Keluar Mengundi Beramai-ramai, Mesej Kepada Umno-BN


KEMAMAN – Semua pengundi parlimen Kemaman diseru agar keluar mengundi beramai-ramai pada 2 Disember nanti, bagi menghantar mesej yang jelas kepada pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan PRU15 lalu, sehingga Pilihan Raya Kecil (PRK) terpaksa diadakan.

Naib Presiden PAS, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, rakyat di daerah terbabit perlu sedar kerana sikap ‘pihak yang berkenaan’ khuusunya Umno-BN, menyebabkan pilihan raya terpaksa diadakan tiga kali.

"Jadi sebab itulah rakyat dan pengundi di daerah kemaman ini perlu menghantar mesej yang jelas (sewajarnya) apabila keputusan pilihan raya yang lalu menunjukkan majoriti 27,000 tidak payahlah buat perkara yang pelik-pelik sehingga menyusahkan rakyat untuk keluar mengundi (sekali lagi).

"Sebab itu saya menyeru kepada semua pengundi yang jauh (berada di perantauan) atau dekat supaya (sepakat) keluar mengundi," ujarnya.

Beliau yang juga calon PAS-PN bagi PRK Kemaman berkata demikian ketika  selepas program ziarah markas UDM Chukai, di sini, semalam.


Mengulas lanjut, beliau yakin akan berlaku peningkatan majoriti berdasarkan maklum balas cukup baik yang diterima , sejak namanya diumumkan sebagai calon mewakili PAS.

"pada hari penamaan calon dan sepanjang parlimen ini diisytiharkan terbubar kita melihat sokongan ini meningkat dari sehari ke sehari.

"Ditambah pula kerajaan di peringkat persekutuan gagal bagi menyelesaikan masalah rakyat seolah-olah tidak ada apa yang berlaku dalam negara kita ini.

"Masing-masing cuba lari dan tidak menyelesaikan masalah, kita boleh tengok bagaimana Kementererian Perdagangan Dalam Negeri telah empat bulan, tidak ada menteri yang secara langsungnya bertanggungjawab, tanggungjawab sementara tidak boleh menyelesaikan masalah," jelasnya.

Justeru deliau menambah, kemenangan yang besar akan memberikan tamparan yang hebat kepada parti yang memerintah.

Walau bagaimanapun katanya, semua jentera tidak boleh merasa selesa sebaliknya perlu bekerja keras sehingga keputusan rasmi pada 2 Disember ini diumumkan.

Ulasan