Bersih 4.0; Pemuda Terengganu Bersedia!


HULU TERENGGANU – Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT) bersedia mengerahkan ahli-ahli dan penyokongnya, turun beramai-ramai menyertai Himpunan Gabungan Pilhanraya Aman dan Bersih kali ke-empat (Bersih 4.0) sekiranya ia diadakan pada bila-bila masa jua.

Ketuanya, Ustaz Mohd Nor Hamzah berkata, pemuda PAS Terengganu akan menyokong sepenuhnya saranan dan amanah yang ditetapkan oleh Presiden PAS.

“Kita akan sokong sepenuhnya, saranan dan amanah yang ditetapkan oleh pimpinan Presiden PAS,”tegasnya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Payong berkata demikian ketika ditemui selepas program ceramah Pentas Pemuda yang diadakan di Teluk Menara, Manir dekat sini pada Isnin malam, 30 April.

Bahkan, beliau berkeyakinan besar, sekiranya Bersih 4.0 diadakan, ia akan mendapat sambutan ramai kerana menurutnya lapan puluh peratus peserta Bersih 3.0 Sabtu lalu adalah terdiri daripada orang-orang muda.

“Bahkan kita meletakkan keyakinan bear (ia akan mendapat sambutan) kerana dalam Bersih 3.0 kita lihat (pnyertaan) 80% anak-anak muda, termasuk (mereka) yang datang dari negeri Terengganu yang agak ramai,”jelasnya.

Pada 29 April, Presiden PAS, Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang memberi amaran perhimpunan lebih besar berbanding Bersih 3.0 akan diadakan jika kerajaan enggan memenuhi tuntutan agar disediakan persekitaran bagi pilihan raya bebas dan adil.

"Jika sekiranya tuntutan rakyat kekal tidak didengari, kita sedia menganjurkan perhimpunan lebih besar dengan jumlah berganda daripada Bersih 3.0 sehingga protes kita terhadap kekotoran pilihan raya diterima.

"Kita mahukan perubahan kerajaan dalam keadaan aman dan matang sebagaimana amalan negara-negara maju yang telah matang amalan demokrasinya," kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan .

Sehubungan itu, Ustaz Mohd Nor berkata, kepimpinan DPPNT akan mendengar secara langsung amanat Presiden PAS pada Muktamar Kali Ke-43 sayap kanan PAS itu yang akan dirasmikan oleh sendiri oleh Ahli Parlimen Marang itu.

Menurutnya, Muktamar tersebut akan diadakan di Markaz tarbiah PAS Kubang Lembek, Manir pada Selsa (hari ini) 1 Mei, 2012.

Ulasan