Kes Ngeh Koo Ham : Persepsi Jahat Perlu Dikenakan Tindakan

 


Pemuda Perikatan Nasional mengecam kenyataan dikeluarkan ahli Parlimen Beruas, Ngeh Koo Ham yang cuba mengaitkan punca kebakaran di kediaman beliau adalah daripada tindakan individu yang terpengaruh dengan kritikan pemimpin pembangkang berhubung kenyataan biadab beliau berkenaan cadangan melantik pakar bukan Islam dalam jawatankuasa mengkaji kompetensi DUN untuk menggubal undang-undang syariah.

2. Kami mengucapkan takziah kepada Ngeh Koo Ham atas insiden yang tidak diingini ini, namun ini bukan menjadi tiket bagi Ngeh Koo Ham untuk membuat satu tuduhan tidak berasas. Ngeh Koo Ham tidak perlu mendahului pihak berkuasa dalam mengenalpasti punca kebakaran dan individu yang bertanggungjawab terhadap insiden ini, jika benar insiden kali ini merupakan satu bentuk serangan.
3. Biarlah pihak berkuasa menjalankan siasatan dengan bebas. Berikan kepercayaan kepada PDRM yang kita yakin kecekapan mereka. Sekiranya bukti mencukupi dikenalpasti, Pemuda Perikatan Nasional amat menyokong tindakan undang-undang terhadap pelaku terbabit kerana Malaysia adalah sebuah negara yang mempunyai undang-undang.
4. Kenyataan Ngeh Koo Ham kali ini seolah-olah membutakan mata terhadap kesalahan lalu beliau, apabila beliau berkali-kali menyentuh sensitiviti umat Islam. Tidak cukupkah dengan kenyataan biadab sebelum ini sehinggakan ditambah sekali lagi dengan persepsi jahat sebegini?
5. Ngeh Koo Ham juga tidak perlu berlagak suci kononnya telah memaafkan pembuat kesalahan walhal kamu baru sahaja melemparkan sebuah tuduhan dan fitnah yang jahat terhadap pembangkang dan orang yang mengkritik cadangan biadab kamu.
6. Ngeh Koo Ham sekali lagi cuba mewujudkan isu ketegangan agama dan kaum dengan cuba mengheret insiden yang berlaku di rumah beliau dengan cerita yang tidak berpandukan bukti kukuh. Justeru, sebagai langkah untuk mengawal Ngeh Koo Ham daripada mengulangi tindakan jahat sebegini, Pemuda Perikatan Nasional akan menggerakkan laporan polis bagi mengekang fitnah sangkaan jahat yang cuba diwujudkan oleh Ngeh Koo Ham terhadap Perikatan Nasional khususnya dan umat Islam umumnya.
AHMAD FADHLI BIN SHAARI,
Ketua Pemuda,
PEMUDA PERIKATAN NASIONAL
10 Januari 2024

Ulasan