Santuni Rakyat Bukan Hanya Dengan Kebendaan


Oleh ; Rohayati Ripin 

KUALA TERENGGANU – Para pemimpin sentiasa turun padang untuk menyantuni rakyat bukan hanya dengan kebendaan semata-mata.

Yang Dipertua PAS Kawasan Hulu Terengganu, Haji Maliaman Kassim berkata, mereka bukan turun sekadar bersama tetapi dengan semangat dan ruh Islam serta mendengar masalah rakyat tanpa mengira parti dan kaum.

“Kita nak belajar dan dapat beberapa gambaran bagaimana mereka turun ke bawah tanpa menggunakan kewangan banyak," jelasnya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita Keluarga Dan Perpaduan Nasional negeri berkata demikian ketika dihubungi hari ini, mengulas mengenai Kunjung Hormat ke negeri Kelantan di Mabna MBI Kompleks Kota Bharu Darul Naim, pada Isnin, 6 November lalu. 


Menurutnya, matlamat utama kunjung hormat ialah mengenali situasi yang berlaku di kelantan yang dirasakan sama dengan Terengganu sebab majoriti kaum melayu.

"Bagaimana mereka boleh bertahan mengekalkan kerajaan walaupun dalam keadaan payah dan kita di Terengganu mungkin banyak bergantung pada royalti.

"Jadi akan datang mungkin kita beralih sedikit kebergantungan kita kepada royalti.

"Perkara berkait strategi, perancangan, kita banyak tengok negeri Kelantan bagaimana dapat mengekalkan prestasi kerja buat Exco dan jentera kerajaan yang dibentuk di bawah Lajnah mereka dengan meperbaiki prestasi dari semasa ke semasa," ujar beliau.

Beliau menambah, antara benda penting yang dirancang ialah nak mengadakan pertemuan dengan negeri dikenali sebagai 'State-Government 4' atau SG4 iaitu Terengganu, Kelantan, Perlis dan Kedah di  bawah portfolio sama.

Ulasan