Kerajaan Anjur Solat Hajat Tuntut Pusat Kembalikan Royalti


KUALA TERENGGANU - Kerajaan PAS Terengganu akan menganjurkan himpunan perdana solat hajat melibatkan seluruh rakyat negeri ini, bermunajat mengadu dan memohon kepada Allah, pada 27 Ramadan ini.


Ketua Penerangan PAS Terengganu, Dr Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, usaha spiritual itu dibuat apabila bayaran royalti petroleum menjadi polemik berterusan dan belum menampakkan jalan penyelesaian terbaik.


"apabila jawapan yang dituntut tentang sekatan terhadap pemulangan hasil minyak kepada rakyat Terengganu masih samar, 


"Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih gagal memberi jawapan tuntas mengenai baki royalti 2023 dan bayaran hasil petroleum untuk tahun 2024." tegas beliau.


Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri Terengganu itu berkata dalam sidang media sempena Perasmian Sambutan Nuzul Al-Quran, selepas mesyuarat Exco, bersetuju sebulat suara usul tersebut,  semalam.



Katanya, kegagalan kerajaan Pusat  melunaskan bayaran tersebut mengikut jadual, menyebabkan perancangan Kerajaan Negeri sebagaimana diumumkan dalam Belanjawan 2023 dan 2024 terbantut dan tergendala.


Akibatnya, jelas beliau, rakyat menjadi mangsa, siri bantuan dan inisiatif daripada Kerajaan Negeri yang sepatutnya mereka terima, tidak berjaya dilaksanakan.


"Mereka juga mendesak agar Kerajaan Negeri melakukan pelbagai tindakan bagi membolehkan wang royalti kembali ke bumi Terengganu.


"Ramai juga yang memberi cadangan supaya pihak kami mengadakan solat hajat dan munajat agar urusan perundingan penyaluran royalti dipermudahkan." tambah beliau.


Dengan semua usaha yang dilakukan, kata beliau, Kerajaan Negeri percaya 'masih ada cahaya di hujung terowong'.


"kami tidak berputus asa, sebaliknya akan terus menggandakan usaha melalui pelbagai saluran mengikut lunas undang-undang bagi memastikan royalti petroleum ini dipulangkan kepada rakyat dan Negeri Terengganu." kata beliau, yakin.

Ulasan