Tiga Dasawarsa Kelantan Membangun Bersama Islam.


Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor

Pantas masa bergulir, memecut dan melaju tanpa menoleh kebelakang lagi, hari ini genaplah 30 tahun PAS memerintah tanah serendah sekebun bunga yang terkenal dengan keunikan budaya dan merupakan jantung hati orang Melayu negara ini. Berdiri bak monumen yang tegal dan kukuh ,menjadi cerminan kepada negeri-negeri yang lain, tiga dasawarsa yang penuh dengan kekangan dan serangan bertali arus daripada musuh dan pesaing. 

Serambi Makkah ini mendapat reputasinya kerana menjadi pusat pendidikan Islam yang tersohor dalam abad ke 18, 19 dan awal abad 20. Dalam denai sejarahnya , PAS berjaya merengkuh kekuasaan di Kelantan dalam Pilihanraya Umum pada tahun 1959 dengan tokoh-tokoh besar besar PAS bertanding di Kelantan seperti Prof. Zulkifli Mohamad, Haji Ahmad Prai dan tokoh-tokoh lain. Parti berlogo bulan bintang ini dengan dokongan para alim ulama serta pengaruh pondok dan agamawan tempatan memicu pesona rakyat. Negeri agrarian ini berkarektor unik, gedebe dan kepongahan masyarakat tak melunturkan rasa hormat pada sang alim dan lebai , dua kutub ekstrem yang sering diwajahkan pada Melayu Kelantan.

PAS menyertai kerajaan campuran selepas tragedi 13 Mei 1969, "Malay belt" ini tiada darah orang Cina yang tumpah kerana warganya menjunjung tinggi nilai agama dan patuh kepada arahan ulama. Krisis perlantikan MB Kelantan pada tahun 1977 menyebabkan PAS Kelantan bergolak dan diambil peluang oleh UMNO serta munculnya parti serpihah PAS iaitu BERJASA. 

PAS kehilangan Kelantan dalam Pilihanraya tahun 1978, bahkan hanya berjaya bertahan hanya dengan dua kerusi DUN sahaja. Kepimpinan dan organisasi PAS Kelantan terus bergerak, merancang, mengukuhkan pentarbiahan ahli, menggerakkan kesedaran awam untuk kembali menyokong PAS. Kebangkitan Islam awal abad 15 hijrah menyonsong api semangat dan memotori anak muda untuk bangkit beramal dengan ajaran Islam .PAS adalah parti yang mendapat laba daripada arus kesedaran ini, anak muda yang pulang daripada Asia Barat, Indonesia ,kampus tempatan menjadi peserta kebangkitan Islam yang aktif di Kelantan.

Aktivis PAS Kelantan dengan pelbagai latarbelakang pendidikan dan sosio ekonomi terus menggempur Kelantan, negeri yang juga terkenal dengan bangsal tomoi, kemeriahan kedai kopi dan keunikan budaya. Nama-nama seperti Tuan Guru Nik Abdul Aziz, Tuan Guru Zakaria Ismail, Ustaz Yahya Othman, Ustaz Mawardi Ahmad, Ustaz Wan Jamil Wan Mahmud, Ustaz Bunyamin Yaakob, Ustaz Wan Mustapha Wan Rusdi, Ustaz Omar Mohamad, Pak Suhail, dan ratusan tokoh-tokoh penggerak parti. Rakyat disajikan dengan majlis ilmu dan usaha memulihkan semangat ahli melalui pembinaan kader-kader parti melalui tamrin panjang, mukhaiyyam dan sebagainya.

Kelantan disuburkan dengan kuliah-kuliah ilmu, Dewan Zulkifli di bangunan PAS Kelantan menjadi saksi bisu akan keseriusan PAS membina fikrah dan pengukuhan ilmu kepada ahli-ahli. Kaset-kaset dicetak dan diedar meluas melalui Pustaka Jihad , apatah lagi dengan simbahan kebangkitan Islam yang sedang merajai fenomena permulaan abad 15 Hijrah. Tidak sedikit aktivis PAS yang mendekam dalam ISA di zaman Dr Mahathir dalam dekad 80an, antaranya seperti Ustaz Bunyamin Yaakob,  Saudara  Zainudin Abdullah, Kamaruzaman Ismail dan lain-lain lagi.

Kontradik dengan nilai yang PAS suburkan dalam masyarakat, suasana di Kelantan dizaman kerajaan BN saat itu pelbagai kemaksiatan menikam nurani  mereka yang cintakan agama. Konsert Rock melalui tema Battle of the Bands sering menjadikan Kelantan tempat beraksi dihujung minggu, dikir karut pula merajai masyarakat jembel di desa dan FELDA, kedai judi, arak serta pusat pelacuran lorong Hamzah beroperasi menggamit anak muda dan pelaku maksiat.

Tekanan dan penindasan kepada PAS Kelantan seolah menyuburkan baja perjuangan, ramai aktivis PAS ditukar kerja merata riti jika mereka adalah penjawat awam. Ditambah dengan perisa perbalahan dalaman UMNO 1987 antara tim Mahathir dan tim Ku Li , krisis pemimpin UMNO dan istana Kelantan maka mempercepatkan kejatuhan UMNO dalam Pilihanraya tahun 1990.

Pilihanraya Umum pada tahun 1990 telah memberikan kejutan yang besar kepada politik negara ini apabila telah berjaya menguasai semula Kelantan setelah tewas pada tahun 1978. Gelombang politik yang agak panas semenjak tahun 1987 telah menyebabkan UMNO sebagai parti teras orang Melayu telah berpecah dua apabila Tengku Razaleigh Hamzah menubuhkan Parti Semangat 46. PAS telah bergabung dengan Semangat 46 dan dua buah parti lain iaitu HAMIM dan Berjasa. Pemuafakatan politik ini dikenali sebagai Angkatan Perpaduan Ummah (APU)  dan telah berjaya memenangi negeri Kelantan dengan menyapu bersih semua kerusi Dewan Undangan Negeri dan kerusi Parlimen dalam pilihanraya umum pada tahun 1990. PAS yang telah memenangi kerusi yang terbanyak telah mencadangkan Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat ketua Dewan Ulama PAS Pusat  sebagai Menteri Besar Kelantan.

Perlantikan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, seorang tokoh pendidikan  telah merancakkan perkembangan  pendakwahan dan pendidikan Islam di Kelantan. Negeri itu cuba dipopularkan kembali dengan gelaran ‘serambi Mekah’ dengan aspirasi 'Membangun Bersama Islam' . Tuan Guru Nik Abdul Aziz seorang tokoh yang sangat memberikan perhatian yang besar dalam memperkasakan pengajian Islam sama ada formal atau tidak formal. Beliau akan sentiasa bercakap tentang keperluan pendidikan Islam untuk membentuk masyarakat yang memahami Islam. Dalam pembentangan belanjawan negeri Kelantan, belanja pengurusan sekolah YIK sentiasa diberikan keutamaan. 


Sebagai langkah meningkatkan mutu sekolah agama, kerajaan negeri telah memberikan peruntukan besar kepada Yayasan Islam Kelantan (YIK), berbanding dengan agensi-agensi kerajaan yang lain. Peruntukan ini ditambah dari setahun ke setahun. Apabila Tuan Guru Nik Abdul Aziz menjadi Menteri Besar Kelantan, perhatian kepada sekolah–sekolah agama diberi keutamaan. Kerajaan Kelantan memberikan perhatian istimewa kepada pendidikan Islam yang digerakkan oleh sekolah agama rakyat, pondok, tahfiz, termasuk pendidikan pra sekolah seperti PASTI.

YIK telah diberikan peranan yang besar untuk memastikan kelangsungan dan menjana pendidikan Islam di Kelantan, sesuai dengan slogan kerajaan Kelantan, ‘membangun bersama Islam’. Program pendidikan Islam adalah menekankan kepada melahirkan insan yang seimbang dari segi rohani, aqidah dan jasmani berdasarkan ajaran Islam. Sekolah-sekolah YIK terbukti mendapat kecemerlangan dalam peperiksaan awam seperti PMR, SPM dan STPM. Di antaranya ialah Maahad Muhammadi Lelaki dan Maahad Muhammadi Perempuan yang sentiasa berada di carta teratas sekolah cemerlang di Negara ini.

Di antara institusi pendidikan Islam yang semakin berkembang di Malaysia khususnya di Kelantan ialah sekolah tahfiz al Quran. Di negara ini kewujudan tahfiz menjadi fenomena dalam dekad 1990an akibat kesedaran Islam yang semakin meluas di kalangan kelas menengah Melayu dan juga aktivis pendidikan Islam di Negara ini. Kelantan menjadi tapak subur kepada sekolah tahfiz Al Quran sama ada yang ditubuhkan oleh kerajaan ataupun yang ditubuhkan oleh pihak persendirian dengan bantuan daripada pihak kerajaan negeri yang diterajui oleh PAS.


Kerajaan Kelantan memandang serius keperluan untuk menubuhkan sebuah sekolah tahfiz berasrama penuh di mana kemasukan pelajarnya ditapis dengan syarat yang ketat. Kerajaan Kelantan akhirnya melalui idea Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat telah menubuhkan Maahad Tahfiz Pulai Condong (MTAQ) pada tahun 1992, pelajar-pelajar yang  mendapat sekurang-kurangnya empat ‘A’ dalam UPSR dengan kemampuan membaca al Quran dengan baik akan diterima belajar di sini. Maahad ini akhirnya menjadi sebutan negara apabila sentiasa muncul cemerlang dalam keputusan peperiksaan awam seperti PMR dan SPM.

Kerajaan PAS di Kelantan telah memberikan perhatian yang besar kepada pembangunan pondok, bahkan juga oleh pemimpin PAS negeri itu sendiri di mana sebahagian besar pemimpin PAS Kelantan mempunyai hubungan secara langsung atau tidak langsung dengan institusi ini. Kerajaan Kelantan juga memberikan perhatian kepada anak-anak perantau yang bekerja di luar Kelantan, memberdaya gerakan mahasiswa samada anak Kelantan di kampus tempatan atau pun diluar negara.

Di antara institusi pengajian tinggi yang ditubuhkan oleh kerajaan Kelantan ialah Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS). Kolej ini terletak di Nilam Puri yang bertujuan untuk menampung keperluan pendidikan tinggi yang berteraskan ajaran Islam, melahirkan generasi berpendidikan tinggi bagi menampung keperluan golongan intelektual Islam. Antara matlamat lain penubuhan kolej ini ialah untuk memberi pendidikan tinggi yang secukupnya kepada rakyat negeri Kelantan.

Kelantan selama tiga dekad ini telah membangun dengan tidak meninggalkan aspek pembangunan spiritual. Kota Bharu menjadi bandaraya yang sibuk dan lumayan menerima pelbagai tetamu luar. Keunikan Kelantan menjadikanianya tarilan pelancong. Pelbagai bandar baru dan bandar satelit telah mengubah wajah negeri ini dalam tiga dasawarsa. Negeri ini telah berjaya melakukan transformasi sosial dengan begitu efektif melalui wahana pendidikan dan pendakwahan.

 Legasi almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat telah diteruskan oleh kepimpinan Kelantan pada hari ini, Dato Ahmad Yaakob , Dato Nik Amar dan seluruh pimpinan negeri. Semoga rakyat Serambi Mekah ini terus mendokong aspirasi "Membangun Bersama Islam" untuk dekad yang mendatang, tiada sebab untuk menjatuhkan kerajaan Islam yang telah membuktikan iltizam dalam melaksanakan tuntutan Ilahi. Kelantan ialah kampus politik terbuka untuk rakyat negara ini.

 Jauhi Proksi DAP,  mereka akan meranapkan legasi dan gunung emas kecemerlangan yang dibina oleh pimpinan PAS yang terdahulu, generasi muda Kelantan yang lahir selepas tahun 1990 tidak kenal akan kedai judi,pesta arak, konsert berteras hedonisme, hiburan bertera kesyirikan, pusat-pusat pelacuran. Jangan gadaikan Kelantan kerana satu dua kes kesilapan , teruskan memelihara dan menjaga reputasi Kelantan dalam acuan Membangun Bersama Islam. 

(Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI)

Ulasan