Kurang Undi Tidak Sampai 4.0 Peratus

- PAS Yakin Kembali Menerajui Negeri Terengganu
KUALA TERENGGANU
- Dengan tambahan sokongan undi tidak sampai 4.0 peratus, PAS Terengganu yakin akan menang pilihanraya umum ke 13 yang akan datang dan dapat memerintah negeri Terengganu

Pengarah Jabatan Pilihanraya Negeri (JPN) PAS Terengganu, Ariffin Deraman (Gambar - baju dan berkupiah putih)   berkata demikian ketika menjawab soalan pemberita berkenaan apakah yang meyakinkan PAS Terengganu untuk kembali memerintah.

“Kita di Terengganu ini, kita hanya perlu kurang 4.0 peratus sokongan pengundi dari keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu dan PAS akan menang serta boleh menguasai kerajaan.

“Empat peratus pun tidak sampai dan dengan 4.0 peratus pun kita (PAS) sudah dapat 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu.

“Jumlah ini kecil sahaja dan kita yakin mampu dicapai dalam pilihan raya akan datang, Insya’Allah,” jelasnya ketika bercakap kepada media disini semalam.

Menurutnya, semua DUN menjadi tumpuan PAS dalam PRU akan datang kerana semuanya berpotensi untuk dimenanginya berdasarkan kemenangan sebanyak 28 kerusi pada PRU ke-10 tahun 1999.

Malah, katanya, ia termasuk empat DUN yang tidak dimenangi ketika itu.

“Kesemua Dun menjadi tumpuan kita (PAS) kerana ada potensi untuk menang. Sebab, pada PRU ke-10, kita telah berjaya menguasai 28 kerusi Dun di Terengganu ini.

“Empat Dun yang kita belum pernah menang pun ada potensi untuk menang. Di samping, kita akan pertahankan lapan kerusi Dun sedia ada sekarang,” tegasnya.

Beliau mengulangi kenyataannya kepada Buletinonline sebelum ini dan mendedahkan bahawa kajian Pemuda Umno tentang nisbah pendaftaran pengundi Melayu bukan Melayu 1:40 sangat tidak logik.

Katanya, angka satu pengundi baru Melayu dengan 40 pengundi Cina itu tidak manasabah dan tidak tepat sama sekali.

“Saya menafikan dakwaan yang dibuat oleh Pemuda Umno itu dengan nisbah 1:40 iaitu seorang Melayu dan empat puluh Cina.

“Itu memang sangat tidak ‘logik’ (manasabah) sekali pun di kawasan Lembah Kelang dengan nisbah itu. Saya lihat angka itu satu kajian yang sangat tidak tepatlah,” ujarnya.

Menurutnya, daftar pemilih baru di Terengganu menunjukkan masih terdapat 77,000 orang yang belum berdaftar sebagai pengundi yang sah.

Katanya, jumlah 77,000 orang atau 12 peratus tersebut yang belum berdaftar merupakan paling sedikit di seluruh negara.

“Pendaftaran pemilih di Terengganu ini ada sebanyak 77,000 orang yang belum lagi mendaftar sebagai pemilih yang sah atau 12 peratus dan paling sedikit di seluruh negara berbanding 28 peratus di peringkat nasional yang belum berdaftar. 

“Usaha yang kami buat, kita ada dua orang wakil Penolong Pendaftar yang diiktiraf oleh pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),” ujarnya.

Ulasan