Angkara UMNO Rakyat Dipaksa Mengundi Musim Banjir

 


KEMAMAN - Rakyat Kemaman dipaksa untuk turun mengundi sekali lagi dalam musim hujan dan banjir akibat kerakusan UMNO/BN Terengganu.


Timbalan Pesuruhjaya II PAS Terengganu, Dato' Satiful Bahri Mamat berkata, ia terjadi akibat sikap tamak dan gila kuasa pemimpin parti berkenaan yang masih tidak puas hati walaupun telah tewas dengan majoriti yang besar.t


Katanya pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 di peringkat parlimen, UMNO tewas 8-0  manakala di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) tiada satu pun kerusi dimenangi parti terbabit kerana telah ditolak oleh rakyat.


"Hasil tinjauan yang dijalankan melalui kajian Terengganu Strategic & Integrity Institute yang dijalankan di Kemaman mendapati sebanyak 61 peratus responden tidak bersetuju dengan UMNO/BN memfailkan petisyen bagi membatalkan kemenangan PAS.


"Kajian itu turut mendapati 53 peratus responden menganggap keputusan Mahkamah Pilihan Raya terhadap keputusan pilihan raya adalah tidak konsisten manakala 52 peratus pula beranggapan keputusan tersebut didorong oleh motif politik.


"Majoriti 58 peratus responden pula berpendirian bahawa pemberian bantuan tunai oleh kerajaan negeri kepada beberapa kumpulan penerima golongan rentan tidak menjadi kesalahan," ujarnya.


Beliau berkata demikian ketika sidang media calon PRK Kemaman, di Pusat Media PAS Kemaman, di sini, hari ini.


Dalam pada itu katanya, kenyataan Pengerusi UMNO Terengganu, Dato' Seri Ahmad Said yang mengatakan Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar tamak kerana bertanding pada PRK ini seperti mengata kepada diri sendiri.


"Jelas di sini yang sebenarnya tamak dan tidak mengendahkan rakyat demi mencari kerusi adalah UMNO/BN.


"Pengundi Kemaman perlu memberi pengajaran yang ketiga dengan hentaman yang lebih kuat dalam PRK ini berbanding pada PRU dan PRN yang lepas.


"Keluar mengundi dan ajar PH-BN yang telah menyusahkan rakyat," ujarnya lagi.

Ulasan