Tuanku Nur Zahirah Tidak Hadir Konvokesyen UDM Kerana ‘Program Bersama Tokoh’ ?



KUALA TERENGGANU - Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah tidak berangkat hadir ke Majlis konvokesyen Universiti Darul Iman (UDM) dan tidak di masyhurkan sebagai Canselor pertama universiti tersebut.

Seorang kakitangan Universiti berkenaan memberitahu, bukan sahaja Tuanku Permaisuri tidak hadir malahan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Ahmad Said serta ahli-ahli Exconya juga turut tidak hadir.

Majlis makan malam rasmi yang dianjurkan oleh pihak Universiti itu hanya dihadiri oleh Yang DiPertua Majlis Penasihat Pemangku Raja, Tengku Seri Panglima Raja, Tengku Badruzaman Sultan Mahmud.

Perkara ini telah menimbulkan banyak spekulasi di kalangan rakyat negeri ini khususnya persoalan apakah sebabnya Yang DiPertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Permaisuri Agong tidak berangkat ke majlis yang amat penting itu.

Ia adalah kerana, menurut sumber lain, pada hari Majlis Konvokesyen UDM, Tuanku Yang DiPertuan Agong berada di negeri ini, namun tidak ada sebarang kenyataan dikeluarkan, oleh mana-mana pihak, mengapa baginda tidak hadir.

Sebelum ini oleh pihak UDM memaklumkan Tuanku Permaisuri Agong akan berangkat hadir pada majlis konvokesyen yang julung-julung kali diadakan itu.

Pada 28 Jun lalu, Naib Canselor UDM, Profesor Datuk Dr. Alias Daud (gambar bawah) berkata, Tuanku Nur Zahirah telah menyatakan perkenan baginda untuk pelantikan tersebut dan persetujuan berangkat ke istiadat pemasyhuran itu.

"Pemasyhuran itu akan dibuat semasa majlis konvokesyen pertama UDM pada 14 hingga 16 Julai ini," katanya semasa majlis pendaftaran pelajar baru sesi 2009/2010 di Dewan Al-Muktafi Billah Shah, Kampus Kolej Universiti Sultan Zainal Abidin (KUSZA) di Gong Badak.

Mengulas kelewatan penganjuran konvokesyen, Alias berkata, ia disebabkan pihaknya terpaksa menyediakan peralatan baru.

Tahun lalu, sebuah akhbar mendedahkan, UDM gagal mengadakan Konvokesyen selepas tiga tahun dinaik taraf sebagai universiti (dulunya dikenali sebagai Kolej Universiti Sultan Zainal Abidin atau KUSZA).

Sebaliknya pada tahun ini, walaupun konvokesyen berjaya diadakan, ianya dilihat tidak sempurna dengan ketidakhadiran Canselornya dan para graduan hanya menerima skrol Datuk Naib Canselor.

Pelbagai pendapat yang di utarakan oleh orang ramai mengulas ketidakhadiran Tuanku Permaisuri Agong.

Antaranya, mengaitkan kehadiran Bekas Menteri Besar Dato’ Seri Idris Jusoh yang dijemput hadir dalam ‘program bersama tokoh’ yang dianjurkan oleh UDM semasa Minggu Mesra Siswa pada awal bulan ini.



Jambatan Kuala Berang ‘Port’ Pencinta Minuman Keras

HULU TERENGGANU – Satu kawasan berhampiran Jambatan Kuala Berang disyakki menjadi ‘port’ maksiat dan kaki arak apabila berpuluh-puluh botol minuman keras pelbagai jenama ditemui dikawasan tersebut.(Gambar - Anggota Unit Amal menjalankan aktiviti di jambatan Kuala Berang)

Kawasan tersebut secara kebetulan berhampiran dengan tapak kem Jamboree Unit Amal Terengganu yang diadakan baru-baru ini.

Ketua Unit Amal Terengganu, Mohd Saiful Ambia Darusa, 38, (gambar kanan) ketika ditemui melahirkan rasa dukacita dan terkejut dengan penemuan botol-botol minuman keras tersebut.
Sebelum ini, katanya, beliau pernah mendengar aduan penduduk setempat yang mendakwa di bawah jambatan tersebut dijadikan ‘port’ kepada para remaja berkumpul serta melepak.

“Saya cukup kesal dan terkejut dengan penemuan banyak botol-botol arak pelbagai jenama ini.

“Saya pernah diberitahu oleh penduduk bahawa di bawah jambatan ini tempat ‘port’ berkumpul para remaja melepak setiap malam dan mereka (remaja) melakukan aktiviti tidak sihat,” ujarnya kepada Buletin Online semalam.

Menurutnya, penemuan banyak botol-botol minuman keras itu cukup membimbangkan serta mencemarkan nama baik negeri ini.

Seorang anggota Amal Kawasan Kuala Nerus, Abdul Majid Abdul Kadir, 43, menggesa pihak berkuasa dan kerajaan negeri mengambil tindakan menangani masalah tersebut.

Katanya, masalah ketagihan arak, dadah serta jenayah lain semakin menjadi-jadi melibatkan golongan belia remaja.

“Saya minta pihak kerajaan dan jabatan berkenaan tolong buat pemantauan yang lebih kerap di kawasan-kawasan seperti ini.

“Saya terkejut bila melihat dan menemui berpuluh-puluh botol arak yang pelbagai jenama dalam operasi kita (Unit Amal) hari ini,” katanya.

Menurutnya, ia adalah hasil amalan ‘Islam Hadhari’ oleh kerajaan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang jelas, gagal melahirkan modal insan yang baik.

Antara jenama pada botol minuman keras yang paling banyak ditemui adalah ‘Polska Vodka’, ‘Bee Chew’ serta beberapa jenama dalam tin (gambar kiri).



MTD Chukai kenduri, sambut kemenangan Manek Urai


KEMAMAN - Apa pun ulasan yang dibuat, kemenangan PAS bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Manek Urai, Kuala Krai membuktikan rakyat menolak parti UMNO dan Barisan Nasional (BN).


Dalam pilihan raya kecil itu, calon Pas, Mohd Fauzi Abdullah seorang pemborong ikan telah menewaskan calon BN, Tuan Aziz Tuan Mat, bekas Pengurus Kesedar, dengan majoriti sebanyak 65 undi.

Mohd Fauzi atau lebih dikenali sebagai 'Abe Uji' memperolehi jumlah undi sebanyak 5,348 sementara Tuan Aziz mendapat 5,283 undian.

Penolong Setiausaha PAS Terengganu, Haji Hanafiah Mat@Ramly berkata, kejayaan yang diraih PAS membuktikan rakyat masih setia dengan PAS dan menolak amalan rasuah dan politik wang yang disogokkan pemimpin UMNO.


“Walaupun pelbagai kata manis dijanjikan kepada penduduk Manek Urai namun mereka membuat pilihan bijak, UMNO/BN kalah kerana amalan rasuah, samada rasuah wang atau rasuah janji-janji pembangunan,” katanya ketika di temu Buletin Online.

Hanafiah yang juga Pengarah Majlis Tindakan Dun (MTD) Chukai berkata, rakyat Manek Urai tidak memandang faktor pembangunan sebagai faktor terpenting di kawasan itu sebaliknya memohon Kerajaan Pusat supaya menaikkan harga getah.

"Orang Manek Urai tak kesah tentang pembangunan yang canggih-canggih, apa yang mereka mahu, harga getah yang meleset sekarang meningkat." ketika di temui Buletin Online selepas Majlis Jamuan Kesyukuran sempena Kejayaan Manek Urai di Kampung Dusun Nyior dekat sini, Khamis lalu.

Beliau mengucapkan kesyukuran dan terima kasih kepada kira-kira 2,000 orang warga Chukai yang hadir ke Majlis itu.

Mengulas lanjut tentang Manek Urai, beliau berkata, seluruh jentera kerajaan pusat di gembelingkan dalam menghadapi PAS dalam pilihanraya kecil itu.

“Pemimpin UMNO sepatutnya lebih hebat di kawasan Manek Urai kerana UMNO turun dengan seluruh jentera kerajaan Pusat,

”walaupun persaingan begitu sengit, namun saya yakin, berdasarkan scenario di Manek Urai, PAS dan Pakatan Rakyat mampu menang dan akan menerajui negara selepas pilihan raya umum yang akan datang,” katanya.

Oleh itu beliau selaku Ahli Jawatankuasa Lajnah Perpaduan Nasional Peringkat Pusat menggesa Kerajaan Persekutuan, terutamanya Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yassin, menunaikan semua janji-janji yang telah dibuat semasa piliharaya itu.

Katanya, antara janji pembangunan yang dibuat oleh Muhyidin adalah mahu membina sebuah jambatan bernilai RM7 juta dan beberapa buah masjid.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada lebih 20 orang jentera pilihanraya PAS Kawasan Kemaman yang telah berkampung selama sebulan dan membantu kempen pilihanraya kecil Manek Urai bermula 18 Jun hingga 15 Julai lalu.

Ulasan