Wakil Terengganu Tekankan Kefahaman Tahaluf Siyasi


Tiga penekanan kepada asas kesatuan fikrah dijelaskan oleh perwakilan dari Terengganu bagi memberikan kefaham yang lebih jelas kepada maksud sebenar tahaluf siasi ketika membahaskan ucapan dasar presiden sebentar tadi.
Perkara tersebut ialah pertama, PAS merujuk kepada rujukan Islam iaitu al-Quran dan sunnah.Kedua, PAS adalah jemaah Islam dan yang ketiga Pakatan Rakyat  bukan jemaah Islam dan Pas hanya mempunyai tahaluf siasi sahaja dengan PKR dan DAP.


YB Ustaz Mohd Nor Hamzah menjelaskan lagi, dalam tahaluf ini ulamak terbahagi kepada dua pandangan iaitu tidak boleh dan satu lagi boleh tetapi dengan bersyarat, tanpa ada ulamak yang mengatakan ianya harus tanpa syarat.
Kerjasama ini menurut beliau lagi ialah hanyalah kerjasama dalam politik sahaja, tidak lebih dari itu dan seharusnya kepada ketua parti masing-masinglah ketaatan dan wala’ itu mesti diberikan.
Seterusnya beliau memberikan amaran kepada sesetengah ahli agar tidak menjadi krisis yang berlaku dalam Pakatan Rakyat bagi menjatuhkan kedudukan presiden, sebaliknya perlu sama-sama mempertahankan presiden.
“Jangan ada tangan PAS yang mengikut kepala DAP.Kepala kita adalah presiden. Kepala PKR adalah Anwar Ibrahim dan Wan Azizah.Jangan dikalangan tubuh yang ada pada PAS tiba-tiba mengikut kepala PKR dan DAP,” tegas beliau sambil disambut laungan takbir dari perwakilan.
Beliau yang juga wakil rakyat Bukit Payong Terengganu itu juga menempelak perwakilan yang marahkan Pemuda PAS yang memakai pakaian bertulis “Kami Sokong Presiden” dan “Kami Sokong Majlis Syura Ulamak”.
Sedangkan menurut beliau, tindakan pemuda itu adalah tanda sokongan kepada presiden dan Majlis Syura Ulamak sama seperti ketika demonstrasi menyatakan bantahan kepada Israel  atau sokongan kepada Palestin, iaitu menggunakan sepanduk dan tulisan.
Dengan sinis beliau mengatakan bahawa mereka yang marahkan kumpulan pemuda itu seperti orang yang memelihara hantu raya yang sangat takut apabila melihat ayat-ayat quran digantung di pintu-pintu rumah.
Mengakhiri ucapan beliau, beliau mengambil kesempatan bagi mengucapkan tahniah kepada presiden diatas perlantikannya sebagai Naib Pengerusi Ulamak Dunia baru-baru ini, sambil disambut gema takbir perwakilan tanda penghormatan kepada presiden.

Ulasan