَلُونَ بَصِيرٞ١١٢ وَلَا تَرۡكَنُوٓاْ إِلَى ٱلَّذِينَ ظَلَمُواْ فَتَمَسَّكُمُ ٱلنَّارُ وَمَا لَكُم مِّن دُونِ ٱللَّهِ مِنۡ أَوۡلِيَآءَ ثُمَّ لَا تُنصَرُونَ١١٣﴾
“Maka, tetaplah kamu atas jalan yang benar, sebagaimana diperintahkan kepadamu dan (juga) orang yang telah bertaubat bersama kamu dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya, Dia Maha Melihat apa yang kamu kerjakan. (112) Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim yang menyebabkan kamu disentuh oleh api neraka, dan sekali-kali kamu tiada mempunyai seorang penolong pun selain daripada Allah, kemudian kamu tidak akan diberikan pertolongan. (113)” [Surah Hud: 112-113]
Sabda Rasulullah SAW:
أَفْضَلُ الْجِهَادِ كَلِمَةُ عَدْلٍ عِنْدَ سُلْطَانٍ جَائِرٍ.
“Jihad yang paling afdal ialah percakapan yang menasihati supaya berlaku adil kepada sultan (pihak kerajaan) yang zalim.” [Riwayat Abu Dawud, No. 4344 dan al-Tirmizi, No. 2174]
Selain itu, Allah SWT juga menetapkan kepada manusia bahawa kejayaan seseorang individu itu bergantung kepada sejauh mana mereka mematuhi panduan-Nya, sebagaimana firman-Nya:
﴿وَٱلۡعَصۡرِ١ إِنَّ ٱلۡإِنسَٰنَ لَفِي خُسۡرٍ٢ إِلَّا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَعَمِلُواْ الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوۡاْ بِٱلۡحَقِّ وَتَوَاصَوۡاْ بِٱلصَّبۡرِ٣﴾
“Demi masa! (1) Sesungguhnya, manusia itu benar-benar dalam kerugian. (2) Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh; serta nasihat-menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat-menasihati supaya tetap atas kesabaran. (3)” [Surah al-‘Asr: 1-3]
Maka, janganlah sekali-kali ditutup dan dikunci kebebasan untuk menasihati dalam kehidupan manusia kerana perkara itu sangatlah penting, sehinggakan ia dikaitkan dengan iman, amal yang soleh dan akhlak yang mulia.
Hadis Rasulullah SAW:
عَنْ تَمِيمٍ الدَّارِيِّ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، قَالَ: "الدِّينُ النَّصِيحَةُ". قُلْنَا: لِمَنْ؟ قَالَ: "لِلَّهِ وَلِكِتَابِهِ وَلِرَسُولِهِ وَلِأَئِمَّةِ الْمُسْلِمِينَ وَعَامَّتِهِمْ".
Daripada Tamim al-Dari RA, bahawa Rasulullah SAW telah bersabda, “Agama itu nasihat.” Kami bertanya, “Untuk siapa, wahai Rasulullah?” Sabdanya, “Bagi Allah, Kitab-Nya, Rasul-Nya, para pemimpin dan raja-raja dan bagi seluruh penganut Islam.” [Riwayat Muslim, No. 55]
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 20 Safar 1445 / 6 September 2023
[Bil: 74 / 2023]
Ulasan