29 Oktober 2014

Hudud Mendidik Masyarakat


ustaz hadi seminar huduKUALA TERENGGANU – PAS menegaskan pelaksanaan hukuman syariat seperti hudud dan qisas dalam Islam adalah yang terbaik bagi mendidik masyarakat terutama di kalangan penjenayahnya.
Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata Islam merupakan agama yang lengkap dan sempurna serta merangkumi segala kehidupan manusia.



IMG-20141026-WA0027Bahkan, katanya hukum Islam itu lebih memberi penekanan saikologi yang menekan jiwa penjenayah agar tidak melakukan perbuatan tersebut.
“Islam bukan sekadar agama mengikut takrif barat. Islam adalah satu agama yang lengkap serta merangkumi segala aspek roh, jasad, individu, masyarakat, ekonomi, politik dan lain-lain.
“Islam melihat undang-undang yang mendidik masyarakat. Hukum hudud adalah hukum yang mendidik masyarakat, menakutkan penjenayah-penjenayah kerana tidak ada makna undang-undang jika penjenayah tidak takut.
“Islam lebih memberi penekanan saikologi yang menekan jiwa penjenayah. Ini kerana, hendak menjatuhkan hukuman (hudud) sangat payah dan banyak syarat-syaratnya,” ujar beliau ketika berucap pada majlis penutup Sambutan Hari Hududullah Peringkat Negeri Terengganu di Permai Hotel, Kuala Terengganu, dekat sini, 26 Oktober lalu.
Menurutnya, hukum hudud adalah rahmat Allah bagi mengubati “penyakit” dalam masyarakat yang membimbangkan itu.
Ini kerana, katanya perbuatan jenayah mencuri merupakan penyakit dalam masyarakat yang menyusah kehidupan orang lain.
“Mencuri adalah penyakit dalam masyarakat kerana seorang pencuri, satu kampung atau satu bandar hidup tidak senang.
IMG_4509 (2)“Mereka (pencuri) mengambil harta orang dari hasil titik peluh orang lain dengan cara mudah. Dan Allah menetapkan hukuman ini dengan syarat-syarat yang ketat dan bukan sewenang-wenangnya,” jelas Ustaz Abdul Hadi dihadapan 600 peserta seminar hudud tersebut.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang mendakwa kedatangan Islam di rantau ini yang dibawa oleh para pendakwah dan ulama’ adalah Islam yang sempurna.
Katanya, Islam yang dibawa oleh mereka itu merangkumi aspek kenegaraan serta mendaulatkan syariat Allah SWT.
Malah, kata Dato’ Seri Abdul Hadi, kejayaan Islam terbukti pernah memerintah negeri yang sangat luas lebih 1,300 tahun lamanya.
“Islam adalah agama yang sempurna, agama yang lengkap, agama yang cukup hanya dengan satu surah (al-Quran). Islam yang dibawa oleh pendakwah dan ulama’ ke rantau ini, adalah Islam yang sempurna dan bukan sekadar Islam mengucap dua kalimah syahadah atau menjadi orang Islam secara rasmi dengan melakukan amalan masing-masing.
“Islam yang dibawa oleh ulama dan pendakwah itu bukan sekadar Islam kerana orang, penduduk dan rakyat tetapi termasuk mengIslamkan negara dengan mendaulatkan syariat Allah SWT.
“Kejayaan Islam memerintah negara 1,300 tahun lebih dan memerintah negeri yang sangat luas. Di timurnya, Asia Tenggara, di baratnya Sepanyol dan Afrika Barat, di utaranya Asia Tengah termasuk Moscow dan di selatannya Afrika Tengah,” jelasnya.
Menurutnya, inilah Islam yang dibawa oleh Nabi-nabi dan Rasul-rasul yang berdakwah mengajak manusia serta kerajaan masing-masing kepada Islam, sehingga Rasul itu sendiri yang memimpin negara.
Kata Ustaz Abdul Hadi, masyarakat paling majmuk telah berjaya membina satu tamadun yang paling hebat dalam sejarah manusia.
Ada pun katanya, kejatuhan Islam selepas itu akibat dari pemerintah tersebut meninggalkan ajaran Islam.
“Kejatuhan Islam berlaku kerana pemerintahannya selepas itu meninggalkan ajaran Islam dan bukan (kejatuhan) agama Islam.
“Berbeza dengan kejatuhan kuasa-kuasa besar yang lain termasuk di zaman kini kerana kegagalan teori dan ideologi yang dianut dan diamalkan oleh mereka,” tegasnya.
Maka, katanya yakinlah bahawa Islam itu satu-satunya penyelesaian yang boleh menyelamatkan manusia di dunia dan akhirat.

Tiada ulasan:

Islam dan Hukum Syarak Tidak Mengikat Mahkamah Sivil Dalam Isu Islam?

Keputusan Mahkamah Rayuan mengenai kesahan meletakkan bin bagi anak tidak sah taraf kepada bapa biologi anak tersebut menimbulkan polemik...