Islam dan Hukum Syarak Tidak Mengikat Mahkamah Sivil Dalam Isu Islam?

Keputusan Mahkamah Rayuan mengenai kesahan meletakkan bin bagi anak tidak sah taraf kepada bapa biologi anak tersebut menimbulkan polemik tentang sejauh mana Islam dan Hukum Syarak menjadi panduan dan mengikat sesuatu penghakiman di Mahkamah Sivil yang melibatkan isu-isu Hukum Syarak.

2. Umum mengetahui bahawa Perlembagaan Persekutuan meletakkan dalam Perkara Tiga bahawa Islam adalah Agama Persekutuan. Ia sepatutnya memberi maksud Islam menaungi dan menjadi rujukan utama segala tindak tanduk bernegara dan menaungi serta menjadi rujukan kepada segala peruntukan undang-undang negara. Tapi ternyata artikel itu belum diberikan hak tafsiran yang sepatutnya untuk mengikat segala penghakiman di Mahkamah Sivil dengan Islam.



3. Dalam kes Mahkamah Rayuan ini, Seksyen 110 hingga 119 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 yang telah memperuntukkan tentang kesahtarafan anak sepatutnya dirujuk. Seksyen 110 lebih khusus memperuntukkan siapakah yang dikaitkan sebagai bapa bagi orang Islam.

4. Peruntukan undang-undang negeri ini sepatutnya menjadi rujukan utama kepada Mahkamah Sivil dalam menentukan penghakiman dalam isu-isu bersabit. Namun, dalam kes penghakiman Mahkamah Rayuan, seksyen ini tidak diberi pertimbangan sewajarnya kerana Mahkamah hanya membataskannya kepada pendaftaran semata-mata walaupun pendaftaran tersebut mempunyai implikasi terhadap undang-undang Islam. Justeru, saya sangat bersetuju dengan Dato’ Haji Zainul Rijal Abu Bakar, Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia yang menimbulkan persoalan adakah seksyen 13A Akta tersebut adalah berperlembagaan kerana isu sahtaraf anak adalah dalam bidangkuasa negeri melalui undang-undang negeri.

5. Malah, penghakiman Mahkamah Rayuan ini lebih malang lagi mendedahkan bahawa fatwa langsung tidak menjadi rujukan dan tidak mengikat Mahkamah Sivil dalam isu-isu bersabit hukum. Secara jelas penghakiman Mahkamah Rayuan mendedahkan bahawa fatwa-fatwa yang dikeluarkan sebuah badan agama - apatah lagi fatwa oleh Majlis Fatwa Kebangsaan yang sememangnya tidak mempunyai kuasa perundangan- tidak mempunyai kuasa undang-undang melainkan fatwa itu diterima atau diguna pakai sebagai undang-undang persekutuan menerusi Parlimen, yang mana fatwa menjadi sebahagian undang-undang persekutuan tanpa perlu melalui proses perundangan.

6. Untuk makluman, fatwa oleh Mufti Wilayah, Dato' Md Hashim Yahya telah dikeluarkan pada 2hb Januari 2001 dan diwartakan pada 18hb Januari 2001 bahawa "anak yang dilahirkan lebih daripada enam bulan Qamariah dari tarikh sesuatu pasangan itu diakadnikahkan ialah anak sah taraf."

7. Malah, fatwa juga telah dikeluarkan pada 17hb Januari 2005 oleh Mufti Selangor, Dato' Hj Mohd Tamyes bin Abd Wahid dan diwartakan pada 28hb April 2005 bahawa anak tidak sah taraf menurut hukum Syarak ialah "anak yang dilahirkan kurang daripada enam bulan dua lahzah Qamariah dari waktu "imkan ad Dukhul" dan bukan hasil daripada persetubuhan syubhat".

8. Di sinilah perlunya satu Akta dicadangkan di parlimen untuk memberikan kuasa undang-undang kepada fatwa-fatwa negeri bagi dijadikan rujukan yang mengikat Mahkamah Sivil dalam isu-isu bersabit dengan Islam.

9. Kesimpulannya, usaha memperkasakan Islam dari sudut perundangan dan perlembagaan masih berliku. Kesatuan umat dalam isu-isu sebegini adalah sangat diperlukan. Keinginan politik yang kuat yang ditunjang oleh kehendak rakyat Muslim yang bersatu boleh menjadi pemangkin untuk usaha-usaha jihad perundangan ini.

Dato' Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali
Ahli Parlimen Kuala Nerus
Jumaat 28hb Julai 2017 / 4 Zulkaedah 1438 H.

Ulasan