Nadir Bumi Aset Kekayaan Tersembunyi




 Oleh : Muhammad Hafizuddin Rosli

Terengganu, di bawah tanah yang subur ini, terdapat kekayaan yang sangat bernilai dan strategik iaitu unsur nadir bumi (REE). Meskipun jarang dijumpai, unsur-unsur ini memainkan peranan penting dalam berbagai industri moden, dari elektronik hingga teknologi hijau.


Kenapa unsur tersebut begitu bernilai dan sentiasa menjadi topik hangat setiap kali dibahaskan di dewan negeri mahupun rakyat?

 

Ini kerana unsur tersebut merupakan kumpulan unsur kimia yang terdiri daripada elemen-elemen yang biasanya sangat jarang terdapat dalam kerak bumi. Ini termasuk Scandium (Sc), Yttrium (Y), serta kumpulan unsur lantanida dan aktinida. Keunikan setiap unsur ini memberikan pelbagai sifat yang berharga dalam aplikasi teknologi seperti kekuatan magnetik, kestabilan termal, dan kemampuan penghantar.

 

Di negeri Terengganu, khususnya, kajian dan penemuan terkini menunjukkan bahawa terdapat potensi besar untuk kehadiran unsur nadir bumi dalam tanah dan batuan di beberapa kawasan seperti Setiu, Hulu Terengganu, Marang, Dungun, dan Kemaman. Ini membuka peluang besar bagi negeri Terengganu untuk memanfaatkan sumber daya alamnya yang kaya ini dalam pembangunan industri dan teknologi.

 

Terengganu telah dikenalpasti sebagai salah satu kawasan yang kaya dengan deposit unsur nadir bumi. Penemuan ini telah membuka peluang ekonomi baru bagi negeri itu. Dengan menggali dan memanfaatkan sumber daya alamnya yang berharga, Terengganu berpotensi menjadi pemain penting dalam industri global yang bergantung pada unsur-unsur nadir bumi.

 

Menurut Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, ketika menjawab soalan bertulis Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jerteh, Dr Riduan Mohamad Nor pada Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Ke-15 tahun 2023, beliau menyatakan bahawa unjuran potensi REE telah dilakukan melalui Kajian NR-REE di Malaysia yang dimulakan oleh Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) pada tahun 2014 dengan kerjasama daripada Academy of Science Malaysia (ASM).

 

“Kajian yang dilakukan terhadap kawasan tanah luluhawa granit di daerah Setiu, Hulu Terengganu, Marang, Dungun, dan Kemaman, menunjukkan bahawa kawasan yang berpotensi tersebut mempunyai keluasan 1,437,500.00 ekar dan dapat menghasilkan sebanyak 7,187,500 juta tan REE.

 

“Kerajaan negeri sentiasa memandang kehadapan dalam perlombongan REE di Terengganu dengan menubuhkan Majlis Mineral Unsur Nadir Bumi (REE) Negeri Terengganu sebagai platform dalam menangani urusan berkaitan dengannya,” jelasnya.

 

Jelasnya lagi, ia sebagai memastikan kedaulatan dan hak Terengganu sebagai pengeluar REE dapat dilindungi dengan sewajarnya demi kepentingan rakyat dan negeri serta memainkan peranan dalam menentukan dasar dan halatuju pembangunan berkaitan REE.

 

“Fungsi Majlis Mineral Unsur Nadir Bumi (REE) Negeri Terengganu adalah mengadakan perbincangan royalti, pembangunan peluang perniagaan, projek dan pembahagian peluang-peluang perniagaan dan peluang pekerjaan kepada rakyat negeri.

 

“Selain itu, ia juga menumpukan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) pembangunan modal insan dan ekonomi bagi rakyat termasuk pengagihan kontrak secara berpusat (centralized) kepada kontraktor yang berdaftar demi memastikan kesinambungan peluang perniagaan,” ujarnya.

 

Meskipun kekayaan ini menawarkan peluang yang menggiurkan, ia juga datang dengan tanggungjawab besar. Perlu dilakukan pengurusan sumber daya yang bijaksana dan berkesan untuk memastikan manfaat jangka panjang bagi negeri dan penduduknya. Ini termasuk mempertimbangkan impak alam sekitar, pembangunan infrastruktur, dan pembangunan kemahiran tempatan untuk mengambil bahagian dalam industri ini.

 

Dengan pemahaman yang lebih baik tentang pentingnya unsur nadir bumi dalam industri global, Terengganu dapat menjadi pusat penting bagi penelitian, pembangunan, dan pengeluaran unsur-unsur ini. Dengan pelaburan yang sesuai dan dorongan inovasi, negeri ini berpotensi memimpin dalam pembangunan teknologi yang lebih lestari dan inovatif.

 

Exco Pelaburan Terengganu, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) berkata, syarikat peneraju utama Teknologi Super Magnet di Korea Selatan, Star Group Industry Co. Ltd yang menduduki tempat ketiga di peringkat global telah bersetuju untuk membina kilang berkait pemprosesan unsur nadir bumi (REE) berhampiran Pelabuhan Kemaman.

 

“Pembinaan kilang tersebut dijangka bermula seawal suku ketiga tahun 2024 dan tanah lokasi kilang itu dibina merupakan milik anak syarikat kerajaan negeri, EPIC Berhad. Pihak Star Group juga telah melawat lokasi berkenaan dan telah memberikan persetujuan untuk menyewa tanah seluas kira-kira 100 ekar bagi tujuan pembinaan kilang mereka di situ.

 

“Kilang yang akan dibina terdiri daripada dua peringkat, satu untuk ‘midstream’ dan keduanya adalah kilang ‘downstream’. Midstream ini akan proses hasil yang yang kita lombong di negeri Terengganu dan negeri-negeri di bawah State Government 4 (SG4) untuk dihantar ke kilang mereka untuk dibuat ‘cracking’ ataupun dioksidakan REE,” jelasnya.

 

Nurkhuzaini berkata proses ‘downstream’ pula melibatkan aktiviti melombong tetapi bukan secara terbuka. Ia hanya memasukkan beberapa batang paip dalam meter persegi tanah, kemudian dicurahkan bahan kimia tertentu. Proses ini akan menghasilkan REE karbonat yang diinginkan.

 

Selain itu, pelaburan dalam industri unsur nadir bumi di Terengganu mempunyai beberapa kelebihan yang dapat membuka peluang pekerjaan bagi penduduk tempatan. Industri ini memerlukan pelbagai jenis pekerja mulai dari ahli geologi, jurutera perlombongan, ahli kimia dan pelbagai lagi. Ini mencipta peluang pekerjaan yang pelbagai sesuai dengan latar belakang dan kemahiran penduduk tempatan.

 

Jadi, pelaburan dalam industri unsur nadir bumi di Terengganu tidak hanya menciptakan pekerjaan, tetapi juga memberikan dampak positif yang besar pada pembangunan ekonomi dan sosial di negeri tersebut.

Ulasan