Isu Pilihanraya Kampus



PAS Hantar Memorandum Isu PRK IPTA

Kuala Terengganu
- PAS akan menyerahkan memorandum berkaitan isu pilihan raya kampus (PRK) yang berlaku di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) kepada Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Mohamed Khaled Nordin di Parlimen pada minggu hadapan, di parlimen apabila ia memulakan sesinya pada hari Rabu.


Ketua Dewan Pemuda PAS, Salahuddin Ayob berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Himpunan Pemuda Islam Terengganu (Himpit) 2008, di Pantai Pandak, Chendering, Kuala Terengganu, semalam.


Beliau yang juga Anggota Parlimen Kubang Kerian berkata, memorandum tersebut adalah berkaitan proses pemilihan ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) IPTA yang masih ditakuk lama, tidak demokratik dan diwarnai dengan penyelewengan dan salah guna kuasa .


“Minggu depan saya akan menyerahkan memorandum kepada Menteri Pengajian Tinggi di Parlimen kerana kita (PAS) melihat bahawa tidak banyak perubahan yang berlaku dalam suasana pilihan raya di kampus.


“Walau pun telah nampak beberapa perkara baru yang cuba ditunjukkan iaitu memanggil kami (PAS) dalam forum-forum Universiti tetapi pilihan raya kampus masih lagi berada pada tahap yang lama,” ujarnya.

Bahkan, katanya terdapat para pelajar yang pro-pembangkang menerima ugutan serta dikenakan tindakan disiplin.


“Ugutan-ugutan masih lagi berterusan dengan tindakan disiplin, penggantungan semesta dan pengusiran mereka (pelajar) dari asrama.


“Kampus masih lagi tidak pulih dari segi menyuburkan demokrasi dalam kampus itu sendiri,”kata beliau yang turut melahirkan rasa dukacita dengan peranan Timbalan Naib Canselor dan Naib Cancelor yang seolah-olah menjadi jurucakap UMNO/Barisan Nasional (BN).


“Kita (PAS) amat kesal dengan perkara ini. Kita (PAS) nampak bahawa Timbalan Naib Canselor dan Naib Canselor masih lagi menjadi jurucakap kepada UMNO/Barisan Nasional bagi memastikan kumpulan pro-aspirasi mendapat kemenangan,” ujarnya.


Justeru itu, beliau menegaskan, Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 wajar dihapuskan bagi mengembalikan kebebasan demokrasi kepada para pelajar dan pensyarahnya.


Menurutnya kewujudan AUKU telah menyekat kebebasan para pelajar dan pensyarah terbabit serta boleh ‘membunuh bunga-bunga harapan’ di negara ini.


“Kerajaan masih lagi tidak melepaskan ‘cengkamannya’ terhadap universiti. Ini yang kita minta supaya AUKU dapat dikembalikan supaya kita dapat lihat kembali kebebasan berlaku di kampus sebagaimana yang kita (PAS) perjuangkan.


“Saya melihat ini suatu proses ‘membunuh’ potensi yang ada dalam diri pelajar-pelajar kita kerana pelajar dilayan seperti budak sekolah, pensyarah-pensyarah dilayan seperti guru sekolah rendah.


“Ini yang mereka (pelajar) terima dan bukan mereka diraikan sebagai ‘bunga-bunga harapan’ di masa akan datang,” jelasnya.


Katanya, AUKU tetap menjadi hambatan terbesar yang mencengkam kebebasan intelektual warga Universiti untuk maju.


Menurutnya, ranking (kedudukan) Universiti terus jatuh dan belum pernah negara ini meraih apa-apa anugerah sejak merdeka.


“Pensyarah tidak diberi kebebasan dalam menimbulkan dunia intelek mereka. Universiti tidak dijadikan satu medan untuk negara memperolehi hadiah-hadiah besar dan tidak pernah lagi kita (Malaysia) capai,” ujarnya.


Hadir sama pada majlis tersebut Timbalan Ketua dan Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasaruddin Hassan Tantawi, Ustaz Azman Shapawi Abdul Rani dan seluruh jawatankuasa Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu.

Klik Untuk
Lihat & Dengar Sidang Akhbar YB Salehuddin


Pemilihan MPP 'Umpama Pilih Pengawas Sekolah Rendah' – Siswa UDM Hantar Memo Bantahan

Kuala Nerus - Kelab-kelab dan Persatuan Mahasiswa Universiti Darul Iman (UDM) telah menyerahkan satu memorandum kepada pihak Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) berikutan rasa tidak puasa hati terhadap Pilihanraya Kampus (PRK) di Universiti berkenaan.


Memorandum tersebut dibuat berikutan kegagalan HEPA mengadakan satu pilihanraya yang telus dan adil, dan pemilihan pemimpin mahasiswa sebuah 'menara gading' itu, disifatkan ‘umpama memilih pengawas di sekolah rendah’.

Menurut sumber Buletinonline, PRK UDM sepatutnya diadakan pada 16 Oktober lalu, namun tiada PRK pada tarikh tersebut apabila pihak HEPA mengisytiharkan kemenangan ‘percuma’ kepada 22 calon pro-aspirasi.


”Malangnya tiada PRK diadakan pada 16 Oktober untuk kesemua 22 kerusi kerana pihak HEPA isytiharkan ia sudah dimenangi tanpa bertanding,


”kesemua 22 orang yang diisytiharkan menang dan kini menjadi MPP adalah pelajar yang menyokong pro-aspirasi”ujar beliau.

Justeru ramai mahasiswa yang tidak berpuas hati dengan keadaan tersebut, beberapa kelab dan persatuan telah meminta pihak HEPA mengadakan dialog bersama persatuan dan kelab-kelab.

Dalam sesi dialog yang diadakan pada 15 Oktober lalu, wakil-wakil pemimpin mahasiswa telah mempersoalkan beberapa tindakan yang seolah-olah sengaja dilakukan HEPA, supaya tidak ada pertandingan yang berlaku.

Dekan HEPA Nordin bin Jusoh mendakwa hanya 22 orang calon yang mengambil borang dan pada hari penamaan calon dan hanya 22 orang calon yang menghantar borang pencalonan mereka.

Oleh yang demikian menurutnya, dengan hanya 22 calon yang menghantar borang, tiada pertandingan diadakan dan mereka diisytiharkan sebagai pemenang.

Namun demikian, dakwaan tersebut telah dibantah oleh Mantan YDP MPP UDM 07/08, Sabir Abdul Ghani yang mendakwa pihak HEPA tidak menyebarkan notis PRK secara menyuluruh.

Beliau juga mendakwa pihak HEPA sengaja menyembunyikan maklumat pertukaran tempat penamaan calon dimana notis pertukaran tersebut hanya diselit di cermin papan kenyataan tanpa disebar luaskan.

Pemimpin mahasiswa UDM yang hadir dalam dialog tersebut turut mempersoalkan kredibiliti MPP yang dianggap mereka sebagai ‘anak didik’ HEPA.

Mantan Exco MPP UDM 06/07 Abdul Rasyid berkata mahasiswa tidak dapat mengukur kelayakan MPP yang dipilih kerana tidak ada pertandingan yang berlaku.

Menurutnya, sekiranya pemilihan MPP dibuat melalui kempen pilihanraya, mahasiswa dapat menilai sejauh mana layaknya seseorang itu untuk menjadi pemimpin pelajar.

Dalam persoalan yang sama, wakil Persatuan Mahasiswa Kontemporari Islam (PMKI) Sakinatul Raudhah berkata beberapa MPP yang dipilih HEPA tidak mempunyai kredibiliti langsung sebagai seorang pemimpin pelajar.


Menurutnya, beliau amat mengenali secara dekat beberapa orang dari mereka.

“Mereka memilih kroni-kroni dan orang yang rapat dengan mereka untuk menjadi MPP” tambahnya



KPT Jangan politikkan kampus, Tumpu Usaha Tingkat Prestasi Universiti


Kuala Terengganu – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) digesa tidak campurtangan dalam politik kampus kerana ia akan menimbulkan keresahan masyarakat terhadap prestasi Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan kualiti graduan yang dihasilkan.


Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS, Dato’ Ustaz Abu Bakar Chik mempersoalkan apakah rasionalnya KPT campurtangan dalam politik kampus dan mengarahkan supaya pilihanraya kampus bagi IPTA di Lembah Kelang ditunda?

”Apakah kewajarannya? Mengapakah KPT terlibat dengan politik kampus? Apakah sebenarnya peranan KPT?”

”sepatutnya tumpukan usaha tingkatkan prestasi universiti, pastikan ada universiti Malaysia dalam 100 univeristi terbaik,”katanya ketika ditemui semalam.

Beliau berkata demikian sebagai respon kepada tindakan pihak KPT mengarahkan supaya pilihanraya kampus (PRK) bagi IPTA di Lembah Klang ditunda kepada Januari depan.

Menurutnya, cukuplah dengan keadaan sekarang, universiti telah pun menjadi ‘rosak’ kerana permainan politik UMNO dan Barisan Nasional.

”Orang sudah kenal siapa puteri umno dan pemuda yang menjadi dalang, merosakkan halatuju pendidikan tinggi, mereka masuk kedalam kampus dan berkempen,

”akhirnya mahasiswa tidak mempunyai idealisme sendiri, jadi kaku, takut dan menjadi graduan yang tidak berkualiti,”ujar beliau.

Justeru itu, beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu berkata, campurtangan berterusan UMNO dan Barisan Nasional terhadap pentadbiran universiti jelas membawa kesan yang buruk kerana menurut laporan ‘ranking’ universiti yang dikeluarkan baru-baru ini.

”Semua universiti samada yang yang dianggap terbaik atau yang di anggap terpilih untuk menyertai Program Pemacuan Untuk Kecemerlangan (Apex) masih berada di tahap dibawah tangga ke 200,

”Universiti Malaya (ditangga) 230, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pula berada ke 250, manakala Universiti Sains Malaysia (USM) yang terpilih sebagai universiti Apex, jatuh kedudukannya dari tangga ke 307 dari ke 313 tahun lalu,”jelas beliau.

Menurut objektif yang dipaparkan dalam laman rasmi KPT, kementerian tersebut meletakkan sasaran akan memastikan supaya sekurang-kurangnya tiga (3) universiti negara disenaraikan sebagai antara 100 universiti terbaik di dunia dan salah sebuah universiti berkenaan disenaraikan di kalangan 50 universiti terbaik dunia, menjelang tahun 2020.

Hanya ‘Gred D’ untuk Pilihanraya Kampus UMT.

Kuala Nerus - ''Strategi makan diri'', itulah ringkasnya yang boleh disimpulkan untuk Pilihanraya Kampus (PRK) Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang berlangsung pada hari Khamis, 16 Oktober lalu.

Dengan jumlah pelajar yang keluar mengundi tidak sampai 40% menunjukkan bahawa Hal Ehwal Pelajar (HEPA) gagal mendapat sokongan pelajar untuk keluar membuang undi.

PRK UMT sebenarnya adalah satu PRK yang gagal.

Walaupun siswa-siswi ‘diugut’ dengan pelbagai ugutan dan diancam dengan ancaman yang menggugat kedudukan mereka sebagai siswa-siswi, namun ‘tsunami politik’ turut berlaku pada PRK UMT.

Bantahan suara majoriti siswa UMT tidak ditunjukkan diatas kertas undi, namun dengan cara mereka memboikot PRK, dan tidak keluar untuk membuang undi.

HEPA hanya dapat ‘Gred D’. Itulah paling tinggi penilaian yang boleh kita berikan kepada pengurusan HEPA dan anggota Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) yang diisytiharkan menang dalam PRK UMT.

HEPA dapat markah 40%, begitu juga MPP yang menang, hanyalah MPP yang hanya melepasi markah ‘LULUS’ sahaja.

Malah di sesetengah universiti lain di Malaysia umpamanya Universiti Malaya (UM), seseorang pelajar wajib mengulang subjek yang diambil, sekiranya ia mendapat gred D, kerana ia dianggap ‘GAGAL’.

Itulah realiti ‘akademik’ yang perlu diterima umum hasil dari PRK UMT yang dilaksanakan oleh pengurusan HEPA yang penuh kontroversi dan konspirasi.


Empat puluh peratus yang keluar mengundi bermakna anggota MPP yang terpilih bukanlah MPP yang popular tetapi mereka adalah MPP minoriti kerana mereka tidak dipilih oleh majoriti suara siswa-siswi UMT.

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) perlu turun ke bawah melakukan penyiasatan serta ‘bedah siasat’, sekiranya KPT benar-benar telus dan bertanggungjawab mahu melihat sasaran prestasi universiti Malaysia akan mencapai objektif yang digariskan menjelasng 2020.

Kegagalan KPT mengenalpasti punca-punca kelemahan HEPA dan menyelesaikannya mengikut ukuran pengurusan universiti taraf dunia, merupakan isyarat awal kepada kegagalan kerajaan dalam melahirkan ‘modal insan’ hasil produk universiti yang bertaraf universal serta kualiti graduan universiti tempatan tidak akan kemana.

Sampai bilakah siswa-siswi UMT akan diwakili oleh pemimpin yang hanya gred D? Adakah tiada calon yang lebih baik sekurang-kurangnya gred C+ dan pentadbir HEPA yang lebih profesional?

Selagi HEPA bertindak bukan sebagai badan yang membimbing pelajar menghargai sebuah demokrasi yang memberikan kebebasan sebenarnya kepada siswa-siswi untuk menentukan halatuju PRK mereka sendiri, selagi itulah siswa-siswi hanya akan diwakili oleh kepimpinan kampus bertaraf ‘Gred D’

HEPA UMT bukan sahaja campurtangan dalam soal-soal teknikal PRK, tetapi HEPA sudah lama menggerakkan satu konspirasi yang berstrategi melakukan ‘pengklonan’ dan mencipta MPP ‘robotik’, yang bakal menuruti segala arahan HEPA tanpa sebarang bantahan.


Tindakan HEPA tidak memberikan kebebasan kepada mahasiswa itulah yang menyebabkan bantahan senyap yang berlaku (silent protest) samada timbul kerana tidak puas hati dengan tindakan HEPA yang menekan pelajar atau sudah bosan dengan HEPA yang ‘turut berpolitik’ dalam PRK.

HEPA dan anggota MPP yang terpilih mungkin sedang meraikan kemenangan mereka.

Mungkin berbangga dan merasa cukup berjaya kerana segala strategi dan konspirasi yang mereka rancang telah berjaya menyekat ‘aspirasi pelajar’ sekaligus melahir ‘pelajar pro-aspirasi’ HEPA.

Namun mereka mengkhianati Negara dengan melahirkan bakal-bakal graduan dan pemimpin masa depan yang terkonkong dan tidak dapat menyatakan kebebasan dalam membuat keputusan mereka.
Mereka akan menjadi Modal Insan yang hanya memperolehi Gred D!

PRK UMT : Hanya Sandiwara HEPA



Terus terang penulis nak kata bahawa Pilihanraya Kampus (PRK) UMT tiada demokrasi seperti yang diwar-warkan sebelum ini. Apa yang berlaku sekarang ini hanyalah lakonan yang dilakukan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UMT untuk memperbodohkan mahasiswa.

Macam-macam cerita yang dilakonkan antaranya menubuhkan dua dua blok pelajar yang memasuki pilihanraya walaupun pelajar tidak dibenarkan mewakili mana-mana parti atau persatuan. Pertama blok MPP. Blok ini adalah pelapis bagi MPP yang mana mereka adalah anak didik MPP menerusi JKPP.

Blok kedua ialah AKASIA. AKASIA ialah persatuan anak seni yang memperjuangkan seni dan budaya di UMT. Kelab ini adalah kelab HEPA, sama dengan MPP dan juga JKPP.

Tujuan AKASIA memasuki PRK adalah untuk melawan MPP sebagai pembangkang untuk menampakkan ada demokrasi di UMT. Hanya pelajar yang buta politik yang percaya dengan lakonan tersebut. Rata-rata pelajar sudah tahu bahawa AKASIA juga adalah anak didik HEPA.

Apa buktinya AKASIA adalah sama dengan MPP dan JKPP? Buktinya ialah sumber kewangan AKASIA dan adalah daripada sumber yang sama iaitu daripada HEPA. Dari mana mereka (calon) dapat duit untuk beli borang RM 200, nak bantah masa penamaam calon dan seumpamanya lagi?

Demokrasi Lumpuh

Segala lakonan yang dilakukan tidak dapat menutup bahawa demokrasi di UMT dilumpuhkan. Pada awal-awal lagi HEPA tidak bagi mahasiswa masuk bertanding, hanya anak didik mereka sahaja yang boleh masuk. Segala maklumat mengenai PRK tidak dihebahkan seperti tarikh pembubaran MPP, tarikh keluar borang calon, harga borang, tempat borang dikeluarkan,tarikh penamaan calon, tarikh mengundi dan banyak lagi. Pengumuman hanya dibuat pada saat akhir yang mana mahasiswa tidak sempat nak buat persediaan.

Harga borang yang mahal- RM 200 seolah-olah tak nak bagi mahasiswa beli borang tersebut. Dengan jumlah tersebut pelajar tidak mampu untuk menyediakannya kecualilah ada pihak yang nak memberi sumbangan. Itu tidak termasuk kos-kos yang lain seperti poster dan kos sampingan yang lain.

Segala fakta tersebut sudah cukup untuk menyatakan bahawa PRK UMT tidak demokrasi. Adakah cara begini HEPA nak melatih perintis pemimpin negara yang akan meneajui negara. Adakah mereka rasa calon-calon MPP yang mereka kemukakan ini mampu untuk memimpin mahasiswa dan mengembalikan maruah mahasiswa?

Kalaulah beginilah suasananya sekarang, tak payah buat PRK. Buat lantikan sahaja macam lantikan pengawas di sekolah, lepas tu panggil ketua balai polis Gong Badak untuk perasmian majlis. Sudah!, tak payah susah-susah buat PRK, habis duit dan tenaga sahaja.

Penulis sebagai mahasiswa menaruh harapan yang tinggi kepada pentadbiran universiti supaya melakukan pembaikan untuk memastikan survival mahasiswa di masa akan datang.

Ulasan