Oleh : Hafiz Rosli
|
KUALA TERENGGANU – Isu royalti petroleum dijangka menjadi topik hangat dibincangkan oleh 32 wakil rakyat pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu bermula Isnin, esok.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata
beliau tidak menolak kemungkinan isu berkenaan akan menjadi perbahasan sidang
DUN Terengganu kali ini.
Terdahulu, Kerajaan Persekutuan telah menyalurkan Wang Ehsan
berjumlah RM172.3 juta kepada kerajaan Terengganu pada minggu lepas bagi
membiayai komitmen emolumen kerajaan negeri, menurut Kementerian Kewangan
(MOF).
“Tetapi hasil perbincangan dengan Menteri Kewangan, Datuk
Seri Anwar Ibrahim sebelum itu, tidak sama dengan apa yang telah dibincang (lain
dibincang lain dibuat).
“Kita sebenarnya jangka penyaluran terus ke kerajaan negeri
untuk baki lebih RM700 juta lagi untuk 2023, baki tahun lepas sebagaimana
dibincang,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis
Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Menteri Besar Terengganu di Perkarangan
Kediaman Seri Iman, Batu Buruk baru-baru ini.
Tambah Ahmad Samsuri, kenyataan itu juga jelas menunjukan
bayaran royalti Terengganu tidak akan disalur sebagaimana sebelumnya.
“Tidak sama dengan 10-15 tahun lalu, cara penyaluran ke
negeri dan kita akan ‘adapt’ dengan cara ini.
“Ini kali pertama kita berhadapan dengan situasi ini,
sebahagiannya kita akan sebut dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN)
nanti," ujarnya.
Untuk rekod, Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN)
Terengganu kali ke-15 akan bermula pada 22 hingga 25 April 2024.
Ulasan