PRK Kemaman : Kempen Umno-BN ‘Jahat Dan Jijik’


 KEMAMAN, 26 November - PAS Terengganu mendakwa BN telah menjalankan kempen di PRK Kemaman secara jahat dan jijik.


Ahli Dewan Undangan Negeri Paka, Dato' Satiful Bahari Mamat berkata, Pengerusi BN Terengganu secara terang-terangan memfitnah Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.


Katanya, Dato' Seri Ahmad Said dalam satu kempen dalam PRK Kemaman memfitnah Abdul Hadi mandi berbogel dalam kolam di Masjid Rusila, Marang.


"Ini satu tuduhan melampau dan cara kempen yang kotor dan jijik yang tidak sewajarnya dilakukan oleh Ahmad Said yang juga pencadang atau penyokong kepada calon BN.


“Saya rasa ini satu kenyataan di luar kewarasan akal, saya harap mungkin pihak polis boleh uji air kencing dia,” katanya dalam sidang media di Pusat Media PAS di sini semalam.


Satiful berkata, kempen jijik seperti itu bersifat provokatif dan membuatkan orang ramai tidak selesa.


“PAS Terengganu menyarankan Ahmad Said berhenti daripada berkempen secara jijik dan jahat.


“Bawalah politik matang dan sejahtera, bukannya politik fitnah, politik tuduh dan politik rekaan cerita semata-mata,” katanya.


Dalam masa yang sama, Timbalan Pesuruhjaya II PAS negeri itu berkata PAS akan membuat laporan polis berhubung perkara tersebut.


Sejak kelmarin, tular di media sosial, Ahmad Said menceritakan kejadian yang menurutnya berlaku tiga tahun lepas.


"Tiga tahun lepas, orang ke laut, balik naik bas hari Khamis jam 5, tidur (masjid) Haji Hadi nak dengar ceramah. Dan satu ketika orang jumpa Haji Hadi mandi telanjang dalam kolah,” katanya

Ulasan