350 Nelayan Seberang Takir Terima Bantuan Kerajaan PAS

 


Oleh : Zuhdi Abdullah

KUALA NERUS - Seramai 350 nelayan di Seberang Takir menerima bantuan barangan keperluan harian daripada kerajaan PAS Terengganu bagi mengurangkan tekanan kehidupan menghadapi musim tengkujuh

Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, YB Dato' Dr Alias Razak berkata, nelayan ialah antara golongan dalam kalangan masyarakat yang mencurah keringat demi menyediakan sumber makanan rakyat.

“Sebagai anak yang dibesarkan dalam keluarga nelayan, golongan ini sangat dekat di hati saya dan amat memahami jerit perit mereka tatkala tiba musim Monsun Timur Laut.," katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus berkata demikian ketika berucap dalam Program Bantuan Nelayan DUN Seberang Takir pada Khamis 14 Disember.

Sehubungan itu, seorang nelayan, Azhar Bin Berahim, 42, berkata, bantuan yang diterima hari ini mengurangkan sedikit kerisauan beliau dan seisi keluarganya setiap kali musim banjir melanda.


Menurutnya, ombak besar musim tengkujuh menyebabkan golongan ‘ke laut’ sepertinya, tidak dapat turun ke laut selama berbulan-bulan.

“Banyak-banyak terima kasih kepada kerajaan negeri kerana memberi sedikit sumbangan kepada kami terutama ketika berlaku musim bah dan angina kencang ini,” ujar beliau.

Kata Azhar, seperti tahun-tahun sebelumnya, setiap kali musim tengkujuh kira-kira 80 peratus nelayan akan terkesan kerana tidak dapat turun sehingga tiga bulan.

Turut hadir dan mengagihkan bantuan tersebut ialah Ahli Dewan Undangan (ADUN) Seberang Takir YB Ustaz Kazan Che Mat.

Sementara itu, bagi nelayan veteran, Zinal Bin Che Omar, 62, pula menyifatkan bantuan yang diberikan kepada nelayan pada musim tengkujuh memang cukup bermakna.

“Laut bergelora, angin kuat memang kami tak akan turun laut. Sebab itu saya gembira dan mengalu-alukan bantuan yang diterima, sekurang-kurangnya meringankan beban saya. Alhamdulilallah,” ujar beliau.

“Bukan sahaja bersyukur, malah saya gembira kerana ada pihak prihatin dengan nasib kami." Katanya.

Ulasan