JKKK jadi ‘alat’ UMNO/BN menzalimi dan merampas tanah rakyat


DUNGUN – Kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN) Terengganu menjadikan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) sebagai alat bagi mezalimi dan merampas tanah-tanah rakyat.

Mangsa penzaliman Umno/BN terbaru di negeri ini ialah tanah Sekolah Rendah Islam Darul Bayan (SRIDB) di Kampung Kolam Mak Tagar, Jalan Santong, dekat sini.

Seluas dua ekar tanah SRIDB  yang telah diluluskan oleh kerajaan negeri pada 22 Oktober 2003, ‘dirampas’ dan diagihkan kepada pihak JKKK Limbong.

Antara nama-nama JKKK tersebut termasuk,  Pengerusi Umno dan JKKK Kampung Limbong, Ibrahim Abdullah, Rosli Hashim (AJK Umno Kampung Cacar), Mohamad Idris (JKKK), Abd Ghani Muda (AJK Umno dan JKKK Kampung Limbong) serta Suhaini Abd Karim iaitu AJK Wanita Umno dan isteri JKKK Limbong.

SRIDB yang ditubuhkan pada tahun 2001 berdaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) sebagai Sekolah Rendah Agama Rakyat.

Selama 11 tahun, SRIDB telah dibangunkan melalui titik peluh dan sumbangan derma serta sadaqah jariah orang ramai.

Antara yang telah dibangunkan ialah bangunan tetap satu tingkat  mempunyai 10 bilik kelas, bilik guru, pejabat, surau dan kantin, yang menampung  350 pelajar  dan 38 orang guru serta kakitangannya.
Pelan pembangunan akan datang SRIDB adalah cadangan membina bangunan asrama anak yatim, pembesaran kantin, perumahan guru dan tempat letak kereta.

Malangnya, keseluruhan tapak cadangan Asrama Anak Yatim SRIDB tersebut telah dipecahkan kepada lima lot serta diagih-agihkan sesama JKKK termasuk pengerusinya.

Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat, Dato’ Abu Bakar Chik menyifatkan tindakan pihak JKKK Kampung Limbong yang bertindak ‘merampas’ tanah Sekolah  Rendah Islam Darul Bayan sebagai zalim.

Kata beliau, tindakan merampas tanah tersebut satu kezaliman yang tidak boleh dimaafkan dan mesti ditentang oleh rakyat seluruhnya.

“Ini bukan pertama kali kerajaan Umno dan Barisan Nasional buat perkara yang memalukan dan kerana hendak memuaskan nafsu JKKK, mereka sanggup menafikan hak rakyat dan hak Darul Bayan.

“Tanah ini kita (sekolah) telah bayar Lesen Menduduki Sementara (TOL) sejak tahun 2003, 2004 dan 2005 lagi,” ujarnya.

Namun, katanya sejak tahun 2006 pihak kerajaan negeri di bawah Menteri Besarnya, Dato’ Seri Idris Jusoh telah membekukan pembayaran lesen tersebut.

Beliau yang juga bekas Exco Kerajaan Terengganu menjelaskan pendidikan bukan isu biasa tetapi menjadi isu yang lebih penting dari isu-isu lain.

Ini kerana, katanya melalui pendidikanlah agama dapat disemai dalam diri setiap manusia dan rakyat menjadi baik.

“Kita (PAS) harap pihak berkenaan pulangkan semula hak (tanah) ini kepada pihak sekolah (SRIDB) sebelum berlaku sesuatu yang tidak diingini, kerana Allah SWT itu Maha Adil dan Bijaksana,” tegasnya.

Ulasan