Kerajaan Terengganu Bimbing Ahli Keluarga Ayah Pin Ke ‘Pangkal Jalan’


 KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu dan pihak berkuasa berkaitan akan mendekati ahli keluarga dan saudara mara Ariffin Muhammad, atau dikenali sebagai Ayah Pin, sebagai sebahagian daripada usaha membimbing mereka kembali ke ‘pangkal jalan’,

Ketua Penerangan PAS Negeri Terengganu, YB Ustaz Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, menjalinkan hubungan baik, silaturrahim boleh mengawal mereka dan mengelakkan ajaran sesat daripada timbul semula.

“Saya juga sudah bercakap dengan ADUN Hulu Besut (Mohd Husaimi Hussin). Ia akan melibatkan kaedah seperti memastikan kebajikan mereka, pendidikan, (memberi) kaunseling dan seumpamanya,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri Terengganu itu berkata demikian selepas melawat perkampungan di Batu 13, Hulu Besut, semalam.




Turut hadir, Ketua Polis Terengganu Datuk Mazli Mazlan dan Mohd Husaimi, yang meluangkan masa hampir 30 minit di penempatan itu dan bertemu dengan salah seorang balu Ayah Pin, Che Jaharah Awang, 64.

Justeru Ustaz Muhammad Khalil berkata, beliau dan rombongannya tidak melihat sebarang aktiviti atau bukti mencurigakan, yang menunjukkan kebangkitan semula ajaran sesat 'Kerajaan Langit’ yang pernah menggemparkan negara suatu ketika dahulu.

Jawatankuasa Fatwa Majlis Agama dan Adat Istiadat Melayu Terengganu telah mengisytiharkan bahawa akidah dan ajaran Ayah Pin adalah menyeleweng dan bercanggah dengan Islam di bawah Seksyen 25 Enakmen Pentadbiran Agama Islam 1986, yang diwartakan pada 1997.

Pada April 2005, Pejabat Tanah daerah Besut mengeluarkan notis untuk merobohkan beberapa replika gergasi yang dibina oleh Ayah Pin di perkampungan Hulu Besut terbabit, di mana beliau mempunyai lebih 150 pengikut.

Beliau meninggal dunia pada 22 April 2016, pada usia 74 tahun akibat sakit tua

Ulasan