Rafizi Khilaf, Tidak Matang, Berdendam


 Rafizi Ramli umpama seorang ayah yang mempunyai 14 anak kandung, namun 4 daripadanya sentiasa dianaktirikan dek kerana kekurangan yang mereka ada. Sedangkan anak-anak lain juga tidak kurang kelemahannya.


Suka untuk saya menjawab kenyataan Rafizi yang menidakkan hak peruntukan negeri pembangkang ini daripada 2 sudut:


1) HAK RAKYAT & NEGERI


i. Setiap negeri memang mempunyai hak untuk diberikan peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan.


ii. Jika cukai yang dikutip adalah daripada seluruh rakyat Malaysia tanpa mengikut negeri, kenapa pembahagian semula hasil (redistribution) mesti dianaktirikan?


iii. Sudah menjadi tanggungjawab Kerajaan Persekutuan untuk membantu semua negeri di Malaysia untuk terus membangun. Apatah lagi negeri-negeri yang sering dipinggirkan dalam pembangunan. 


iv. Lihat sahaja data mengikut koridor, betapa negeri yang kini di bawah pentadbiran PAS hanya menerima sedikit pelaburan disebabkan kekangan pembangunan perindustrian yang sepatutnya diuruskan dengan sebaiknya oleh Kerajaan Persekutuan.


Iskandar Malaysia (IM): 23.0% (RM23.2 bilion)

Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER): 5.6% (RM5.6 bilion)

Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER): 65.0% (RM65.2 bilion)

Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE): 2.7% (RM2.7 bilion)

Koridor Pembangunan Sabah (SDC): 3.7% (RM3.7 bilion)


v. Jika hak rakyat dan negeri seperti royalti petroleum sebanyak 5% pun tidak dapat ditunaikan, tak perlu sembang bab pembangunan. Itu duit rakyat dan negeri yang disalurkan melalui MOF, kenapa perlu disekat-sekat? 


vi. Dengan hasil itulah pelbagai pembangunan Kerajaan Persekutuan dapat dilaksanakan melalui dividen yang diberikan oleh Petronas yang berjumlah puluhan bilion setiap tahun. Jangan nafikan perkara ini. 


2) BANTUAN DARIPADA PERSEKUTUAN


i. Rafizi sepatutnya tahu dan belajar sejarah. Bagaimana pihak penjajah telah melaksanakan dasar pecah dan perintah dengan menumpukan pembangunan kawasan perlombongan bijih timah yang kini kedudukannya berada di kawasan negeri maju seperti Selangor, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur. 


ii. Dalam masa yang sama, kaum Melayu di negeri yang kini di bawah pentadbiran PAS lambat menerima tumpuan kerajaan untuk dibangunkan kerana menumpukan kepada sektor pertanian.


iii. Jika negeri seumpama Selangor dan Pulau Pinang diangkat kerana menyumbang kepada hasil kerajaan, negeri Kedah dan Kelantan juga perlu diangkat kerana menjadi punca terjaganya keselamatan makanan di negara kita.


iv. Pulau Pinang yang sudah tinggi KDNK itupun saban tahun menerima bantuan daripada Persekutuan dan diucapkan dalam belanjawan, apatah lagi negeri lain. 


v. Sikap menganaktirikan negeri ini perlu dijauhi kerana negeri-negeri ini juga menyumbang banyak kepada negara dalam pelbagai aspek lain selain dalam bentuk materialistik.


Jadi adalah baik kalau Rafizi berhenti melalak mempertahankan kezaliman yang sedang Kerajaan Madani lakukan.


Sudah jadi menteri, tolong jadi matang.


YB Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi

Ketua Penerangan PAS Terengganu


3 Disember 2023

Ulasan