RAKYAT AJAK SOLAT HAJAT
Saya mendengar dengan penuh teliti respons balas Perdana Menteri kelmarin berhubung pertanyaan YAB Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar tentang bayaran royalti petroleum (wang ihsan).
2. Jawapan YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim penuh dengan kekeliruan, mengecewakan dan menambah luka rakyat Terengganu yang menanti hak mereka dikembalikan sepenuhnya.
3. Datuk Seri Anwar kelihatan keliru antara Pemberian Persekutuan dan Belanja Pembangunan dengan hak royalti Terengganu apabila mencampurkan kedua-dua dana tersebut sebagai alasan untuk tidak melunaskan wang ihsan.
4. Pemberian Persekutuan dan Belanja Pembangunan seperti yang disebut PM adalah kewajipan asasi setiap pemerintah di Persekutuan terhadap mana-mana Kerajaan Negeri, manakala royalti pula adalah bayaran khas bagi negeri-negeri pengeluar minyak, kedua-dua jelas sangat berbeza.
5. Mencampurkan dua pemberian berlainan atas satu nama atau perkara sama adalah tidak bertepatan dengan sebuah kerajaan yang 'hidup' atas nama reformasi dan menjunjung semangat perlembagaan.
6. Perkara ini juga diakui oleh rakyat Terengganu, mereka menilai secara sedar dan waras jawapan balas penuh keliru Datuk Seri Anwar.
7. Rata-rata mereka tetap menuntut supaya dana royalti minyak termasuk yang masih berbaki kira-kira RM700 juta bagi 2023 dilunaskan dan bayaran tahun ini disalurkan mengikut jadual.
8. Ramai juga rakyat mendesak supaya Kerajaan Negeri mengadakan solat hajat bagi mempermudahkan urusan pembayaran royalti petroleum.
9. Justeru, PAS Terengganu sekali memperingatkan agar Kerajaan Persekutuan mendengar rintihan dan desakan 1.2 juta rakyat Terengganu yang saban hari menanti hak mereka dikembalikan, usah zalimi mereka.
YB Ustaz Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi,
Ketua Penerangan PAS Negeri Terengganu.
Ulasan