Lelaki Goda Isteri Orang; Normalisasi Syariat Semakin Parah


 KUALA TERENGGANU – Perundangan negara disifatkan semakin parah apabila usaha-usaha berterusan menormalisasikan syariat dengan tindakan terkini, menafikan perbuatan jenayah lelaki yang menggoda isteri orang.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato’ Satiful Bahari Mamat berkata, PAS merasa bimbang langkah tersebut kerana ia mendorong perbuatan yang akan menimbulkan konflik rumah tangga.

Tambah beliau, situasi tersebut sekali gus akan menyumbang kepada berlakunya perbuatan sumbang yang boleh menyebabkan keruntuhan institusi itu, dalam kalangan rakyat di negara ini.

Tegas beliau, Islam bukan sahaja melarang lelaki mengganggu isteri orang bahkan menggoda perempuan  dalam ‘iddah sudah dikira haram walaupun diceraikan secara cerai ‘raj’I’.

“Ini semua adalah proses normalisasi syariat untuk menjadikan perkara yang dilarang dalam Islam tidak menjadi kesalahan untuk dibuat oleh orang Islan itu sendiri seperti menggoda isteri orang,” ujar beliau.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan, dan Pendidikan Tinggi Negeri Terengganu itu berkata demikian dalam satu kenyataan media di sini, semalam.

Beliau berkata demikian merujuk kepada keputusan Mahkamah Persekutuan di Putrajaya kelmarin dilaporkan memansuhkan Seksyen 498 Kanun Keseksaan yang berkaitan menjenayahkan perbuatan lelaki yang menggoda isteri orang, kerana ia tidak berperlembagaan.

Mengulas lanjut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka itu tidak berhasrat untuk menyentuh soal pemansuhan itu, tetapi katanya, dari sudut agama Islam perbuatan lelaki menggoda isteri orang adalah satu kesalahan dari segi hukum syarak.

“Islam adalah agama persekutuan dan sepatutnya hukum hakam Islam perlu dirujuk terlebih dahulu sebelum membuat apa-apa keputusan undang-undang yang ada hubung kait dengan syariat Islam kerana ia adalah komponen agama tersebut dan keabsaan agama persekutuan itu perlu dihormati oleh sesiapapun.” gesa beliau.

Ulasan