584 Guru dan Kakitangan Sokongan Terima Sumbangan Ramadan


Oleh : Pyang Mamat

KEMAMAN - Seramai 584 orang guru dan kakitangan sokongan daripada Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI), Sekolah Rendah DAR dan Sekolah Pondok di sekitar Kemaman menerima sumbangan sempena Ramadan pada kali ini.

Setiausaha Parti Islam SeMalaysia (PAS) Kemaman, Mohd Hafiz Adam ketika dihubungi menjelaskan bukan hanya guru-guru yang menerima sumbangan tersebut, malah pembantu guru dan kakitangan pejabat turut tersenarai.

"Telah menjadi rutin tahunan, kita agihkan sumbangan ini kepada Mudir Pondok, Guru PASTI, Setiausaha Kerja DUN dan Ahli Mesyuarat Sekretariat PAS Kawasan juga turut menerima sumbangan ini," katanya.


Sementara itu, Yang Dipertua PAS Kawasan Kemaman, Ustaz Che Alias Hamid ketika berucap menyatakan terima kasih beliau kepada semua yang terlibat.

"Jutaan terima kasih diucapkan kepada semua yang terlibat dalam memartabatkan Islam dari alam awal persekolahan hingga ke peringkat yang tertinggi.

"Para guru perlu terus istiqamah dan terus bersabar didalam ujian dan usaha yang dilakukan oleh sesetengah pihak dalam mengeruhkan situasi di dalam institusi pembelajaran Islam ini dengan mempertikaikan soal gaji minima guru," ujar beliau.


Mantan Ahli Parlimen Kemaman itu berucap di Majlis Agihah Sumbangan Dana Infaq Ramadan Fisabilillah di Dewan Seri Amar Diraja, Cukai pada 23 Mac lalu.

Ulasan