Dr Sam Terbaik Untuk Kebaikan Jangka Panjang Negara


KEMAMAN, - Langkah PAS Terengganu mempertaruhkan Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman merupakan strategi terbaik untuk jangka panjang negeri dan negara.

Timbalan Pesuruhjaya II PAS Terengganu, Dato' Satiful Bahri Mamat berkata,  ia bukan bermakna PAS ketandusan calon namun memilih calon yang terbaik demi rakyat.

"Suka saya jelaskan bahawa Dr. Sam adalah calon yang 'full package'; berwawasan, berintegriti, berjiwa besar, bersahaja dan bertenaga.

"Memiliki hala tuju yang jelas untuk Terengganu. Strategi beliau juga 'ssekung' kata orang Terengganu dan fikiran beliau sentiasa jauh untuk kebaikan masa depan rakyat dan negeri," ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa Sidang Media Pusat Penamaan Calon, Pusat Media PAS Kemaman, di sini, hari ini.

Tambah Satiful, Dr Ahmad Samsuri bukan sahaja tiada rekod dikaitkan dengan rasuah dan salah guna kuasa namun mempunyai akhlak yang baik sehingga menjadi bualan serta tuntuan ramai.

"Disenangi semua sebab suka menyantuni kawan mahupun lawan malah tidak berrmusuh dengan sesiapa sebab kepentingan rakyat dan negeri adalah keutamaan beliau," katanya.

Ujarnya, tidak sebagaimana calon Barisan Nasional , Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamaed Noor yang dilihat hanya sekadar diperalatkan 

"Saya percaya bahawa beliau sedar bahawa pemilihannya sebagai calon langsung adalah sekadar dijadikan alat untuk cuba menyelamatkan maruah UMNO/BN yang telah tersilap langkah memfailkan petisyen.

"Justeru, atas rasa malu alah atau mungkin kerana terhutang budi kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Zahid Hamidi yang mempunyai hubungan istimewa dengan beliau sewaktu di Kementerian Pertahanan dahulu, beliau menerima tugasan ini walaupun dalam keadaan terpaksa," ujarnya.

Dalam pada itu katanya, walaupun petisyen berpihak kepada UMNO namun Zahid Hamidi sendiri sedar untuk menang di Kemaman adalah mustahil.

"Disebabkan itu juga, pemimpin senior seperti Datuk Ahmad Said dan Dato'Seri Ahmad Shabery Cheek sejak awal lagi dilihat cuba mengelak diri daripada dipilih menjadi calon.

"Mereka tahu jika kalah bukan sekadar akan lebih memburukkan imej UMMO/BN, tetapi lebih perit ialah akan menjejaskan jawatan mereka di KETENGAH dan FELDA, " ujarnya.

 

Ulasan