PRK Kemaman ; Pemuda PAS Lapor Polis Provokasi Melampau UMNO-BN

 


KEMAMAN - Pemuda PAS Terengganu membuat laporan polis ke atas Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Akmal Salleh yang didakwa melakukan provokasi melampau terhadap penyokong PAS hari ini.


Ketua Penerangan Pemuda PAS Terengganu, Irsyad Syafiq Burhanuddin berkata, provokasi itu menimbulkan rasa tidak selesa penyokong PAS dan orang awam sehingga hampir mencetuskan pergaduhan besar.


"Ia bermula apabila Ketua Pemuda UMNO Malaysia itu secara sengaja memberhentikan kenderaan yang dinaikinya secara tiba-tiba di tengah jalan ketika lampu hijau di Jalan Sulaimani menghala ke Kuantan.


"Sejurus selepas itu beliau dan pemandunya keluar daripada kereta tanpa rasa bersalah walaupun mengakibatkan kesesakkan lalu lintas dan membahayakan pengguna jalan raya.


"Ketika itu juga beliau melakukan provokasi terhadap peserta flashmob PAS yang menasihati beliau supaya mengalihkan kenderaan," katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas membuat laporan polis sebentar tadi.


Mengulas lanjut, Irsyad Syafiq berkata, Ketua Pemuda UMNO itu mula bertindak ganas apabila cuba meluru ke arah peserta flashmob PAS yang menegurnya supaya mengalih kenderaan 


"Namun, mujur ada pihak polis yang menghalangnya, malangnya pihak mereka berterusan melakukan provokasi dan cuba menyerang penyokong PAS.


"Atas sebab itu kami membuat laporan polis ini agar pihak berkuasa dapat mengambil tindakan sewajarnya, segala bukti telah kami serahkan kepada pihak berkuasa," katanya.


Petang tadi, berlaku kekecohan antara penyokong PAS dan UMNO-BN di acara flashmob kedua-dua parti.


Pada awalnya flashmob berlangsung dengan baik, tetapi bertukar menjadi huru-hara sejurus ketibaan Ketua Pemuda UMNO Malaysia.

Ulasan