Jentera Penerangan Ambil Iktibar Pejuang Palestin


 KUALA TERENGGANU - Jentera penerangan disaran menetapkan jiwa dan pemikiran dalam perjuangan menyebarkan maklumat kepada khalayak dan  mengambil iktibar daripada kegigihan pejuang Hamas dan Palestin.


Ketua Penerangan PAS Terengganu, YB Ustaz Dr. Muhammad Khali Abdul Hadi berkata, usaha itu digerakkan selaras hasrat kepimpinan parti dan kerajaan yang menggesa semua sendi kerajaan negeri lebih pantas dan berkesan pada penggal kali ini.


"Betulkan penetapan minda (mindset) kita dengan mengambil contoh yang terbaik adalah apa yang sedang berlaku di Gaza.


"Pejuang Palestin yang meskipun dihalang dari segenap sudut darat, laut dan udara. Agenda penerangan mereka bagaimana? 


"Hamas setiap kali bertempur, mereka akan rakam dan memanfaatkan dunia tanpa sempadan.


"Lihatlah bagaimana keazaman mereka yang membolehkan dunia memperoleh maklumat tepat mengenai pertempuran di Palestin", ujarnya yang Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri.



Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Pengurusan Kerjaya Efektif di Wisma Darul Iman, pada Isnin 11 Disember.


Oleh itu, beliau menyarankan agar para petugas mempelbagaikan ruang dan kaedah dalam menyampaikan maklumat terkini dan perkembangan kerajaan negeri kepada rakyat.


"Dalam Islam, agenda penerangan merupakan bahagian yang sangat penting sehingga Allah SWT meletakkan satu ciri kepada Anbiya' iaitu sifat 'Tabligh' yang bermaksud menyampaikan.


"Hari ini kita berada di zaman sangat mencabar dan bergerak pantas, yang amat berbeza dari puluhan tahun lepas.


"Namun, kita tidak boleh pandang negatif perubahan ini, sebaliknya kita perlu manfaatkan ia sebagai agenda dakwah dalam konteks hari ini," katanya.


Menurutnya, program tersebut diadakan bertujuan menambah baik pengurusan dan kemahiran dalam pengurusan organisasi penerangan yang menjadi barisan hadapan.


Tambah beliau, setiap dari kita perlu ada kekuatan yang dibina pada asas keikhlasan untuk bergerak dalam suasana hari ini.




Ulasan