12 November 2020

Mengerat Atau Mengerat Tali Silaturahim

 


Alhamdulillah, dua minggu lepas, Allah taala telah menemukan aku dengan seorang rakan lama, Indera Putera yang sangat lama tidak bersua muka. Hampir 32 tahun, bukanlah jangka masa yang sekejap. Melebihi tempoh sambutan jubli perak, 25 tahun. Selepas SRP, dia berpindah sekolah. Langsung senyap, tiada khabar.

Mendapat berita dia menghadapi musibah penyakit jantung yang agak serius melalui FB. Berkebetulan pula dia pulang ke Terengganu, jadi peluang terbuka untuk bertemu dengannya. Dan alhamdulillah, berjumpalah dengan kawan lama sebagaimana aturan Allah.

Nostalgia sekolah, pastinya menjadi topik utama selain bertanya khabar. Dan rupanya, dia juga adalah saudara kepada isteri aku, tinggal sebelah rumah di Rusila. Dengan umur yang tidak banyak lagi tinggal ini, kesakitan kawan adalah kerisauan kita juga. Kesusahan rakan, kesedihan kita juga. Kami berfikir berkenaan mati. Ia adalah pasti bagi semua orang. Dan selesailah pertemuan dengan kawan lama.

Selang kira-kira seminggu kemudian, aku mendapat mesej dari salah seorang rakan di FB. Beberapa ketika berbalas mesej, rupanya kami tidak pernah bertemu atau mengenali, hanya rakan di FB. Dia ingin bertemu dengan aku atas dasar mengeratkan lagi persahabatan. Ter Satu Tara, seorang guru sejarah di Kuala Berang.

Setelah bersetuju waktu dan tempat, dia sanggup datang ke Bukit Payong bagi tujuan pertemuan. Siap membawa buah tangan dan kemudiannya membayar pula makanan aku. Lama juga bersembang hal-hal semasa yang mana kami senada dalam memikirkan beberapa isu. Dia juga rakan kepada beberapa rakan-rakan aku yang lain terutama di Sekolah Sains Sultan Mahmud (SESMA).

Maka bertambahlah seorang lagi rakan baharu, disamping rakan-rakan yang lama, yang mana mungkin boleh membawa aku ke syurga. Kenapa syurga? Kerana rasulullah berpesan untuk menyambung silaturahim sesama kita kerana Allah. Bukankah manusia yang bertemu dan berpisah kerana Allah akan mendapat naungan perlindungan di mahsyar nanti? Ini adalah antara sisi baik media sosial.

Tetapi malang bagi sesetengah manusia, mereka memilih untuk menjadikan media sosial sebagai medan bagi memfitnah dan juga berperang. Lebih dahsyat lagi bermusuhan sesama sendiri. Mereka menyerang orang yang mereka benci, sedangkan itu adalah kawan mereka juga. Banyak keadaan mereka lebih berlembut dengan musuh.

Dihiasi dengan ayat-ayat dan hadis-hadis al-Quran, mereka cuba membenarkan perkataan dan perbuatan mereka. Pastinya, kerana jika tiada 'dalil' bagaimana mereka mahu meneruskan 'perjuangan' suci mereka. Fitnah atau berita separuh masak, disebarkan semahunya ke seluruh pelusuk dunia. Ia hanya bagi memenuhi sasaran kebencian mereka.

Akhirnya orang ramai mula termakan dengan cerita mereka. Dan, sedikit demi sedikit, keutuhan persahabatan akan mula goyah dan terhakis. Mereka kemudiannya berpecah dan saling mempertahankan diri dan menyerang musuh yang dahulunya rakan. Perbalahan makin besar. Silaturahim menjadi mangsa, ia dihancurkan. Pastinya Rasulullah akan merasa kecewa, kerana bersusah payah Baginda mempromosi dan mempraktikkan silaturahim, ia kemudian dimusnahkan.

Adakah anda menggunakan media sosial bagi tujuan mengerat atau mengerat tali silaturahim? Tepuk dada tanya iman, jawapan anda, dalam ilmu Allah. Dan jika silaturahim sengaja mahu diputuskan, ke mana agaknya mereka akan dibawa di akhirat nanti?

Mohd Nasir Abdullah
12 November 2020

Tiada ulasan:

Senjata Baru Dalam Perjuangan

  Oleh : Suzie Hassan KEMAMAN -  Semua petugas dalam jentera dan organisasi PAS, perlu menguasai 'senjata baru' dalam mengatur langk...