Orang Islam Wajar Marah Dengan Kegiatan Judi – Encik Tan

http://buletinonline.net/images/stories/berita21/harun.jpgBatu Enam, KUALA NERUS – Tindakan sekumpulan penduduk Kampung sekitar Batu Enam dekat sini berhimpun beramai-ramai di hadapan premis yang menjalankan operasi judi adalah satu perbuatan ‘amar makruf nahi mungkar’.

Wakil penduduk terbabit, Encik Harun Ismail, berkata, mereka mengambil pendekatan demikian adalah sebagai memenuhi tuntutan agama.


”Kita mahu hapuskan judi, (himpunan ini) yang dianjurkan oleh masyarakat (Kampung) Batu Enam sendiri kerana judi kalau dibiarkan, (bermakna) kita tidak lagi menunaikan amanah, tanggungjawab kita melaksanakan ‘amar makruf, nahi mungkar’,”katanya ketika ditemubual oleh wartawan Buletinonline.

Menurutnya, sebagai seorang Islam, jika maksiat seperti judi dan arak dibiarkan berleluasa, ia bermakna mengundang ‘bala’ dari Allah SWT.

”Jika judi dan arak berlaku, kita mengundang bala dari Allah SWT, oleh sebab bagi mengelakkan bala dari Allah, bagi orang Islam wajib melaksanakan ini semua (amar makruf, nahi mungkar),”tegasnya.

Seorang peniaga berugama Buddha yang menjadi jiran peniaga ‘judi haram’ tersebut turut menyetujui tindakan orang-orang kampong membenteras judi.

Beliau yang mahu dikenali sebagai Encik Tan berkata, umat Islam wajar marah dengan kegiatan yang tidak bermoral itu.

http://buletinonline.net/images/stories/berita21/Tan.jpgKatanya, ugama Buddha juga mengharamkan judi malah semua agama lain turut mengharamkan judi.

”Judi gini, kita tak boleh buat apa, kalau dia orang nak marah terpaksalah (wajarlah) nak buat macamana, jadi sekarang ni memang nampak ramai (orang yang) marah itu,

”memang kalau judi semua (agama) haram, memang dah, tapi orang nak (cepat) kaya nak buat macamana, orang le (sekarang) ni dok kira doh (tak berapa hirau) dia orang agama dok (tidak) kuat,”jelasnya.

Beliau yang mengaku tidak pernah berjudi, turut menasihatkan orang lain yang beragama Buddha, supaya tidak melibatkan diri dalam kegiatan judi.

Encik Tan juga maklum tentang dasar kerajaan Terengganu yang telah mengharamkan semua aktiviti perjudian.

Rabu lalu, 20 Januari, kira-kira seratus penduduk Kampung Batu Enam telah berhimpun dan mengangkat sepanduk bagi membantah kegiatan judi yang semakin berleluasa di kawasan tersebut.

Pengendali kegiatan haram itu bukan sahaja menjalankan urusniaga di premis berkenaan, malah turut menghantar agen-agen yang menjual ‘ekor haram’ itu hingga ke dalam kawasan pasar Batu Enam.

Ulasan