Perarakan Menyokong Bahasa Ibunda Dilayan Dengan Gas Pemedih Mata !




Kuala Lumpur - Kepulan asap pedih dan gatal serta ‘mencekik’ tekak dan dentuman tembakan bertalu-talu kedengaran disekitar kawasan Istana Negara, umpama perang yang sedang meletus.

Himpunan 100 Ribu Gerakan Mansuhkan Pengajaran dan Pembelaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (GMP PPSMI) yang berarak ke Istana Negara bagi menyampaikan hasrat hati rakyat kepada Yang DiPertuan Agong, telah dilayan dengan tembakan ratusan gas pemedih mata.

Sekitar jam 2.20 petang, kumpulan awal kira-kira 10,000 penyokong GMP PPSMMI yang bergerak dari Pasar Seni mula menerima ‘layanan istimewa demokrasi’ ala- Malaysia, oleh pasukan Polis Diraja Malaysia yang melepas tembakan pertama tanpa sebarang amaran.

Kumpulan perarakan peratama itu dimaklumkan telah dikepalai oleh diketuai oleh Ketua Pemuda PAS Pusat, Salehudin Ayub.

Sebaik sahaja mereka bertembung dengan Polis Simpanan Persekutuan (FRU) di Lebuh Raya Persekutuan, berhadapn istana negara, polis tidak bersoal jawab terus mengambil tindakan.

“Sampai sahaja disana, polis tidak bersoal jawab terus merampas kain sepanduk yang dibawa, dan berlaku pergelutan apabila para peyokong GMP PPSMI cuba mengambil semula kain tersebut,

“selang beberapa detik, tembakan pertama dibuat, keluar asap berwarna biru, yang cukup memedihkan dan mencekik leher,”kata Timbalan Yang DiPertua PAS Kemaman, Haji Hanafiah Ramly@Mat yang turut menyertai kumpulan itu dalam perarakan menyokong ‘bahasa Ibunda’ semalam.

Beliau yang menghubungi Buletinonline kira-kira jam 3.00 petang memberitahu, bersama-sama beliau adalah beberapa pimpinan PAS negeri Terengganu termasuk Timbalan Ketua Dewan Ulamak, Ustaz Haji Abu Bakar Abdullah.

PAS Terengganu telah menghantar tidak kurang 10 buah termasuk dari Kuala Terengganu, Besut, Kemaman dan tambahan tiga buah bas lagi dari Ma’Ahad Tahfidz Wal Tarbiyah.

Dalam perkembangan yang sama, Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat Dato' Abu Bakar Chik berkata serangan bertubi-tubi dan tanpa belas kasihan, tidak mematahkan semangat rakyat.

Katanya semangat cintakan bahasa Ibunda telah 'membakar' hasrat rakyat khususnya para pejuang bahasa yang mahu menjujung dan memartabatkan Bahasa Melayu dan membantah dasar PPSMI yang diperkenal kerajaan UMNO/BN.

"Saya bersyukur dan rasa terharu dengan sokongan yang ditunjukkan oleh rakyat seluruhnya yang sanggup bersusah-payah mengharungi asakan pihak polis untuk menyampaikan suara hati mereka kepada Yang Dipertuan Agong.

"sasaran dan hasrat kita hari ini tercapai dengan terkumpulnya lebih 100,000 rakyat dan serahan memo juga berjaya disampaikan," katanya ketika dihubungi Harakahdaily.

Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berharap agar keputusan berhubung isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) dibuat segera bagi mengelakkan tercetusnya isu yang lebih besar.

Abdullah dipetik mStar mengeluarkan kenyataan di ibu negara beberapa jam selepas Gerakan Mansuhkan PPSMI mengadakan Perhimpunan 100,000 Rakyat membantah dasar tersebut, semalam.








Ulasan