Penerima Anugerah Muslimat Teguh Pertahan Bersyukur Dapat Hidayah


 DUNGUN - Penerima Anugerah Muslimat Teguh Pertahan, Muslimat DUN Rantau Abang bersyukur mendapat hidayah untuk istiqomah bersama dalam perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS.

 Zaiton Hamzah, 58 berkata  hampir puluhan tahun meninggalkan kerja-kerja perjuangan Islam setelah bergelar isteri dan ibu, Allah masih memberi peluang serta melorongkan jalan-jalan untuk kembali terlibat dengan PAS. 

"Dulu Kak Ton tidak dapat bergiat aktif dengan PAS sebab masa itu anak-anak masih kecil, tetapi dalam hati sentiasa berdoa, Allah panjangkan umur supaya  bila anak-anak sudah besar nanti, Kak Ton dapat ikut muslimat PAS ke program-program," ujarnya ketika dihubungi petang tadi. 

Ketua Muslimat PAS Pinang Emas itu menerima anugerah  tersebut daripada Pengerusi Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri(MTD) Rantau Abang, Cikgu Alias Harun sempena Program Tamrin Qiadi yang diadakan di Pusat Tarbiyah dan Kafa Taman Permint(PUSTAKA) di sini pada 26 Oktober. 


Ibu tunggal kepada 14 orang cahaya mata ini sanggup menaiki bas dari rumahnya ke bandar Dungun untuk menghadirkan diri di setiap program yang dianjurkan DUN Rantau Abang dan PAS Kawasan Dungun tidak mengira siang atau malam. 

Menurutnya, beliau mengenali PAS sebagai parti yang memperjuangkan Islam menerusi  majlis - majlis ilmu yang dihadirinya ketika usia mudanya. 

"Masa tu Kak Ton bekerja di Kilang Plywood di Bandar Al Muktabillah Shah, belum kahwin, Kak Ton naik bas dari tempat kerja  ke Stesen Bas yang sama hari ni untuk mendengar kuliah Almarhum Tuan Guru Ustaz Daud di Sungai Buaya," katanya yang tinggal di Pinang Emas. 

Beliau turut berharap supaya terus istiqomah bersama muslimat untuk berada dalam perjuangan Islam sehingga mati dalam perjuangan Islam.

Ulasan