Reformasi Tok Guru

MARANG - PAS mahukan Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi segera melakukan ‘reformasi’ bagi membersihkan mana-mana pemimpin yang bakal menerajui negara.


Perubahan itu penting sebagaimana hasrat ingin dibawa oleh Abdullah yang mahukan reformasi terhadap Badan Kehakiman, Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan beberapa agensi kerajaan lain.


Presiden PAS, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang berkata demikian mengulas berkaitan ucapan beliau membahaskan bajet 2009 di parlimen pada 15 Oktober 2008.

Beliau menegaskan bahawa Dato’ Seri Najib Tun Razak wajar dibersihkan imejnya jika mahu dipilih sebagai Perdana Menteri.


Ini kerana, katanya imej yang tercalar dengan pelbagai tuduhan skandal, rasuah dan jenayah itu boleh menjejaskan kewibawaan serta ketokohan seseorang pemimpin.


“Saya rasa beliau (Najib) perlu dibersihkan imej yang boleh menjejaskan kewibawaan dan ketokohan dia.


“Jika perlu dibawa ke mahkamah pun mahkamahlah sehingga betul-betul beliau (Najib) bersih dari kesalahan, tuduhan, jenayah, rasuah dan barulah layak jadi pemimpin,” tegas Ustaz Abdul Hadi.

Menurutnya, di negara yang mengamalkan demokrasi seperti di Amerika sendiri didedahkan segala-gala jika seseorang bakal pemimpin itu terlibat dengan gejala tidak sihat.


Justeru itu, katanya rakyat mahukan suatu perubahan dapat dilakukan oleh pemimpin negara hari ini bagi melahirkan kepimpinan yang bersih dan berwibawa.


“Kita (rakyat) mengharapkan Dato’ Seri Abdullah Badawi akan membuat reformasi dan boleh menapis pemimpin-pemimpin yang akan dilantik termasuk Dato’ Najib sendiri. “Setelah dibuktikan di mahkamah dia (Najib) tidak bersalah, Dia tidak terlibat dengan rasuah. Barulah dia (Najib) layak jadi Perdana Menteri dan itu yang diamalkan secara demokrasi di mana-mana negara di dunia,” ujarnya.


Ustaz Abdul Hadi berpendapat peralihan kuasa perkara biasa dan pernah berlaku sejak dari dahulu hingga sekarang.


Namun begitu, katanya apa yang menarik dalam ‘langskap’ politik negara hari ini Perdana Menteri (Abdullah) menghadapi tekanan yang begitu rupa oleh ahli-ahli Umno sendiri.


“Peralihan kuasa perkara biasa, dahulu pun pernah berlaku dan ini pun pernah berlaku. “Cuma yang menarik ialah Perdana Menteri ditekan dengan begitu rupa oleh ahli-ahli Umno sendiri.


“Saya melihat perkara yang tidak manasabah, dia (Umno) hormat kepada pemimpin bila ada pangkat dan jawatan. Bila tidak ada jawatan mereka kurang beri penghormatan. Itu pernah dialami oleh Tun Husin Onn dan Tun Dr Mahathir sendiri,” jelasnya.

Katanya, amalan tidak menghormati pemimpin sebagaimana yang dilakukan oleh ahli-ahli Umno itu usah diamalkan.

Ucapan Presiden PAS dalam Sidang Dewan Rakyat 15/10/2008

Transkrip penuh Ucapan Dato Seri Abdul Hadi Awang pada 15/10/2008

Ulasan