Jemaah Surau Kampung Undang Bekerjasama Pindahkan Surau

MARANG – Sekumpulan kira-kira 30 orang jemaah Surau Kampung Undang bersama-sama bergotong-royong memindahkan sebuah surau lama di kampung mereka Jumaat lalu.


Surau yang sudah agak uzur itu terpaksa dipindahkan atas alasan keselesaan bagi menampung bilangan jemaah yang semakin bertambah terutama ketika bulan Ramadhan.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Surau Kampung Undang Cikgu Daud Hassan, rancangan memindahkan surau itu sudah lama dirancang, akan tetapi kerana faktor-faktor seperti kewangan, menghalang ianya dilakukan lebih awal.

Setelah mendapat sedikit bantuan kewangan, maka mereka terus memulakan kerja-kerja pemindahan ini kerana bimbang jika menangguhkan lagi, pada bulan Ramadhan ini mereka tidak dapat menyiapkan kerja pemindahan ini.

Cikgu Daud berkata surau ini boleh dikatakan penting bagi kariah sekelilingnya kerana sering mengadakan kuliah-kuliah dan juga kelas-kelas agama bagi membantu kariah menambah ilmu akhirat mereka.

suara kampung undang2 Lebih dari itu, hanya inilah surau yang terletak di sepanjang jalan antara Masjid Tok Dir dan Masjid Undang yang jauhnya kira-kira tiga kilometer.

“Jadi surau yang ada di tepi jalan besar ini, tak ada yang lain lagi kecuali surau ini.

Ini amat membantu jemaah-jemaah yang berdekatan yang tidak dapat berjemaah di Masjid Tok Dir atau Masjid Undang.

Apatah lagi kelas bagi muslimat, dan kita maklum muslimat di kampung-kampung ini biasanya tiada kenderaan, jadi bolehlah mereka datang ke surau ini yang agak dekat dengan mereka,” terang Cikgu Daud.

Turut hadir ialah wakil rakyat Bukit Payong YB Ustaz Mohd Nor Hamzah yang dijemput bagi membacakan doa selamat dan menunaikan solat hajat sebelum memulakan kerja-kerja pemindahan itu.

Sebarang bantuan kewangan dan juga barang-barang bagi melancarkan kerja-kerja pemindahan ini, sangat dialu-alukan dan penyumbang boleh berhubung terus dengan Cikgu Daud Hassan di talian 019 9092947 bagi urusan derma.

Ulasan