Kekal Berada Di PPS

 


Oleh ; Syahida

KUALA NERUS - Mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dinasihatkan untuk kekal berada di pusat perpindahan walaupun air banjir dilihat sedikit menurun berbanding semalam.

Wakil dari Jabatan Kebajikan Masyarakat, Puan Lazlina bt Long Sulaiman, 46 , berkata,  ada mangsa yang ingin pulang, tetapi tidak disarankan berikutan keadaan cuaca yang berubah-ubah.

"Kalau ikutkan, ada mangsa yang memberitahu air banjir di rumah mereka sudah kering, dan mereka diberitahu untuk pulang melihat keadaan rumah bagi memastikan betul-betul selamat untuk pulang," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media di pusat PPS Sekolah Kebangsaan Tok Jembal, pada semalam.

Tambah beliau lagi, berikutan cuaca yang baru satu malam dilihat berlaku penurunan, mangsa banjir dinasihatkan untuk kekal dahulu di PPS sehingga lah kediaman masing-masing selamat dari banjir.

"Kita tengok keadaan cuaca baru semalam berlaku (penurunan banjir) , dengan keadaan cuaca, jadi kami beritahu mereka untuk balik tengok keadaan rumah dahulu, kalau betul-betul selamat baru boleh balik," ujar beliau.

Dalam pada yang sama, YB ADUN Seberang Takir, YB Ustaz Khazan Che Mat yang hadir ke PPS tersebut menyatakan mangsa kebanyakannya adalah orang sama terkena banjir sejak tahun-tahun lalu.

"Sebahagian besar dari penghuni di PPS ini sudah terbiasa dengan keadaan ini dan ini bukan kali pertama kerana kawasan ini merupakan kawasan yang rendah dan air lambat keluar," katanya.

Ujar Khazan lagi, sistem perparitan yang sempit menjadi punca utama banjir.

"Masalah ini memerlukan sistem perparitan yang lebih efeksin kerana kawasan tersebut jiwa berlaku hujan lebat dalam tempoh setengah hari sudah menyebabkan  air bertakung kerana saluran sempit untuk menampung kapasiti air hujan yang turun," tambahnya.

Sementara itu, salah seorang mangsa banjir, Aimi Atiqah, 30, dari Taman Murni Permai berkata, banjir kali ini agak berbeza berbanding tahun lalu.

"Biasanya kalau sebelum ni walaupun rumah lain masuk air, rumah saya tak masuk air, tapi tahun ini agak besar sehingga masuk ke dalam rumah," katanya.

Setakat jam 5 petang, seramai 110 buah keluarga melibatkan 402 orang mangsa ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan Tok Jembal yang menempatkan mangsa dari tujuh buah kampung disekitarnya.

Ulasan