'Amanat Haji Hadi': Umno Perlu Jawab Banyak Isu Lain

UMNO yang dilihat seperti kelemasan menggunakan teknik bertahan bagi menyelamatkan kedudukannya sehingga sanggup menggunakan isu lapuk demi menghidupkan sisa-sisa survival politik mereka.

Menurut Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) Ustaz Riduan Mohd Nor, kali ini isu amanat Haji Hadi tahun 1981 diolah kembali supaya ianya bermain dibibir umat Islam di negara ini.

"ternyata isu Amanat Haji Hadi menandakan mereka sudah kehabisan modal dan kekeringan idea bagi menangkis serangan isu yang bertali arus, bagi menyelamatkan hayat politik mereka, mereka terpaksa memainkan kembali isu amanat Haji Hadi.

"mereka menggunakan institusi agama seperti Jabatan Mufti, beberapa ulama’ ditampilkan bagi mengukuhkan hujah mereka,"ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan yang dikeluar semalam 18 Disember.

Dengan itu, katanya, bersuaralah beberapa mufti menggesa agar amanat itu ditarik balik dengan hujah ia adalah suatu bidaah besar serta bercanggah dengan amalan ahli Sunnah Wal Jamaah.

Tuduhan kafir yang dilemparkan dari amanat tersebut dikhuatiri akan berbalik kepada penuduh tersebut.

Kata Riduan, bagi seorang ulama’ dan pemimpin parti politik seperti Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, beliau tahu apa yang beliau ucapkan, kepada siapa beliau ucapkan dan bila kenyataan itu wajar diucapkan, bahkan, Ustaz Abdul Hadi tahu semua hukum berkaitan dengan kenyataan beliau itu.

Oleh itu, sebaiknya para ulama’ tersebut bertemu, bermuzakarah malah berdebat dengan beliau bagi mempertahankan kebenaran.

Menurutnya, bermain di sebalik media arus perdana tidak mendatangkan natijah melainkan hanya menjadi gelak ketawa umat Islam sahaja menandakan ketidak beranian pihak yang menuduh Presiden PAS untuk bersemuka.

Menurut Ustaz Riduan, isu agama adalah isu paling ampuh untuk menawan hati orang Melayu serta umat Islam keseluruhannya dan isu amanat Haji Hadi diharapkan oleh Umno, rakyat akan marah kepada PAS.

"isu seperti ini adalah petanda ‘kubra’ parlimen akan dibubarkan. Beberapa kerat individu pemimpin utama parti Pakatan Rakyat akan dipersalahkan dan diburukkan dengan pelbagai kempen negatif.

"Dengan hasrat supaya rakyat menuding jari terhadap pemimpin tersebut, dan Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Presiden PAS adalah individu utama yang perlu dijatuhkan hukuman,"jelasnya

Kata beliau, sebaiknya UMNO memainkan isu rakyat bagi memenangi hati pengundi dalam menghadapi PRU ke 13 kerana banyak lagi isu yang perlu dijawab.

Ulasan