RM 408.6 Juta Bukan Royalti


Kuala Terengganu – Rakyat diharap tidak terpedaya dengan penyerahan ‘replika cek’ berjumlah RM408 juta oleh Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak kepada Menteri Besar yang dikatakan sebagai ‘tambahan atau baki royalti’ tahun 2007 dan 2008 pada Sabtu lalu.

(Gambar - penyerahan 'royalti' bohong Sabtu lalu)

Sebaliknya, baki tersebut bukan pembayaran royalty sebenarnya tetapi ia adalah baki wang terimaan ‘dana khas’ dari kerajaan persekutuan yang belum dilunaskan sebelum ini, bagi tahun 2007 dan 2008.

“Ia bukan royalti, royalti belum diselesaikan lagi, ada dalam lembaran akaun, kerajaan persekutuan melalui dana khas hanya menyerahkan 78% sahaja sebelum ini,”kata Bendahari PAS Terengganu Mohd Abdul Wahid Endut kepada Buletinonline disini, semalam.

Beliau berkata pembayaran royalti sebagaimana yang termaktub dalam undang-undang adalah bayaran secara terus dari Petronas ke dalam akaun kerajaan negeri Terengganu.

Sehubungan dengan itu Parti Keadilan Rakyat (PKR) meragui kesahihan cek bernilai RM408 juta yang diserahkan oleh Najib Razak kepada Ahmad Said itu.

Ketua Angkatan Muda Keadilan PKR negeri Terengganu, Fariz Musa berkata penyerahan cek yang dikatakan sebagai pembayaran wang royalti petroleum merupakan satu ‘gimik’ politik menjelang pilihanraya kecil parlimen Kuala Terengganu.

“Ia hanya satu ‘gimik’, propaganda politik murahan UMNO dan Barisan Nasional untuk mengelirukan rakyat dan pengundi menjelang pilihanraya kecil Kuala Terengganu,

“Kenyataan untuk menyerahkan kembali bayaran royalti dibuat oleh Perdana Menteri enam bulan yang lalu, sehingga bulan lalu MB kata duit royalti (akan diterima) mungkin bulan Mac depan,

“menjelang pilihanraya kecil, tiba-tiba pembayaran tersebut diserahkan,”kata beliau ketika dihubungi semalam.

Menurut beliau taktik kotor UMNO, mengumpan rakyat dengan wang menjelang pilihanraya menunjukkan UMNO bukan lagi sebuah parti yang mempunyai kekuatan politik.

Manakala Pengerusi Penaja Parti Tindakan Demokatik Ng Chai Hing menyifatkan penyerahan wang sebanyak RM408 juta adalah cubaan UMNO dan Barisan Nasional untuk menarik perhatian pengundi menjelang pilihanraya kecil parlimen Kuala Terengganu.

Beliau berkata pembayaran royalti petroleum yang sebenarnya haruslah mengikut prosedur undang-undang sebagaimana perjanjian yang dibuat dibawah akta petroleum tahun 1974.

“Ia gimik politik, cuba meraih publisiti untuk menarik perhatian pengundi menjelang pilihanraya kecil kuala Terengganu, bukan pembayaran royalty sebanar,”katanya ketika dihubungi.

AMK anjur kursus pidato pelapis

KUALA TERENGGANU – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Parti Keadilan Rakyat Terengganu akan melaksanakan kursus pidato secara berterusan dalam memilih dan menggalakkan golongan muda menjadi penceramah politik parti itu.

Timbalan Ketua AMK Terengganu, Muzafeq Affyulzaifuzam Muhammad berkata, melalui kursus tersebut, pihaknya secara tidak langsung mampu menilai sejauh mana kehebatan mereka untuk menjadi pelapis.

“Kita juga telah mengadakan kursus tersebut sebelum ini melibatkan penyertaan 45 orang dan mereka akan dilatih sebagai persiapan untuk menghadapi pilihan raya kecil dan pilihan raya umum ke-13 nanti.

“Kursus pidato ini dianjurkan Biro Latihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Peringkat Negeri Terengganu untuk mengetengahkan bakat-bakat baru bagaimana menyampaikan maklumat politik melalui ceramah,” katanya.

Katanya, kursus pada peringkat pertama itu merupakan tahap asas bagi memberi pendedahan secara berperingkat dalam usaha meningkatkan keyakinan mereka berdepan dengan orang ramai di samping meraih perhatian pengundi – Sinar Harian

Pas Dungun janji kerja kuat di Kuala Terengganu

SURA GATE - Jentera Pas Dungun akan bekerja habis-habisan bagi memastikan calon Pakatan Rakyat (PR) menang dalam pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu, 17 Januari depan.

Yang Dipertua Pas Kawasan Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli berkata, dua sayap parti berkenaan akan turut bersama membantu jentera parti memastikan kemenangan calon pembangkang.

“Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat serta Kelab Penyokong Pas akan ke lokasi yang sudah diatur oleh pihak pengurusan jentera pilihan raya tersebut.

“Kita akan bekerja bersungguh-sungguh memastikan kememangan calon kita dengan mendapat majoriti besar pada pilihan raya itu nanti," katanya.

Ulasan