Penyelesaian Sementara Elak Hakisan Pantai Penunjuk Lebih Parah


KEMAMAN - Bagi penyelesaian jangka pendek, penghadang struktur 'gabion' akan digunakan bagi mengelakkan hakisan sepanjang Pantai Penunjuk sehingga ke Kampung Cik Wan.

Pengarah Majlis Tindakan DUN Kijal, Ustaz Hazri Jusoh berkata, untuk tebatan kekal, benteng pemecah ombak perlu dibangunkan di kawasan terbabit.

"Kerja pembinaan lepas musim tengkujuh, kalau dibuat segera pada waktu ini ia tidak sesuai kerana angin masih kuat.

"Jadi kita harapkan penduduk sekitar bersabar, dan pastikan anak-anak kita tidak datang waktu malam dan berada di kawasan ini." ujarnya.


Beliau yang juga Pegawai Khas Ahli Parlimen Kemaman berharap para pengunjung berhati-hati kerana menurutnya tersebut adalah tempat menjadi tumpuan pelancong untuk melihat ombak besar.

"antara pukul 11 hingga 12 malam mari tengok ombak, saya rasa cukup bahaya dan pihak polis setiap malam ada buat rondaan dan kawalan," ujarnya ketika ditemui ketika meninjau kesan hakisan di pantai itu semalam.

Oleh itu beliau akan berbincang dengan pihak-pihak berkuasa bagi merangka penyelesaian jangka masa panjang menangani hakisan pantai itu yang semakin meluas, terutamanya pada musim tengkujuh.

"Untuk jangka masa panjang kita perlu kepada bajet yang lebih besar dengan cadangan membina  pemecah ombak 'break water' memerlukan dana antara RM500 hingga ke 600 juta," ujarnya.



Ulasan