KIDI, IPT Wakaf Pertama Di Terengganu

 


Oleh : Amiirullah Mansor

DUNGUN - Kolej Islam Darul Iman (KIDI) adalah satu-satunya Institusi Pengajian Tinggi (IPT) yang dibangunkan melalui dana wakaf, hasil sumbangan daripada orang ramai.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu Ustaz Dato' Satiful Bahari Mamat berkata, perancangan rapi dari pihak pengurusan Kolej tersebut telah diaturkan dengan baik agar ia dapat mencapai matlamat penubuhannya.

"Tanah yang sudah menjadi milik KIDI akan dipecahkan kepada beberapa dan akan diwakafkan kembali kepada orang ramai. Daripada hasil duit wakaf tersebutlah kita akan membina pembangunan," katanya ketika mengulas Majlis Berbuka Puasa Sumbangan Dana KIDI yang diadakan pada minggu lalu.

Selain itu, beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri berkata, KIDI akan membuat pelancaran untuk menjual wakaf membangunkan infrastruktur bagi memenuhi kawasan seluas 70 ekar terbabit. 



"Pembangunan utama yang kita akan bangunkan ialah bangunan pentadbiran utama, kelas akademik, bangunan asrama, masjid, dewan, kompleks sukan dan sebagainya di samping bangunan fakulti-fakulti pengajian," ujarnya.

Jelasnya lagi, kolej ini akan dibangunkan secara berdaftar dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan akan mengikut segala prosedur sebagaimana yang ditetapkan KPT.

"Antara prosedur yang telah kita ikuti ialah memasukan pembangunan kepada Majlis Daerah untuk Kebenaran Merancang."

"InsyaAllah, kita dalam proses seterusnya iaitu pada tahun ini akan diadakan majlis pecah tanah dan akan dimulakan pembangunan utama tersebut," jelasnya 

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka berkata, beberapa pengajian utama yang diwujudkan ialah Pengajian Perubatan Islam.

"Pihak kerajaan negeri telah meletakkan pengajian Perubatan Islam perlu didaftarkan bermula sekarang supaya tidak ada lagi timbul perawat atau pengamal perubatan Islam yang terseleweng daripada ajaran Islam.

"Dan kerana itulah, antara pengajian yang kita tawarkan dalam KIDI ini untuk mewujudkan perawat Islam yang mengikut prosedur yang betul dan tidak bercanggah dengan Islam."

"InsyaAllah dengan kelulusan tersebut, kita akan dapat kebenaran di peringkat negeri bagi mengaplikasikan ilmu tersebut dalam masyarakat kita sendiri," katanya.

Selain itu, KIDI juga menawarkan pendidikan-pendidikan asas syariah lain yang merupakan tuntutan bagi pendakwah-pendakwah di masa akan datang.

"Besar harapan saya untuk melihat sokongan dan dokongan masyarakat agar kolej ini pada masa akan datang ini berjaya dibangunkan dengan jayanya."

"Terima kasih kepada para pewakaf dan seluruh penderma yang sedikit sebanyak menjadi penyumbang kepada KIDI," tegasnya.

Ulasan