Lim Kit Siang Jangan Celupar


KUALA TERENGGANU – Dewan Pemuda PAS Terengganu (DPPNT memberi peringatan agar Lim Kit Siang jangan celupar dan membuat kenyataan sesuka hati bahawa  negara ini tidak menghalang bukan Melayu menjadi seorang Perdana Menteri.


Ketuanya Ustaz Harun Isa berkata, veteran DAP itu perlu berpijak pada bumi yang nyata bahawa selama ini pemimpin Melayu Islam yang menjaga semua bangsa dalam negara.


“Pentadbiran sesuatu organisasi perlulah kepada pertimbangan majoriti ahli bagi membentuk keharmonian dalam organisasi tersebut, begitulah gambaran yang boleh diolah dalam mentadbir negara terutamanya negara Malaysia yang tercinta ini.


“Rakyat majmuk yang majoritinya terdiri daripada masyarakat Melayu dan Islam mestilah diambil pandangannya.


“Sebagaimana sejarah yang tidak menipu kita, setelah Islam berkembang dan dianut oleh bebergai-bagai bangsa ke seluruh pelosok dunia, maka ketua wilayah telah dilantik daripada kalangan kaum setempat yang menganut Islam,” ujarnya melalui suatu kenyataan di sini, semalam.


Mengulas lebih lanjut katanya, sejarah telah membuktikan bahawa kaum setempat yang merupakan kelompok yang paling kuat dan berpengaruh telah dilantik sebagai ketua negara Islam daripada kalangan selain Arab.


“Seperti Turki, Kurdi dan lain-lain. Negara Malaysia yang mencapai kemerdekaannya telah meletakkan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan menjadi agama bagi Persekutuan mengikut desakan parti-parti yang ada sejak awal proses menuntut kemerdekaan.


“Sepatutnya Islam dalam Perlembagaan Persekutuan ditafsirkan mengikut makna daripada Bahasa al-Quran, bukan dengan perkataan agama dalam Bahasa lain yang memberikan makna daripada konsep sekularisme yang salah kerana bercanggah dengan ajaran Islam,” ujarnya.


Justeru, tegasnya perkara berkenaan telah menjadi titik persamaan antara PAS dan UMNO (termasuk komponen Parti Perikatan) dari awal lagi.


“Sejak berada dalam Parlimen pada Pilihan Raya Umum (PRU) 1955 Pra-Kemerdekaan, Ketika DAP dan rakan-rakannya dalam Pakatan Harapan belum wujud,” ujarnya.

Ulasan